Wednesday, August 25, 2010

Komunikasi Budaya: Dari Alam Rahim ke Alam Barzakh

Dalam kehidupan orang Melayu banyak terdapat keunikan perlakuan dan perbuatan yang menjadi adat mereka.  Daripada pengucapan sehinggalah perbuatan mempunyai makna dan tujuan tertentu. Masyarakat Melayu sejak berzaman mempunyai budi pekerti yang tinggi iaitu berhemah ketika berkomunikasi dalam interaksi sosial mereka.  Agak sukar untuk masyarakat Melayu menidak ataupun meninggalkan amalan adat tersebut, kerana telah tertanam dalam darah daging dengan asuhan ibubapa mereka.  Selain itu, masyarakat Melayu sememangnya menganut agama Islam sejak berzaman sudah sebati dengan kehidupan beradat. Barangkali mereka yang mengenepikan adat kerana terpengaruh dengan perubahan kehidupan mengikut zaman. Namun,  kesatunan yang begitu unik dalam masyarakat Melayu tetap terpelihara. Jarang berlaku, orang Melayu bersikap kasar dalam pertuturan dengan sewenang-wenangnya, kerana mereka memegang pepatahnya ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Timbul dihati penulis ingin melakukan kajian mengenai komunikasi budaya Melayu dalam adat istiadat mereka kerana ingin memaparkan betapa indah dan bersopannya orang Melayu berkomunikasi. Cara mereka berkomunikasi sebagai memperlihat dan memperagakan kebudayaannya. 
           
 Hampir 80% kajian mengenai komunikasi  daripada  sarjana barat yang mempunyai latar belakang displin yang pelbagai, umpamanya  Carl Hovland, Alexandar Gode, Wilbur Schramm, Claude Shannon, Osgood dan lain-lain.  Mereka boleh memperkatakan apa saja mengenai teori komunikasi mengikut kesarjanaan masing-masing.  Mereka  bebas berhujah berpaksikan teori dan anutan masing-masing.  Namun,  saya percaya tidak semua hujah daripada sarjana barat dapat diterima oleh  kita ataupun di timur ini.  Barat dan timur adalah satu permisahan yang sangat jauh dari segi sosial budaya, politik, geografi dan apatah lagi keagamaan.  Faktor-faktor tersebut memungkinkan segala yang berlaku di barat amat berbeza sama sekali di timur terutamanya di Malaysia. Di negara kita mengamalkan adat istiadat yang sangat unik berbanding dengan barat dan sudah tentu aplikasi teori mereka memang sangat ketara menyongsangnya. Masyarakat Melayu sejak turun-temurun diajar dan didik berlandaskan hukum hakam agama sebagaimana perbilangan adat; adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Perbilangan adat tersebut banyak memberi garis panduan dan amalan masyarakat Melayu yang mengabungkan amalan adat dan agama yang mana tidak menyalahi syariat Islam.  Malaysia dikenali negara yang memiliki bangsa yang bersopan-santun.  Kesopanan tersebut telah  didokong oleh Laksamana Hang Tuah sebagaimana paparan kisahnya yang dimuatkan dalam Hikayat Hang Tuah. Walaupun ianya hanya sebagai hikayat yang tidak dapat berpegang dengan ketepatan logik akal, namun penyataan dalam hikayat tersebut bolehlah dijadikan pengukur dan pertimbangan kita merujuk tingkahlakunya.  Tingkahlaku Hang Tuah yang dipaparkan dalam hikayat tersebut mencerminkan dirinya seorang yang berpekerti tinggi.  Nilai budinya yang tinggi dapat diselami dalam baris-baris ayat sebagaimanbanyak mengambarkan sikap dan peribadi Melayu sangat luhur, jujur dan berperibadi.
           
Dalam Hikayat Hang Tuah banyak mengambarkan kekuatannya bukan hanya daripada tulang empat keratnya dari segi pendekaran tetapi sikap dan pekertinya amat bersopan-santun.  Ketaatan kepada raja memperlihatkan kepatuhannya pada adat Melayu yang memerlukan seseorang berhemah tinggi dalam segala hal. Ketaatan dan kepatuhan kepada ketua sememang dikehendaki dalam ajaran Islam, apatahlah raja yang memerintah.  Ungkapan tidak Melayu hilang di dunia memberi pengertian bukan kekuatannya tetapi tatacara budi dan komunikasi sesama insan. Berkomunikasi sesama insan dengan tatacara mengikut landasan adat adalah memperlihatkan kebudayaan sesuatu bangsa. Sebagaimana Edward Hall, mengatakan kebudayaan adalah komunikasi dan komunikasi adalah kebudayaan.  Jika komunikasi masyarakat Melayu secara berzaman adalah baik, sudah tentu ianya mencerminkan kebudayaan mereka.  Sehubungan itu,  masyarakat Melayu berinteraksi sesama mereka menggunakan perbilangan adat, pantun, syair, gurindam, pepatah dan lain-lain.  Setiap pertemuan yang membabitkan adat dimulai dengan pantun dan perbilangan adat. 
           
 Didapati dalam komunikasi manusia terutamanya masyarakat Melayu ada pelbagai ragam komunikasinya.  Kajian komunikasi perspektif timur ataupun Asia perlu dilakukan.  Walaupun barat telah mengenegahkan pelbagai teori komunikasi dan modelnya tetapi perlakuan komunikasi perspektif Asia perlu diperlihatkan cara dan acuannya tersendiri. Makanya, buku ini sebagai permulaan untuk meninjau adat resam tradisional Melayu dalam komunikasi budayanya yang melalui empat kitaran adat.  Di antaranya adat bersalin, adat berkhatan, adat perkahwinan dan adat kematian.  Empat kitaran adat tersebut perlu dilalui oleh masyarakat Melayu sama ada kehidupan mereka bermula di kampung ataupun di bandar. Kehidupan masyarakat Melayu yang tidak mengikut landasan adat bolehlah diibaratkan mereka menolak amalan budaya bangsa dan tidak molek memijak bumi ini apatah lagi tinggal bermastautin tetap di negara ini.  Bagi generasi yang tidak melalui zaman tersebut, perlu memperolehi buku ini sebagai sumber rujukan.  Selain itu,  buku ini  sebagai satu dokumentasi khazanah adat orang-orang Melayu di zaman silam yang  semakin  hari semakin ditinggalkan sedikit demi sedikit.  Justeru, usaha yang sedikit ini dapat dimanfaatkan  kepada semua pembaca ataupun para pelajar universiti dan lain-lain.  Yang baik datang daripada Allah s.w.t dan  yang jelik datang daripada kelemahan dan kecuaian sendiri hamba yang lemah lagi daif. Wallahuallam. 

5 comments:

Anonymous said...

ya, saya sokong kenyataan tuan dan ternyata bernas.

mr.zack said...

ya...zaman sekarang remaja semakin lalai dalam menjalani hidup dengan penuh keseronokkan. masyarakat islam sekarang suka mengambil remeh temeh tentang hukum hakam islam. mereka lebih suka mengikut adat-adat yang dicipta oleh manusia itu sendiri. Saja jugak bersetuju tentang cara berinteraksi,mereka sekarng sudah tidak segan silu melafazkan unsur-unsur perkataan yang mengaibkan diri mereka sendiri. Bahasa percakapan luncah pun sudah tidak dapat ditapis lagi,sedangkan percakapan seseorang itu la yang melambang kan keperibadian seseorang itu..kita sekarang berada di akhir zaman. manusia juga sudah mulai mengikut rentak yang akan diajar oleh dajal, sebagai menyambut kedatangan dajal pada akhir zaman. Akhir kata..buku ini amat bagus untuk semua pihak,lebih-lebih lagi bagi orang yang sudah jauh tersasar dari alam hakiki..wassalam

Anonymous said...

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua.. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi memberi saya peluang untuk membaca blog dan komen mengenai apa yang terkandung yang telah dibaca.. Saya tertarik membaca buku yang bertajuk Dari Alam Rahim Ke Alam Barzakh kerana buku ini amat sesuai untuk para remaja zaman sekarang yang lalai dengan penuh keseronokan. Sememangnya zaman-zaman dahulu, masyarakat melayu banyak dengan nilai-nilai agama yang diterapkan dalam diri mereka. Lain dengan zaman sekarang yang kurang mempunyai nilai-nilai agama.Malah, remaja sekarang suka memandang rendah tentang hukum hakam islam dan mereka lebih terikut dengan gaya barat dan cara mereka sendiri. Selain itu, mereka juga tidak mempunyai perasaan malu apabila mereka berkomunikasi dengan menggunakan perkataan yang kasar dan mengaibkan kepada diri mereka sendiri ataupun orang lain. Masyarakat dulu, penuh dengan percakapan sopan-santun, lemah-lembut, dan sebagainya malah masyarakat sekarang sudah lenyap dengan budi-bahasa mereka. Buku ini juga mempamerkan tentang adat-adat resam masyarakat melayu. Sebagai contoh, adat bersalin, adat berkhatan, adat perkahwinan, dan juga adat kematian. Mereka sangat menitik beratkan tentang adat-adat seperti ini. Oleh hal yang demikian, kita sebagai masyarakat melayu perlulah mengambil tahu tentang adat-adat seperti ini supaya tidak lapuk dan terpesong jauh. Akhir kata, saya sangat setuju dengan apa yang terkandung dalam buku ini dan buku ini amat berguna kepada semua individu. Tidak kira muda atau tua kerana buku ini memberi manfaat dan pengajaran buat kita semua. Sekian, terima kasih.

Aisyah Tarmizi said...

Orang Melayu sekarang ternyata berbeza dengan yang dahulu. Lebih-lebih lagi remaja. Remaja dahulu sangat mematuhi adat budaya nenek moyang mereka dan juga ajaran agama Islam. Mereka tidak perlu disuruh atau diajar kerana perkara itu sudah sebati dalam diri mereka. Namun, apabila dunia kian moden, adat budaya orang Melayu juga menjadi ‘moden’. Tidak ada lagi kata-kata lemah lembut yang dilemparkan. Malah, percakapan kasar yang diketengahkan. Lebih menyedihkan, perlakuan ini turut dilakukan oleh remaja terhadap orang yang lebih tua dari mereka. Perbuatan itu sangat kurang ajar namun ia dipandang remeh oleh masyarakat. Mengeluarkan kata-kata kesat juga bukan lagi perkara yang baru dan memalukan. Perkara ini selalu dikaitkan dengan remaja. Tetapi apa yang dilihat pada hari ini ada juga ibu bapa mula menggunakan kata-kata kesat dan dilemparkan pada anak-anak ketika mereka marah. Anak-anak akan berasa sedih berikutan perkara ini. Mereka juga akan terdorong untuk berbuat demikian. Dari segi perlakuan, seks bebas, vandalisma dan banyak lagi sudah menjadi rutin kehidupan. Mereka berbangga untuk melakukannya dan memandang rendah kepada yang tidak melakukannya yang dianggap ketinggalan zaman atau ‘kampung’.

Z Faizal said...

Hang Tuah pernah berkata "Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Ungkapan itu sememangnya benar, tetapi berdasarkan pemerhatian orang ramai, ungkapan baru boleh dikeluarkan. Ungkapan yang sememangnya kena pada masyarakt Melayu zaman sekarang. "Takkan Melayu hilang di dunia, tapi apa gunanya kalau kewujudan tidak dirasa", inilah ungkapan yang dibarukan berdasarkan pemerhatian orang ramai. Sememangnya, bila berkata tentang "Melayu" pasti ramai yang berkata bahawa orang Melayu adalah pemegang janji "berbudi bahasa" seumur hidup. Apakan daya, semua itu boleh dikategorikan sebagai "janji kosong" lebih-lebih lagi bila dikaitkan dengan remaja. Remaja (Melayu) kini tidak lagi seperti remaja zaman dulu. Kesedaran, itu yang penting. Buku ini, sememangnya mampu menyedarkan remaja-remaja Melayu kita. Nama buku ini sahaja juga boleh dilihat bahawa buku ini mampu memberi kesedaran terhadap orang ramai, apatah lagi isi kandungannya. Jangan biarkan Melayu terus me-"LAYU".