Sunday, December 6, 2009

Transkripsi Filem Tan Sri P.Ramlee

Filem arahan dan lakonan P. Ramlee sehingga kini masih mendapat sanjungan dari semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Umum mengetahui, bahawa P. Ramlee adalah seorang tokoh filem yang merangkumi pelbagai penglibatannya bermula dari seni lakonan, seni nyanyian, seni ciptaan lagu dan lirik, pelakon komidi, ahli muzik, komposer dan lain-lain. Bakat sedemikian sememangnya tidak dimiliki oleh orang lain.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa P. Ramlee di antara seorang dalam dunia yang dianugerah Allah kehebatan begitu. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah kurnianya. Sejak pemergiannya ramai pihak mengambil inisiatif mengadakan pelbagai bentuk acara bagi memperingati sumbangan Allahyarham dalam dunia seni. Namun, acara-acara sedemikian cuma habis di situ dan tinggal sebagai kenang-kenangan sahaja. Sesungguhnya banyak lagi cara yang dapat diabadikan penglibatannya dalam dunia perfileman. Dunia perfileman kegemilangannya banyak meninggalkan ilmu-ilmu yang masih dicari-cari oleh generasi yang sebelum ini tidak mengenalinya.

Skrip Filem P. Ramlee (Transkripsi)
Banyak tulisan-tulisan mengisahkan penglibatannya telah dihasilkan oleh ramai orang tetapi skrip-skrip filemnya tidak diketemui, walaupun kajian dilakukan di perpustakaan pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara. Para pengkaji dan penuntut perfileman serta lain-lain pihak mendapati sukar memperolehi skrip-skrip tersebut. Cuma yang terdapat adalah filem-filemnya yang berbentuk format vcd, video dan lain-lain. Oleh yang demikian, amat sukar untuk seseorang melakukan kajian tekstual mahupun kontekstual. Apa jua kajian yang ingin dilakukan tanpa adanya bahan-bahan rujukan, maka kajian tersebut tidak dapat dijalankan sebaik mungkin, dan seolah-olah meraba-raba dalam kegelapan.
Tujuan penulisan semula skrip lakonan, karya dan arahan beliau adalah inisiatif permulaan untuk mendokumentasi semula peninggalan khazanah seni beliau yang sangat berharga kepada negara sebagai memperlihatkan kehebatan bangsa Melayu sendiri. Kehebatan bangsa Melayu perlu dipaparkan seluas-luasnya dan dijadikan satu teks sejarah bagi panduan, ukuran dan timbangtara untuk generasi akan datang sebagai pelapis seni nenek -moyang mereka. Dalam lipatan sejarah, seseorang tidak boleh membohongi atau merekacipta fakta-faktanya melainkan kesemuanya adalah benar belaka. 
Justeru itu, hasil-hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak sempat didokumentasikan adalah merupakan tanggungjawap kita bersama. Menurut Datuk Aziz Sattar iaitu rakan seperjuangan dengan Allahyarham mengatakan semua filem, lakonan, karya dan arahan Allahyarham P. Ramlee tidak mempunyai skripnya. Maksudnya tidak lagi disimpan oleh mana-mana pihak secara perseorangan. Sesungguhnya berita ini sangat menyedihkan dan mendukacitakan, tetapi ianya masih belum terlambat. Kesedaran ini berputik kerana memandangkan sumbangan besar yang dicurahkan oleh Allahyarham P. Ramlee yang diangkat sebagai satu karya agong perlu didokumentasi segera, agar khazanah ilmu perfileman tersebut tidak terus berkubur tanpa nisan. Jika penulisan semula skrip tersebut dilakukan duapuluh atau tigapuluh tahun dahulu, sudah tentu masakini pelbagai kajian yang dapat dilakukan pada hasil karya Allahyarham. 
Banyak ilmu-ilmu yang terdapat dalam karya beliau yang sepatutnya dijadikan teks pengajian di Sekolah-Sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi. Hasil-hasil karya P. Ramlee iaitu skrip-skrip filemnya perlu dijadikan buku rujukan dan bacaan umum. Difahamkan lebih kurang 69 filem yang melibatkan Allahyarham P. Ramlee yang mana kebanyakan filem tersebut tidak ada skrip-skripnya, yakni sama ada musnah ataupun hilang. Pada keseluruhan filem lakonan dan arahan P. Ramlee, banyak berlaku perubahan adegan dan dailognya yakni tidak mengikut skrip asal. Fenomena ini terjadi tanpa dirancang terlebih dahulu kerana semasa penggambaran filem tersebut berlangsung, banyak pengubahsuaian adegan serta dailog-dailognya berlaku secara impromptu dan ad-lip secara spontan oleh pengarah dan pelakonnya. Sebagaimana pernah terjadi pada Filem Seniman Bujang Lapuk kebanyakan dailog-dailog dalam filem tersebut telah terubah secara tidak disengajakan oleh para pelakonnya seperti P. Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsuddin. Pembinaan dailog-dailog secara spontan tersebut lebih melucukan dan mencuit hati yang mana tidak terdapat dalam karya asal skripnya. Penulisan semula skrip tersebut akan memperincikan semua aspek berdasarkan visual sebenar filem tersebut mengikut teknik penulisan skrip masakini. Justeru itu, penulisan semula skrip filem P. Ramlee ini memberi penampilan sebenar skrip filem sebagaimana yang dipaparkan di dalam visualnya. 
Alhamdullillah, saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT, kerana setekat ini, telah mentranskripsi  empat puluh filem (40)   yang memakan masa lima (5) tahun lebih (Okt 2006 hingga  Nov, 2011) di antaranya; Panggilan Pulau, Pendekar Bujang Lapok, Labu dan Labi, Keluarga 69, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Bujang Lapok, Ibu, Sarjan Hassan, Semerah Padi,  Enam Jahanam, Sejoli, Nasib Si Labu Labi, Seniman Bujang Lapok, Dr. Rushdi, Nilam, Abu Hassan Pencuri, Nasib Do Re Mi,  Hang Tuah, Musang Berjanggut, Juwita, Ibu Mentuaku, Antara Dua Darjat,  Jangan Tinggal Daku, Sumpah Orang Minyak, Anjoran Nasib, Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Panas,  Madu Tiga, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok, Laksamana Do Re Mi,  Anakku Sazali, Penarik Beca, Sabaruddin Tukang Kasut, Aloha, Rachun Dunia, Sesudah Subuh dan Ahmad Albab. 
Projek Transkripsi Filem Mendapat Pengiktirafan
Daripada The Malaysia Book of Records
Selain itu, transkripsi ini tidak merubah keaslian dari segi bahasa, dialek, ejaan dan lain-lain, kerana ianya memaparkan zaman penerbitan filem tersebut. Kerja-kerja transkripsi ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa adanya sokongan daripada semua pihak, yang mana projek ini dinaungi oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), RTM, Astro, Utusan Malaysia, Berita Harian dan lain-lain yang tidak dapat dinyatakan keseluruhan di sini. Sesungguhnya, sokongan padu dari segi moral dan material daripada semua pihak, banyak membantu merealisasikan projek ini. Walau bagaimanapun, projek transkripsi ini terdapat kesilapan dan kekurangan yang tidak disengajakan. Namun, yang lebih utamanya, walaupun sedikit usaha ini, segalanya adalah sumbangan dan usaha kita bersama yang bertanggungjawab untuk mendokumentasikan skrip filem kita wajah kita dan memakmurkan industri perfiileman Malaysia. Para pelajar dan penyelidik boleh membuat rujukan skrip-skrip tersebut di Perpustakaan FINAS, Galeri Perfileman, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Perpustakaan Tun Abdul Razak, Cawangan Puncak Perdana, Shah Alam dan Perpustakaan, Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.  Akhir kata, terima kasih tidak terhingga kepada The Malaysia Book of Records kerana memberi pengiktirafan kerja-kerja transkripsi filem tersebut sebagai usaha dan kerja-kerja transkripsi filem pertama di Malaysia. Dengan izin Allah Rabul Jalil makanya selesailah kajian Ph.D saya. Alhamdullilah.

Monday, November 30, 2009

Tayangan Amal: Wayang Untuk Gaza

Program Homecoming UiTM/Nostalgia 52

Malam Sehati Sejiwa

Eksplorasi Sastera

Ekplorasi Sastera adalah projek pelajar program penulisan Artistik menimba pengalaman dalam usaha mengkreatifkan diri mencipta karya dalam pelbagai genre penulisan. Mereka didedahkan satu ekplorasi di dalam hutan simpan di Sungai Bil, Slim River, Perak, bagi mengenali keunikan azali ciptaan Allah s.w.t segala flora dan fauna. Flora dan fauna yang diciptakan oleh Allah s.w.t sebagai sandaran untuk mereka berfikir mengenai kejadian alam yang boleh dikaitkan dalam penulisan sastera. Penulisan sastera mencangkupi pelbagai ruang kehidupan, masalah, penderitaan, kesenangan dan lain-lain. Kesemuanya dijadikan asas dan elemen penciptaan sesebuah karya. Justeru, seramai 27 pelajar yang turut serta dalam program tersebut dengan jayanya. Program tersebut berjalan lancar tanpa ada sebarang kerumitan dan kesulitan. Berikut adalah geraklanjur perjalanan aktiviti tersebut:

1). Pada 14 Mac 2008 - Jam 5.00 para pelajar bertolak dari Kampus Puncak Perdana ke Sungai Bil, Slim River, Perak. Pada 8.00, mereka sampai ke lokasi dan diberi taklimat dan program bermula dengan suaidiri dalam kamar belantara. Para pelajar dikehendaki menyediakan makan malam mengikut suasana sekeliling iaitu survival diri (makan ala kadar). Jam 1.00 pagi tidur/berehat.

2). Pada 15 Mac 2008 - Jam 5.30 pagi, para pelajar dikejutkan untuk solat subuh dan kemudian mengenai alam pagi dalam belantara. Mendengari deruan air terjun dan unggas rimba. (Sebagai pemikiran dalam penciptaan karya). 8.00 pagi, pelajar menyediakan sarapan pagi mengikut survival dalam belantara). 9.00 pagi – 12.00 tengahari, para pelajar menjelajar Sungai Bil beberapa kilometer bagi mengenali alam benda dan alam air. (Sebagai dasar pemikiran dan penciptaan karya). 12.30 makan tengahari (penyediaan makanan mengikut kekampungan – iaitu makan pucuk kayu dan ulam-ulaman. (Sebagai mengisafi keadaan kehidupan kekampungan – cetusan karya pertama para pelajar). 1.00 petang – 3.00 petang (beristerihat). 3.00 petang – 5.00, gerak-gembur membuat empangan di sungai. (Moral- menunjukkan betapa kehidupan bersepakat sebagai kata pepatah: “Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat” - Ilmu ini sebagai pemikiran dalam pengkaryaan. 5.00 petang – 8.00 malam, solat asar dan magrib (rehat). 8.30 malam malam (BBQ - makanan sungai dan tumbuhan hutan) campfire diadakan dengan sesi mengenali penciptaan Alam dan mengisafi diri untuk menjadi pelajar cemerlang. Pelajar diberi peluang mendedahkan pemikiran masing-masing sehingga terhasil karya individu. Jam 12.30 tamat program.

3). Jam 8.00 pagi – 10.00 pagi, acara bebas pelajar bersantai dan melawati kawasan berhampiran Sungai Bil iaitu menziarahi orang tua kampung untuk berkenalmesra. Jam 12.30 tengahari semua pelajar bertolak ke Kampus Puncak Perdana.

Sesungguhnya, Program Ekplorasi Sastera memberi kesempatan dan peluang para pelajar meninggalkan hiruk-pikuk suasana kuliah dan kampus buat seketika. Mereka telah memperolehi satu pengalaman baru dalam belantara bagi menghasilkan karya dan penciptaan seni. Selain itu dapati menikmati kesegaran alam sebagai menyuntik semangat baru untuk berhadapan dengan pengkuliahan dan pembelajaran di kampus. Mereka juga telah dapat mengenali peribadi rakan-rakan kuliah secara lebih keintimersa antara satu dengan lain sebagai rakan menuju puncak jaya.

Seminar Dan Bengkel: Program Penulisan Artistik (TEKA ) UiTM

Program FACT Road Tour