Makalah ini membincangkan komunikasi lisan dan bukan lisan dalam Adat Temenggung (Kuala Kangsar) dan Adat Perpatih (Negeri Sembilan) dalam adat perkahwinan. Komunikasi lisan adalah pengucapan dan lain-lain, manakala komunikasi bukan lisan adalah lambang atau simbol, peralatan kesenian yang boleh memberi pengertian dalam proses interaksi sosial. Ketika interaksi sosial masyarakat Melayu kedapatan keunikkan tersendiri sebagai khazanah bangsa. Bahasa komunikasi Melayu amat halus, bersopan santun, bertatacara dan penuh tertib. Dalam Adat Perkahwinan masyarakat Melayu, mempunyai susurgalur dan bertatacara ketika melaksanakan proses adat. Adat perkahwinan adalah satu proses awal kehidupan masyarakat Melayu. Ketika melaksanakan adat perkahwinan terdapat tatacara komunikasi membabitkan pepatah-petitih perbilangan adat, perumpamaan, pantun, ungkapan, petua-petua, jampi-mentera dan lain-lain. Makalah ini memaparkan komunikasi budaya Melayu yang terdapat dalam kehidupan mereka yang sarat dengan nilai-nilai kebaikan. Ianya tersirat dalam setiap upacara yang membabitkan adat istiadat Melayu. Selain itu, makalah ini memaparkan perbandingan di antara Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Walaupun dari segi loghat pertuturannya berbeza tetapi pelaksanaannya ada persamaan kerana kedua-dua adat ini adalah daripada satu rumpun iaitu dari Sumatera. Sesungguhnya, makalah ini dapat menambah bahan rujukan dan juga pendokumentasian komunikasi budaya Melayu.
Pengenalan
Perkahwinan adalah satu proses kehidupan pertama mencorakkan sebuah keluarga. Perkahwinan yang mengikut peraturan adat adalah dengan perantaraan kedua ibubapa. Perkahwinan tanpa disertai kedua orang tua adalah satu perbuatan yang melanggar adat dan tidak manis dipandang oleh masyarakat Melayu. Sama ada perkahwinan berlandaskan suka sama suka ataupun pilihan ibubapa, ianya hendaklah mengikut peraturan dan adat Melayu. Perkahwinan adalah satu landasan kehidupan manusia untuk memperbanyakkan umat dan keturunan. Sehubungan dengan itu, Tamar Djaja berpendapat “...perkahwinan bagi manusia adalah salah satu aspek kehidupan iaitu untuk mendapatkan keturunan yang baik, untuk mencari ketenangan dan ketenteraman, untuk melepaskan keinginan syahwat, untuk membina dan membangun dunia”.[2] Seorang ahli sosiologi Barat iaitu, Ralph Linton memberi definisi perkahwinan sebagai “...marriage is Adat Perkahwinan socially recognized union between persons of opposite sex. Marriage and family are really distinct institutions and must be considered separately”.[3]
Kenyataan di atas, menunjukkan bahawa perkahwinan adalah sebagai undang-undang upacara atau proses yang membolehkan terbentuknya perhubungan yang mengikut peraturan suami-isteri ataupun sebagai ikatan fizikal, undang-undang moral di antara seorang lelaki dan seorang perempuan ke dalam pergaulan hidup yang sempurna untuk pembentukan sesebuah keluarga. Sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran dan Surah Yassin yang bermaksud: a). “Mereka (perempuan) itu pakaian kamu (lelaki) dan kamu pakaian mereka”[4] dan; b). “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan segala makhluk serba berpasangan baik yang tumbuh di bumi mahupun dari diri mereka sendiri, serta apa-apa yang tidak mereka ketahui.”[5]
Oleh itu, jelaslah perkahwinan adalah satu tabii alam menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia mahupun makhluk lain di dunia. Namun, setiap perkahwinan mempunyai peraturan, undang-undang dan adat resamnya tersendiri. Justeru, masyarakat Melayu menjadikan perkahwinan satu ikatan kekeluargaan dunia dan akhirat. Ikatan kekeluargaan tersebut berlandaskan perkahwinan mengikut hukum hakam syarak dan adat resam masyarakat Melayu. Hukum syarak dan adat resam menjadikan asas utama mencorakkan perkahwinan masyarakat Melayu. Proses menjalani perkahwinan, masyarakat Melayu amat menitikberatkan soal adat yakni susurgalur peraturan daripada sebelum perkahwinan sehinggalah selesai. Susurgalur peraturan tersebut adalah tatacara komunikasi yang digunakan ketika proses perkahwinan itu berlangsung. Ini bersesuaian dengan Pepatah-Petitih perbilangan adat seperti “ kerja baik berimbauan, datang kerja buruk berambauan” [6].
Pepatah-petitih perbilangan adat menjadi komunikasi lisan masyarakat Melayu yang memberikan pengertian sesuatu dalam kehidupan mereka. Ianya juga sebagai sesuatu pedoman yang dijadikan sebagai peraturan dan undang-undang dalam masyarakat Melayu sejak zaman berzaman lagi. Dalam adat perkahwinan Pepatah-petitih perbilangan adat banyak sekali digunakan bagi merujuk sesuatu perkara. Setiap perkara yang membabitkan adat dilakukan daripada mula sehinggalah ke akhirnya sebagaimana Pepatah-petitih: “Berbilang dari esa, mengaji dari alif”. Pepatah-petitih ini sungguh memberi makna dalam urusan adat yang bermaksud bahawa sesuatu perkerjaan adat hendaklah dilakukan dengan aturan iaitu daripada mula sehingga selesai tanpa bercanggah dengan adat resam masyarakat Melayu. Begitu juga dengan Pepatah-petitih seperti “Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut”. Pepatah-Petitih ini memberi pengertian bahawa seseorang yang tinggal di sesuatu kampung hendaklah menurut adat istiadat kampung dan negeri yang ia bermastautin, walaupun tinggal hanya beberapa bulan sahaja. Justeru, menunjukkan adat resam masyarakat Melayu menitikberatkan peraturan yang digariskan dalam pepatah-petitih perbilangan adat yang menjadi sebagai peraturan ataupun undang-undang. Walaupun pepatah-petitih itu tidak bertulis, tetapi ianya menjadi pengucapan yang berkesan di sanubari masyarakat Melayu yang telah mengamalkan adat tersebut sejak berzaman. Sehubungan itu, dalam interaksi sosial masyarakat Melayu, dua jenis bahasa komunikasi digunakan ialah secara lisan dan bukan lisan. Komunikasi lisan[7] ialah pertuturan yang membabitkan pengucapan pepatah-petitih, pantun, syair, gurindam, seloka dan lain-lain, manakala komunikasi bukan lisan ialah dengan perantaraan lambang-lambang tertentu seperti sireh, keris, tepak sireh, rebana iaitu bunyi-bunyian, bau-bauan. Komunikasi lisan boleh ditakrifkan benda-benda yang tidak boleh dipegang (non-material), manakala komunikasi bukan lisan (material) boleh dipegang dan tidak boleh dipegang.[8]
Setiap upacara dalam adat perkahwinan yang dijalankan ada tatacara komunikasi tertentu yakni bahasa komunikasi digunakan. Seseorang yang ingin berkahwin iaitu bagi lelaki dan perempuan akan menjalani proses perkahwinan dalam empat tahap. Tahap pertama ialah adat merisik, tahap kedua ialah adat meminang, tahap ketiga adalah adat pertunangan dan tahap keempat ialah adat Perkahwinan. Keempat-empat tahap dalam proses tersebut mengikut tatacara komunikasi tertentu. Tatacara komunikasi yang dimaksudkan ialah proses perkahwinan yang dijalankan mengikut lunas-lunas peraturan adat yang mana perlakuan dan perbuatan seseorang dalam melaksanakan adat perkahwinan ini berlandaskan komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.Dalam kajian ini, masyarakat Melayu yang mengamalkan Adat Temenggung dan Adat Pepatih mempunyai cara tersendiri melaksanakan adat perkahwinan. Namun, dalam hal-hal tertentu kedua-dua adat itu juga mempunyai persamaan kerana berasal daripada adat serumpun iaitu daripada Negeri Minangkabau di Sumatera. Oleh itu, terdapat beberapa persamaan dalam masyarakat Melayu ini melaksanakan upacara Adat Perkahwinan. Namun, perbezaan yang nyata ialah dari segi dialek (loghat) pertuturannya yang mana pengamal Adat Temenggung mengikut loghat perak, manakala pengamal Adat Pepatih, mengikut loghat Negeri Sembilan. Justeru, kedua-dua adat ini boleh dikaitkan dengan pepatah-petitih perbilangan adat seperti: “Jalan dialih orang lalu, cupak dipepat orang menggalas”. Pepatah-petitih perbilangan adat tersebut bermaksud bahawa adat istiadat ataupun kebudayaan asli sesuatu masyarakat atau sesuatu negeri berubah coraknya kerana diubah oleh orang asing yang baru datang ke negeri itu membawa adat mereka. Justeru, perlakuan adat akan menerima perubahan mengikut situasi dan peredaran zaman.
Namun, adat ataupun peraturan kehidupan yang mencorakkan nilai dan norma-norma masyarakat masih dipelihara dan dijaga sebagaimana ungkapan “Jalanraya titian batu”. Yang bermaksud adat ataupun peraturan daripada zaman dahulu masih tetap dipraktikkan tanpa ada perubahan selagi adat istiadat itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ini menunjukkan adat istiadat perkahwinan merupakan adat yang sejak zaman berzaman diikuti dan dipakai sebagai khazanah budaya Melayu turun temurun “yang tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas,” ataupun “Adat yang bersisamping, syarak yang bertelanjang” yang memberi pengertian bahawa menyampaikan ajaran adat, seseorang itu hendaklah bertutur dengan bahasa kiasan, jika seseorang mengikut ajaran syarak hendaklah bertutur dengan berterus terang tanpa batasan. Ini bermaksud, bahasa komunikasi iaitu pertuturan ketika menjalankan upacara adat amat menitikberatkan bahasa kiasan yang menjadi sebagai komunikasi lisan yang bersopan dan bertertib. Ini bermakna dalam melaksanakan adat istiadat, seseorang itu tidak boleh membelakangi agama tetapi ianya seharus seiring dengan ajaran Islam sebagai panduan dunia dan akhirat. Amalan adat merupakan pegangan yang bercirikan pengucapan komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan yang memberi makna tertentu dan mempunyai fungsi tertentu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu sebagaimana ungkapan “emas bukan saudara bukan, budi sedikit orang hargai”[9] Justeru, dalam adat perkahwinan, setiap perlakuan dan perbuatan masyarakat Melayu bagi menjalankan upacara adat adalah berlandaskan dua jenis komunikasi iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan dalam pertuturan bahasa komunikasi.
Adat Merisik
Adat merisik adalah tahap permulaan Adat Perkahwinan iaitu satu proses menentukan calon gadis yang bakal ditunangi oleh seseorang teruna. Adat merisik adalah istilah komunikasi lisan yang difahami oleh masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian memberi pengertian bahawa seseorang gadis itu sedang diintip, diselidiki ataupun ditinjau oleh pihak wakil lelaki ataupun lelaki itu sendiri. Amalan adat merisik ini kebiasaannya dilakukan dizaman lampau dan masih juga dipraktikkan di sesetengah tempat semasa kajian ini dilakukan. Selain itu, kebanyakan lelaki yang ingin berkahwin adalah berumur dalam lingkungan 22 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, ada juga yang dalam umur belasan tahun berkahwin tetapi bilangannya amat sedikit. Apabila seseorang yang berhajat untuk berkahwin, ibubapanya akan melantik wakil daripada keturunan ibubapanya sendiri ataupun jiran tetangga untuk merisik ataupun mengintai seseorang gadis untuk dijadikan calon isteri. Adat merisik dilakukan kerana seseorang teruna tidak mengenali seseorang gadis yang diingini ditunangi. Pada zaman ini, kebiasaannya seseorang lelaki sudah berkenalan dengan gadis pilihan yang mana tidak perlu melakukan adat merisik.Walau bagaimanapun, ada di antara keluarga yang masih mempraktikkan Adat Perkahwinan amalan nenek moyang mereka iaitu melakukan adat merisik. Adat merisik dilakukan kerana seseorang itu tidak pandai mencari gadis pilihan sendiri ataupun mereka bersikap pemalu. Selain itu, bertujuan ingin melihat paras rupa ataupun perwatakan si gadis. Si pemuda akan mengintip gadis itu tanpa pengetahuannya, sebagai contoh semasa si gadis itu pergi ke kedai ataupun ke mana-mana. Jika si pemuda itu berkenan, ia akan menyampaikan hasrat untuk memperisterikan gadis itu kepada kedua ibubapanya. Kebiasaannya, ketika adat merisik dilakukan, pemuda itu ditemani oleh seseorang yang telah diwakilkan oleh ibubapanya. Wakil yang menemani si pemuda itu biasanya amat mahir melihat peribadi seseorang gadis sama ada baik untuk dijadikan isteri ataupun sebaliknya. Rupa paras dan tingkahlaku merupakan ciri-ciri penting yang diperlihatkan sebagai penilaian oleh wakil yang mengintip. Perbuatan mengintip dalam adat merisik bertujuan menilai tingkahlakukanya, cara berjalan, cara pertuturan dan sebagainya. Pemerhati atau wakil yang mengintip dapat membuat taksiran sama ada gadis itu baik ataupun sebaliknya. Tingkahlaku dan perbuatan gadis adalah simbol komunikasi bukan lisan yang dapat difahami oleh wakil yang menjadi pemerhati melalui pengalamannya melihat gerak-geri wanita.
Setelah pemerhatian dibuat dalam adat merisik, si pemerhati akan melaporkan keputusan itu kepada kedua ibubapa si pemuda. Kebiasaannya wakil yang membuat kajian itu berpengalaman melihat tingkahlaku seseorang gadis sama ada sesuai ataupun serasi dengan si pemuda itu. Istilah sesuai ataupun serasi adalah pengucapan komunikasi lisan[10] dalam adat merisik yang memberi pengertian bahawa seseorang gadis itu secocok ataupun seperti kata pepatah-petitih “bagai pinang dibelah dua” ataupun “belum dipanjat asap kemenyan”. Kedua-dua pepatah-petitih itu adalah komunikasi lisan yang memberi pengertian seseorang gadis itu amat baik sifat tingkahlakunya dan masih mempunyai dara. Pepatah-petitih perbilangan adalah himpunan khazanah adat yang menjadi komunikasi lisan masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian dalam interaksi sosial. Dalam peraturan adat “Timba mencari perigi, antan pergi ke lesung” tetapi bukan “enau memanjat sigat”[11]. Bahasa kiasan ini bermaksud dalam mencari pasangan hidup, si lelaki akan melamar gadis tetapi bukan si gadis mencari lelaki. Lantaran itu, perlakuan seseorang pemuda dan wakilnya merisik gadis yang bakal menjadi isteri pemuda itu adalah satu perbuatan positif mengikut peraturan adat sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyang masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.
Adat Meminang
Adat meminang adalah satu adat susulan setelah Adat merisik dilakukan. Kebiasaannya adat meminang dilakukan setelah ibubapa si lelaki bersetuju untuk menjadikan gadis yang dirisik bakal menantunya. Meminang adalah membawa tepak sirih[12] yang lengkap diisi dengan alatnya seperti daun sirih yang telah dipilih dari daun yang elok, kapur, gambir, bunga cengkih dan pinang yang telah dikacip untuk dipersembahkan kepada keluarga si gadis. Daun sirih biasanya dipilih atau dipetik diwaktu pagi sebelum kering embun diwaktu pagi. Perbuatan mengambil sirih diwaktu pagi adalah komunikasi bukan lisan yang mempunyai pengertian bahawa embun lambang sejahtera dan ubat pengikut kasih sayang di antara kedua pemuda dan gadis itu. Daun sirih yang dipilih hendaklah tidak bertemu urat yang juga menjadi simbol komunikasi bukan lisan yang memberikan pengertian bahawa sesuatu percubaan menggunakan kuasa sihir tidak akan menjadi jika ia dimakan atau disimpan.[13] Pada waktu pagi adalah tabii alam yang menjadi satu pedoman dan garis panduan ilmu pendukunan yang ada kaitan dengan hubungan manusia dengan alam. Waktu pagi sering dikaitkan dengan suasana sejahtera dan kesegaran. Oleh itu, segala pekerjaan dan perbuatan adalah dimulai diwaktu pagi selepas solat subuh, semoga mendapat keberkatan daripada pencipta alam iaitu Allah s.w.t. Malam dan siang adalah dua simbol komunikasi bukan lisan mempunyai pengertian tertentu. Malam dikaitkan dengan warna hitam dan siang warna putih. Hitam sering ditaksirkan keburukan, kecelakaan dan nilai negatif, manakala putih kebersihan, kesucian dan nilai positif. Istilah meminang berasal daripada pokok pinang yang mana pokok itu mempunyai buah yang dipanggil buah pinang. Buah pinang merupakan ramuan penting dalam ‘sirih pinang’ iaitu dikacip dan diletakkan bersama-sama sirih, gambir, bunga cengkih dan kapur dalam tepak sirih.
Oleh kerana buah pinang yang digunakan dalam peminangan adalah sebagai simbol komunikasi bukan lisan yang bermaksud teruna dan dara saling perlu memerlukan dalam perkongsian hidup mereka. Sirih pinang memberi erti bahawa mereka yang ingin memakan sirih perlu ada pinangnya dan kedua-duanya tidak dapat dipisangkan dan begitu juga dengan ramuan-ramuan yang lain seperti gambir, bunga cengkih, kapur dan lain-lain. Kebiasaannya dalam adat meminang, telah diberitahu rombongan wakil pihak lelaki akan datang pada tarikh yang telah ditetapkan, tetapi ada juga kedatangan pihak lelaki sengaja tidak diberitahu dengan alasan untuk menguji sambutan pihak perempuan. Pihak keluarga perempuan kebiasaannya dapat memahami kedatangan rombongan itu dengan adanya tepak sirih yang dibawa oleh wakil pihak lelaki. Ketika rombongan pihak lelaki tiba, tuan rumah mempersilakan para tetamu naik ke rumah. Mengikut cara masyarakat Melayu di zaman lampau, para tetamu dipersilakan duduk di atas tikar mengkuang bersama-sama dengan tuan rumah. Tetamu lelaki duduk bersila dan tetamu perempuan duduk bertimpuh. Duduk bertimpuh adalah melipatkan kedua belah kaki tindih menindih disebelah kiri. Perbuatan bertimpuh menunjukkan perempuan itu bertertib dan bersopan santun yang mencirikan adat-adat ketimuran. Jika dilihat melalui mata kasar, seseorang yang duduk bersopan memperlihatkan keperibadiannya sebagai komunikasi bukan lisan. Pertemuan ini dimulakan dengan pengucapan salam dan selamat datang daripada tuan rumah. Pihak wakil lelaki akan menyambut salam dan memulakan interaksi pertama seperti kata-kata berikut:
Kami datang membawa hajat
Datang kemari bagai nak berperang
Entah menang entah tidak
Kata orang
Adat bersabung ada kalah ada menang
Adat merisik adat bertanya khabar
Jikalau khabar baik,
Baiklah kami terima
Jikalau tidak belum ada jodoh lagi.
Sebab datang kemari,
Nak meninjau taman larangan tuan,
Yang ada sekuntum bunga yang sedang mekar,
Bak kata pepatah
Pisang yang sedang masak ranum
Buah yang sudah boleh dipetik[14]
Kedatangan kami
Umpamo umur belun setahun jagung
Darah belun setampok pinang
Kok siang belun malam
Ibarat menyingkap daun mengambil buah
Umpir kulit tengok isinyo
Bak kato orang
Bilo sudah beranak
Kok jantan disorahkan mengaji
Kok betino disorahkan menjahit
Sombong pado omak
Banggo pada ayahnyo
Jadi rasonya,
Bungo ditaman yang dicari
Sudah jumpo,
Elok dan molek rasonyo
Kalau belun dipotik kumbang lain.[15]
Pengucapan kata-kata perenggan pertama itu digunakan oleh masyarakat Melayu di Kuala Kangsar iaitu pengamal Adat Temenggung. Namun, pengucapan kata-kata kiasan masyarakat Melayu di Rembau seperti perenggan dua berbeza sedikit dari segi loghat bahasa dan kata-kata yang digunakan. Walau bagaimanapun dalam kajian ini pengucapan kata ini tidak mengikut loghat Negeri Sembilan yang seratus peratus asli. Setelah pengucapan kata-kata itu berakhir, wakil pihak lelaki akan menolak tepak sirih ke depan. Tuan rumah hanya memandang sahaja tepak sirih tetapi tidak menyentuhnya lagi. Wakil daripada pihak perempuan menyambut kata-kata daripada pihak lelaki itu seperti berikut:
Anak kami belum pandai memasak
Kalau memasak ada yang mentahnya
Kalau digoreng jadi hangus
Nasi dimasak jadi rentong
Umur setahun jagung
Belum pandai mengenal dunia
“enak lauk dikunyah-kunyah,
enak kata diulang-ulang.”[16]
Anak kami belun pandai apo-apo
Momasak nasi jadi kanji,
Monenggek air montah melese,
Mengaji koran bolun khatam
Tapi kalu sudi apo nak buek
Kato pepatah
Biar “dipandang anak
Pandanglah menantu”.[17]
Mengikut masyarakat Melayu di kawasan kajian, meminang adalah sebagai menghantar tanda dengan menyarungkan cincin tanda ke jari manis gadis sekaligus menunjukkan kesediaan gadis itu menerima lamaran pemuda itu. Namun syarat yang lebih lengkap, selepas meminang disusuli dengan majlis pertunangan rasmi. Meminang dengan pertunangan amat berbeza dari segi takrifan dan pelaksanaannya. Meminang hanya sekadar bertanya iaitu sebagai ‘membuka mulut’. Istilah ‘membuka mulut’ adalah komunikasi lisan yang bermaksud bertanya sesuatu kepada kedua orang tua gadis itu sama ada anaknya setuju ditunangkan. Cincin tanda sebagai adat ‘membuka mulut’ adalah komunikasi bukan lisan yang memberi makna pengertian bahawa sigadis bersetuju ditunangkan. Walau bagaimanapun sebelum mendapat keputusan dan persetujuan, si gadis akan ditanya oleh kedua ibubapanya secara komunikasi lisan dan disertai dengan cincin tanda yang dibawa oleh wakil lelaki itu bersama-sama di dalam tepak sirih. Pengucapan yang digunakan oleh ibubapa ketika menanyakan sesuatu kepada anak gadisnya adalah seperti: “kamu sudah besar panjang, cukup serba serbinya. Ada orang datang mintak, kamu setuju ke?” Kebiasaannya ketika si gadis ditanya oleh kedua ibubapanya ia akan membisu. Perbuatan membisu adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud bahawa si gadis setuju ditunangkan, ianya juga menggambarkan kesopanan tingkahlaku gadis itu. Jika cincin tanda itu diambil oleh gadis, ini bermaksud ia bersetuju untuk ditunangkan. Perbuatan si gadis mengambil cincin tanda itu adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud si gadis bersetuju ditunangkan dan sekaligus menjadi bakal isteri pemuda itu. Setelah itu ibubapa si gadis memulangkan tepak sirih kepada wakil pihak lelaki dengan penuh hormat dan beradat. Apabila wakil pihak lelaki mengetahui cincin dalam tepak sirih sudah tiada inilah sebagai komunikasi bukan lisan yang bermaksud si gadis setuju ditunangkan. Sesungguhnya dalam kehidupan masyarakat Melayu banyak perbuatan dan tingkahlaku seseorang memberi pengertian sesuatu kepada seseorang yang mana ia adalah sebagai komunikasi bukan lisan. Begitu juga dalam adat meminang banyak terdapat simbol dan isyarat yang boleh diklasifikasikan sebagai komunikasi bukan lisan.
Walaupun pada dasarnya cincin yang diambil oleh pihak si gadis memberi erti bahawa ia setuju dipertunangkan, namun ibubapanya tetap akan bertandang ke rumah pihak lelaki untuk memberi jawapan kata putus menggunakan komunikasi lisan diantata kedua belah pihak. Kebiasaannya dalam tempoh seminggu pihak ibubapa si gadis akan menghantat wakil untuk bertandang ke rumah pihak lelaki sebagai memberi persetujuan secara beradat sebagaimana Pepatah-petitih “kata dahulu bertepi, kata kemudian kata bercari” ataupun “kata seseorang dibulat, kata bersama diperiakan”. Pepatah-Petitih perbilangan adat itu adalah komunikasi lisan yang bermaksud sesuatu yang telah dijanjikan oleh kedua belah pihak lelaki dan si gadis hendaklah ditepati dan dimuliakan tetapi tidak dimungkiri. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu tradisional dan semasa kajian dilakukan masih tetap akur dengan janji berlandaskan peraturan adat yang tidak boleh dipandang ringan. Dalam adat meminang, ibubapa sendiri atau wakil berperanan sebagai perantaraan seseorang bagi melaksanakan sesuatu hajat. Perantaraan wakil dapat melicinkan lagi perbincangkan sebagaimana “kepalang tukang binasa kayu, kepalang cerdik binasa adat, kepalang arif badan binasa ataupun kepalang alim rusak agama”. Pepatah-Petitih ini adalah komunikasi lisan yang bermaksud sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan oleh mereka yang ahli ataupun arif tetapi tidak sebalinya. Oleh itu, mendirikan masjid iaitu Adat Perkahwinan hendaklah dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dari segi hukum-hakam agama dan adat seperti “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah, syarak mengata adat memakai”. Apabila kedua-dua belah pihak telahbersemuka iaitu wakil pihak perempuan dan wakil pihak lelaki, kata putus dibuat oleh wakil pihak perempuan seperti:
Orang berdatang sembah,
Kita bertandang balas
Yang bengkok ditegakkan
Yang diluruskan biat sentiasa lurus
Supaya menjadi lalui orang
Bagaimana janji kita sepakat
Begitulah kita menunggu berkat
Jadi kami wakilnya menerima
Kata sepakat:
“elok kata dalam muafakat
buruk kata diluar muafakat”
“bulat air kerana pembentong,
bulat kata kerana muafakat”
kata pepatah lagi:
“bertali boleh diseret
bertampuk boleh dijinjing”
keputusannya genggam ditangan
lekat dihati maka setujulah
yang empunya diri
begitulah keputusan kami.[18]
Janji kami toguhkan
Dengan kato, sifat manusio
Toguh dengan janji,
Kata pepatah:
“alang berjawat,
tepuk berbalas”
nan jauh kami jemputkan,
nak dokek kami kampungkan,
segalo tempek semendo dipanggil
menerimo cincin bererti jadi.[19]
Dalam berinteraksi di antara kedua belah pihak iaitu wakil perempuan dan wakil lelaki mereka banyak menggunakan bahasa-bahasa yang diselitkan dengan pepatah-petitih perbilangan adat. Pepatah-petitih perbilangan adat ini adalah sebagai menguatkan perbincangan diantara kedua belah pihak. Sehingga penulisan kertas-kerja ini dilakukan di kedua-dua kawasan masih menggunakan pepatah-petitih dalam majlis adat seperti adat meminang. Ini jelas menunjukkan bahawa pepatah-petitih perbilangan adat adalah komunikasi lisan yang berkesan bagi segaa urusan adat. Setelah itu, adat meminang selesai dengan ditandai tepak sirih sebagai kepala adat.
Adat Pertunangan
Adat Pertunangan dilakukan setelah adat meminang selesai setelah kedua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan sudah setuju anak-anak mereka ditunangkan. Adat pertunangan adalah tahap ketiga dalam Adat Perkahwinan. Peringkat ini ada satu tahap menentukan tarikh melangsungkan perkahwinan dan juga dalam tempoh pertunangan itu hingga hari perkahwinan. Tempoh pertunangan biasanya mengikut kehendak kedua belah pihak untuk membuat persediaan hari perkahwinan. Bagi lelaki untuk menyediakan perbelanjaan dan sebagainya manakala dipihak perempuan untuk menyediakan kelengkapan perkahwinan selengkapnya. Selain itu, tempoh pertunangan ini juga merupakan satu tempoh pertunangan ini juga merupakan satu tempoh pemernhatian dan percubaan si gadis. Ketika tempoh itu si gadis hendaklah menjaga diri yakni tidak boleh keluar rumah sesuka hati. Si gadis juga ketika tempoh pertunangan ini hendaklah belajar menjadi seorang bakal isteri iaitu harus pandai memasak, menjahit dan lain-lain. Istilah bertunang adalah komunikasi lisan yang bermaksud seseorang gadis dan seseorang teruna berada dalam tempoh percubaan untuk menempuh gerbang perkahwinan. Mengikut kepercayaan Masyarakat Melayu seseorang yang berada dalam tempoh pertunangan darahnya manis. Istilah ‘darah manis’ adalah komunikasi lisan yang bermaksud seseorang sedang dalam pertunangan hendaklah menjaga dirinya kerana ketika itu senang mendapat mala petaka. Si gadis dan si lelaki tidak boleh berjalan sendirian. Pengucapan bahasa bagi mereka dalam tempoh pertunangan yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menasihati si gadis dan si lelaki adalah seperti: “kamu sekarang darah manis jangan buat tak tentu hala”.[20]
Tujuan kawalan ini kerana khuatir mereka mudah ditimpa kemalangan yang mana akan menggagalkan rancangan untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Namun, ketika kajian dilakukan kepercayaan ini tidak lagi dipatuhi kerana mereka menganggapkan perkara itu tahyul sahaja. Namun, larangan itu adalah bertujuan untuk menjaga nama baik kedua belah pihak ataupun maruah keluarga. Jika si lelaki dan si gadis keluar sesuka hati ataupun membuat pertemuan sulit, dikhuatiri akan berlaku perkara sumbang dan tidak manis dipandang oleh masyarakat kampung. Selain itu, si gadis hendaklah sentiasa berkurung dirumah selama tempoh pertunangannya. Tujuan berbuat demikian adalah kerana si ibu ingin mengajar si gadis hukum hakam agama, peraturan berumahtangga dan sebagainya. Amalan berkurung dalam rumah selama tempoh pertunangan dilakukan oleh Masyarakat Melayu tradisional. Semasa kajian ini dilakukan, amalan ini tidak dipraktikkan kerana anak-anak gadis kebanyakannya berkerja. Oleh itu, mereka begitu bebas ke mana-mana tetapi tidak melanggat tatasusila adat Masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, sama ada seseorang mempunyai tatasusila yang tinggi atau tidak bergantung kepada pendidikan ibubapa mereka. Didikan dan ajaran agama dan adat daripada ibubapa dapat menjadikan mereka manusia sempurna sebagaimana Pepatah-Petitih “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.[21]
Di hari pertunangan, pihak si lelaki menyediakan hantaran pertunangan seperti tepak sirih (kepala adat), sirih junjung, cincin pertunangan[22], kain yang belum dijahit (untuk dibuat pakaian), buah-buahan, kuih-muih ataupun kek dan sebagainya. Kebiasaannya pihak lelaki menyediakan sekurang-kurangnya lima dulang hantaran untuk adat Pertunangan. Hantaran biasanya dibalut dengan plastik kuning ataupun barang-barang itu diletakkan diatas dulang yang beralas kain baldu berwarna kuning. Warna kuning adalah satu simbol komunikasi bukan lisan yang memberikan pengertian bahawa upacara adat pertunangan dijalankan. Selain itu warna kuning sebagai mengambil warna diraja yang menganggapkan bahawa si gadis dan si pemuda akan menjadi raja sehari. Hantaran yang dibawa itu kebiasaannya didahului oleh tepak sirih dan sirih junjung yang melambangkan sebagai kepala adat iaitu ibu peraturan dalam adat istiadat pertunangan. Sirih junjung adalah sirih yang disusun begitu rapi yang menampakkan satu gubahan yang menarik. Ianya adalah satu simbol komunikasi bukan lisan yang memberikan pengertian bahawa si gadis dan si lelaki ditunangkan diatas nama adat “Adat diisi, lembaga dituang” iaitu ketentuan tentang pelaksanaan kehidupan masyarakat dengan mengerjakan sesuatu kebaikkan menurut kebiasaannya nenek moyang turun temurun iaitu perkahwinan yang berlandaskan “adat lama pusaka usang”. Pepatah-petitih ini adalah komunikasi lisan yang bermaksud adat resam yang telah menjadi kebiasaan ataupun peraturan sejak zaman-berzaman janganlah diubah, kerana ianya mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan. Semasa kajian dilakukan, sirih junjung tidak disertai bersama-sama hantaran, ia akan mencacatkan majlis. Ini bnermaksud rombongan yang datang membawa hantaran itu mendapat malu kerana tidak mengikut “Adat yang berpanas, syarak yang berlindung”. Pepatah-petitih ini bermaksud adat mempunyai nilai moral di dunia dan agama adalah nilai morak dunia dan akhirat yang seharusnya dipelihara dan dijaga. Apabila rombongan pihak lelaki sampai, mereka dipersilakan naik dengan penuh cara beradat. Rombongan pihak lelaki disambut oleh ibubapa gadis itu dan juga wakil yang mengurus kedua pihak lelaki dan perempuan salam bersalaman. Ketika salam bersalaman itu, pihak si perempuan memulakan pengucapan seperti:
Sila masuk sila naik
Selamat datang abang-abang, adik-adik
Jika tinggi sama-sama mendaki
Jika rendah sama-sama turuti
Yang baik adat begitu juga agama
Jika tiada adat tiada kata muafakat
Hidup melarat kurang berkat
Yang dihajat tak dapat
Kata pepatah:
“berjenjang naik, bertangga turun”
yang baik kita sama-sama turutkan
yang jahat sama-sama jauhi
“jika panjang minta dikerat
jika pendek minta diulas”.[23]
Walau bagaimana pun perbincangan itu seharusnya diteruskan untuk mendapat persetujuan daripada kedua belah pihak sebagaimana Pepatah-Petitih perbilangan adat “Biar bertakik di mulut, jangan bertakik di hati”. Pepatah-Petitih ini bermaksud jika kedua belah pihak lelaki dan perempuan ketika membincangkan sesuatu perkara yang membabitkan perjanjian seperti adat pertunangan hendaklah dibuat dengan penuh teliti. Jika salah satu pihak tidak bersetuju dengan perbincangan dan perjanjian yang dibuat ia hendaklah mengemukakan bantahan ketika itu juga tetapi bukan selepas majlis itu berjalan. Oleh kerana masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian berlainan dialek pertuturan iaitu loghat Perak dan loghat Negeri Sembilan, maka pengucapan ketika berinteraksi dalam adat pertunangan jauh berbeza. Berikut adalah pengucapan kata-kata yang digunakan oleh wakil pihak perempuan bagi masyarakat Melayu di Rembau:
Katong-katong berisi manik
Mani diisi dengan hampeh padi
Semuo yang datang silolah naik
Tuan-puan yang baik budi.
Kato orang:
“Asam gunung garam dilaut
bertemu dibelanga”
tetapi jalan pulak
“Api padam puntung berasap”
kok jadi jangan pulak
“bergantung sehasta tali”
yang mati tetap mati
tapi jangan sebelum bercerai mati.
Dalam interaksi Adat Pertunangan terdapat banyak pepatah-petitih perbilangan adat digunakan dan disulami dengan kata-kata kiasan. Kata-kata kiasan adalah komunikasi lisan yang memperlihatkan identiti masyarakat Melayu yang penuh bersopan-santun dalam mengeluarkan tuturkata sebagaimana “yang dimakan rasa, yang dilihat rupa. Yang didengar bunyi”. Pepatah-Petitih ini bermaksud tiap-tiap perkataan yang dikeluarkan hendaklah diteliti supaya jangan menyinggung perasaan sehingga menjadi permusuhan yang berkekalan. Setelah kedua belah pihak berinteraksi dengan pengucapan kata-kata kiasan dan pepatah-petitih perbilangan adat, maka pertunangan diantara si gadis dan teruna berlangsung. Berikut adalah pengucapan kata-kata kiasan yang menjadi komunikasi lisan antara wakil pihak perempuan sebagai satu perjanjian adat pertunangan:
Saya sebagai wakil Adat Pertunangan
Ahmad bin Abdullah
Ikrar kami diatas nama Allah s.w.t
Jika ingkar dipihak perempuan
Maka bergandalah yang kami minta
Tapi jika ditakdirkan ajalmaut dipihak kami
Hantaran ini sebagai sedekah jua
Pihak kami pohon pertunangan diikat
Setahun dari saat ini
Dan pihak kami nak tahu
Berapa hantarannya?
Berapa maskahwinnya?
Kata pemutus tak berdolak dalik.[24]
Cincin pengikat satu bontuk
Seiyo sekato
Jika tak sekato dibalikkan
Jika sekato
Janji dibuek dimuliokan
Sampai janji ditepati
Helah sijantan losap tando
Helah sibetino digando tando
Pihak kami mintak mengikat tunang setahun,
Supayo si jantan banyakkan duit
Supayo sibetino bersiap diri
Sebelun terlupo
Berapo hantarannyo
Berapo maskahwinnyo?
Yang wajib kono didahulukan
Yang sunat dikemudiankan.[25]
Setelah pihak wakil lelaki mengucapkan janji adat iaitu komunikasi lisan perjanjian pertunangan, maka telah termaktublah perjanjian disatu pihak iaitu di pihak lelaki. Walau bagaimanapun, pihak wakil perempuan akan menyambut pengucapan janji adat dengan melafaskan pengucapan seperti berikut:
Anak perempuan kami dibela
Bukan dijual
Mengasuh-mengaji ibadah kami
Jika tinggi duit hantarannya
Bukan erti menjual anak
Yang untung sama-sama dijunjung
Senang anak,
Senang menantu,
Di zaman susah sama dipikul,
Di zaman senang sama dijulang,
Jika setuju
Hantarannya RM3000[26]
Serba Satu maskahwinnya RM125.00
Tepak sirih kepala adat kami terima
Cincin bertunang kami serahkan
Pada yang punya
Jika mengikut adat kami
Perjanjian kita telah termeteri.[27]
Kojo nan elok dicopekkan
Kojo nan buruk diplambekkan
Cincin sebentok jadi pengikatan
Janji dibuek dimuliokan
Sampai janji ditopekkan
Melotak hargo bukan berorti menjual anak
Tak sobut mati omak
Disobut mati bapak
Dah menjadi adatnyo
Maskahwin adat wajib RM85.00
Hantaran RM3000
Serba satu
Kalau setuju kata setuju.[28]
Apabila pengucapan kata-kata kiasan itu dilafazkan oleh wakil pihak perempuan maka, kedua belah pihak sudah melakukan ‘akad’ iaitu perjanjian. Kebiasaannya wakil pihak lelaki tidak akan berkata apa-apa selepas pengucapan itu melainkan mereka menganggukkan kepala tanda setuju. Mengangguk kepala adalah satu isyarat komunikasi bukan lisan yang bermaksud bahawa sesuatu perbincangan itu diterima sebulat suara tanpa bantahan. Oleh itu, selesai sudah adat pertunangan antara wakil pihak lelaki dengan wakil pihak perempuan.
Adat Perkahwinan
Adat Perkahwinan adalah upacara kemuncak bagi kedua-dua pasangan pengantin yang disatukan, iaitu mereka disahkan menjadi suami-isteri mengikut hukum syarak dan saluran adat. Dalam Adat Perkahwinan seseorang lelaki akan melalui empat tahap proses adat iaitu tahap pertama bernikah, tahap kedua membatalkan air sembahyang, tahap ketika adat persandingan dan tahap keempat adat menziarah. Keempat-empat tahap dalam proses Adat Perkahwinan ini dijalankan mengikut tertib adat dan mempunyai tata cara komunikasi tertentu iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan adalah cara interaksi menggunakan pengucapan bahasa kiasan, pepatah-petitih, gurindam, seloka, pantun, syair dan lain-lain yang mempunyai pengertian tertentu dalam Adat Perkahwinan. Komunikasi bukan Lisan adalah perlakuan seseorang, alat-alat bunyian seperti rebana, kompangm benda-benda yang meberi simbol makna kepada seseorang seperti tepak sirih, sirih junjung, keris, tengkolok, tepung tawar, bunga rampai, bunga telur dan lain-lain lagi. Tepak sirih dan sirih junjung adalah simbol komunikasi bukan lisan yang mempunyai makna tersendiri sebagaimana dalam adat pertunangan. Begitu juga sebilah keris yang disisip ke sebelah rusuk kiri pengantin lelaki mempunyai komunikasi bukan lisan yang meberikan maksud keberanian dan kegagahan seseorang lelaki. Mengikut sejarah manusia, Hawa dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam. Oleh itu, keris yang dipakai oleh pengantin lelaki adalah sebagai menggantikan tulang rusuk yang kurang itu. Ini bertujuan untuk memberikan kekuatan zahir dan batin.
Selain itu, keris yang dipakai oleh pengantin lelaki bertujuan supaya terhindar daripada gangguan iblis dan syaitan ataupun perbuatan sihir manusia. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, besi keris diperbuat daripada campuran pelbagai besi seperti besi kusani, besi kuning, perak, tembaga dan lain-lain yang tidak mampan oleh kuasa sihir dan perbuatan jahat. Ini jelas menunjukkan bahawa sebilah keris yang dipakai oleh pengantin lelaki mempunyai pengertian tertentu tetapi tidak hanya dipakai untuk hiasan sahaja. Begitu juga tengkolok yang dipakai oleh pengantin lelaki adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud, ia menjadi pemerintah satu kerajaan baru iaitu ‘raja’ dalam rumahtangga, manakala isterinya sebagai permaisuri. Perbuatan seseorang merenjis ‘tepung tawar’ ketika kedua pengantin disandingkan diatas pelamin sebagai komunikasi bukan lisan yang dimaksudkan mereka merestui perkahwinan kedua-duanya. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, merenjis daripada air tepung tawar itu akan membuang segala petala dan sial. Rasionalnya perbuatan merenjis tepung tawar adalah satu cara interaksi diantara si perenjis dengan kedua-dua pengantin untuk mengenali kaun kerabat kedua-dua belah pihak pengantin. Ketika seseorang itu merenjis kedua-dua pengantin, Mak Andam ataupun si pengapit salah seorang pengantin akan memperkenalkan si perenjis dengan pengantin. Kebiasaannya orang yang merenjis pengantin itu adalah kerabat terdekat dengan keluarga pengantin dan orang-orang kenamaan.
Bunga rampai yang dipotong halus-halus sebagai komunikasi bukan lisan yang memberikan pengertian kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga diatas dasar cinta ataupun pilihan kedua ibubapa mereka. Bunga-bungaan yang dicampur dengan pelbagai daun untuk menerbitkan bau yang harum memberikan satu simbol iaitu kedua-dua pasangan itu akan memberikan nama yang harum kepada kedua-dua ibubapa mereka setelah berumahtangga. Bunga telur yang cantik dihias seperti jambangan bunga di depan pelamin adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud kedua-dua pengantin itu akan memperolehi banyak zuriat sebagaimana telur-telur itu bergantungan. Kebiasaannya pada malam hari sebelum majlis perkahwinan, rebana ataupun kompang dipalukan. Kumpulan rebana ataupun kompang adalah terdiri daripada anak muda masyarakat kampung itu. Bunyi paluan rebana mencetuskan satu rangkaian lagu yang mengasyikkan, ianya juga adalah komunikasi bukan lisan yang memberi makna bahawa dalam kampung itu ada majlis perkahwinan. Kadangkala bunyian paluan rebana ataupun kompang boleh didengari hingga berbatu-batu jauhnya. Semasa kajian ini dilakukan, rebana dan kompang masih digunakan oleh masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan. Rebana dan kompang sebagai penyeri untuk memeriahkan lagi sambutan majlis perkahwinan. Kebiasaannya di malam majlis perkahwinan, sanak saudara tuan rumah dan juga jiran tetangga datang bergotong-royong memasak lauk pauk dan kerja-kerja lain. Dalam keramaian inilah tercetusnya interaksi sosial diantara kaum kerabat tuan rumah dengan masyakat kampung. Dalam perhubungan sosial ini masyarakat Melayu berinteraksi diantara mereka melalui komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.
Adat menikah adalah satu adat wajid mengikut hukum syarat dan peraturan adat masyarakat Melayu. Adat menikah dilakukan sebelum melangsungkan majlis persandingan. Adat menikah adalah sebagai ijab dan kabul diantara si pengantin lelaki dengan bapa si pengantin perempuan sebagai wali atau mewakilkan kepada Tok Kadi. Semasa kajian ini dilakukan, masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan mengadakan adat menikah pada malam hari sebelum majlis persandingan dilangsungkan. Walau bagaimanapun, terdapat di sesetengah tempat mengadakan adat menikah disebelah pagi pada hari majlis persandingan yang mana bergantung kepada kemahuan kedua ibubapa si pengantin itu sendiri. Masyarakat Melayu di Kuala Kangsar mengadakan majlis adat menikah pada sebelah malam sebelum hari perkahwinan kerana untuk mengelakkan si pengantin lelaki menjadi gementar ketika majlis akad nikah dijalankan. Suasana malam adalah keadaan yang sesuai dan tenang bagi si pengantin lelaki untuk berdepan dengan tok kadi. Sebelum rombongan si pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, lelaki telah diberikan oleh dukun atau pawang ‘sirih semangat’ untuk dimakan. Sirih semangat adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud jika sirih itu dimakan dengan izin Allah s.w.t seseorang itu akan menjadi berani dan tidak gementar dalam keadaan apa sekalipun. Sirih semangat digunakan dalam pelbagai perubatan tradisional Melayu tanpa had dan batasannya yang mana sebagai lambang keberanian dan kekuatan. Sebagai contoh di zaman silam, panglima-panglima ataupun pendekar yang pergi berjuang dibekalkan dengan sirih semangat untuk memberikan keyakian mental dan fizikal mereka.
Ketika si pengantin lelaki menaiki tangga rumah si pengantin perempuan, dia tidak dibenarkan memijak anak tangga pertama sebaliknya hendaklah melangkah ke anak tangga ke tiga. Perbuatan ini adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud untuk mengelakkan percubaan seseorang menggunakan sihirnya bertujuan menyukarkan si pengantin lelaki melafazkan ijab dan kabul ketika majlis pernikahan dilakukan. Kebiasaannya seseorang yang menjadi pengapit si pengantin lelaki mempunyai kekuatan batin yang dapat menangkis perbuatan jahat yang mencuba untuk menjatuhkan maruah si pengantin. Semasa kajian ini dilakukan, perbuatan jahat ini dilakukan jika pengantin lelaki bukan anak kampung disitu ataupun orang luar. Walau bagaimanapun, jika si pengantin adalah anak orang tempatan, perbuatan jahat itu mungkin tidak akan berlaku. Perbuatan nakal daripada pemuda-pemuda kampung sebagai menunjukkan tanda protes ataupun cemburu kerana ia tidak dapat mengahwini anak gadis kampung itu. Selain itu, perbuatan itu hanyalah bertujuan bergurau senda diantara pemuda kampung dengan si pengantin yang dalam keadaan gugup dan gementar itu. Sesungguhnya majlis akad nikah adalah komunikasi lisan diantara si pengantin lelaki dengan tok kadi. Ia juga adalah satu ikrar si pengantin lelaki menerima pengantin perempuan sebagai isterinya yang sah mengikut lunas-lunas syarak dan ajaran agama Islam. Sehubungan dengan itu, Zainal Kling berpendapat “… istiadat akad mengesahkan hubungan suami isteri disisi masyarakat, dan membenarkan keduanya tinggal di dalam sebuah rumah tangga serta menjalani kehidupan sehari-hari bersama”.[29] Sebelum akad nikah tok kadi menyuruh si pengantin lelaki mengucap dua kali syahadah dan beristighfar yang mana merupakan komunikasi lisan di antara makhluk manusia dengan Allah s.w.t. Pengucapan dua kalimah syahadah dan beristighfar adalah mengikrarkan dirinya mengaku Tuhan yang disembah adalah Allah dan Nabi Muhamad adalah persuruh Allah. Begitu juga dengan pengucapan istighfar adalah untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t sebagai memohon keberkatan untuk melakukan akad nikah.
Majlis Adat Menikah itu juga dijalankan dihadapan dua orang saksi daripada pihak perempuan dan saksi daripada pihak lelaki. Pengucapan kata-kata yang digunakan oleh Tok Kadi dalam majlis akad nikah adalah seperti: “Ahmad bin Abdullah (sekadar nama pilihan), aku nikahkan dikau yang diwakilkan kepada aku dengan Rohana binti Ali (sekadar nama pilihan) dengan mas Kahwin sebanyak lapan puluh lima ringgit tunai”. Selepas Tok Kadi selesai mengucapkankan kata-kata itu, pengantin lelaki menjawab seperti: “Aku terima nikahnya dengan Rohana binti Ali dengan mas kahwinnya lapan puluh lima ringgit tunai”. Pengucapan antara tok Kadi dan si pengantin lelaki tadi adalah komunikasi lisan yang memberi pengertian bahawa dari saat itu si lelaki dan si perempuan telah sah menjadi suami isteri dengan ikatan perkahwinan mengikut tuntutan agama Islam dengan melafazkan ijab dan kabul . Setelah selesai pengucapan kata-kata ijab dan kabul, Tok Kadi menanyakan kedua-dua saksi di pihak lelaki dan perempuan sebagai mendapat persetujuan ‘sah’ bagi kedua belah pihak. Pengucapan lafaz ‘sah’ adalah komunikasi lisan yang maksud pernikahan tersebut telah sah disisi agama dan adat istiadat masyarakat Melayu. Tok Kadi kemudiannya meminta pengantin lelaki dan pengantin perempuan menurunkan tandatangan sebagai satu perjanjian bertulis iaitu komunikasi bukan lisan yang bermaksud perkahwinan tersebut dijalankan mengikut undang-undang agama dan tuntutan adat istiadat Masyarakat Melayu.
Adat Membatalkan Air Sembahyang
Adat membatalkan air sembahyang adalah satu upacara menyarungkan cincin oleh si suami kepada si isteri setelah selesai majlis akad nikah. Kebiasaannya, majlis ini diadakan di kamar pengantin perempuan yang disaksikan oleh kedua ibubapa si pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Perbuatan menyarungkan cincin ke jari manis isteri adalah komunikasi bukan lisan yang memberi pengertian bahawa si isteri sudah diberi satu tanda dan ikrar bahawa di saat itu ia sudah menjadi milik orang iaitu sebagai isteri yang mana telah terpisah daripada tanggungjawab ibubapanya. Kebiasaannya setelah si suami menyarungkan cincin ke jari manis isterinya, ia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan si isterinya dan si isteri akan mencium tangan suaminya sebagai komunikasi bukan lisan yang bermaksud menunjukkan kepatuhan dan ketaatan terhadao suaminya di dunia dan akhirat. Perbuatan menyarungkan cincin dan bersalaman itu adalah merupakan Adat membatalkan Air Sembahyang. Rasionalnya perbuatan itu menandakan satu kemenangan kepada kedua pasangan pengantin kerana mereka telah sah dan selamat diijabkabulkan disisi agama dan tuntutan adat istiadat Melayu. Setelah selesai semua majlis itu, paluan rebana ataupun kompang dimulakan dengan gemersik dan mengasyikkan. Perbuatan paluan rebana ini adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud majlis Adat Menikah dan Majlis Adat Membatalkan Air Sembahyang telah selesai. Orang ramai yang tidak dapat menyaksikan majlis itu dapat mengetahui kedua-dua majlis tersebut telah selesai dengan paluan rebana itu. Ini menunjukkan dalam proses Adat perkahwinan, kedua-dua tahap ini merupakan satu ujian bagi pengantin lelaki dan perempuan. Pengantin lelaki menghadapi ujian besar ketika Adat Menikah manakala si pengantin perempuan menunggu dengan penuh debaran di dada apabila suaminya menyarungkan cincin sebagai tanda pengesahan sebaai suami isteri yang akan menempuh gerbang kehidupan yang baru. Selain itu, kedua-dua mereka akan berdebar-debar menantikan saat-saat kebahagiaan ketika bersama-sama di malam pertama perkahwinan.
Adat Persandingan
Adat persandingan adalah tahap terakhir dan jua sebagai acara kemuncak dalam Adat Perkahwinan. Saat ini juga adalah suatu kegembiraan kepada ibubapa pengantin lelaki dan penganti perempuan dapat menyaksi anak-anak mereka disandingkan dengan dihadiri oleh kaum kerabat dan sahabat handai. Kebiasaannya, rombongan pengantin lelaki akan datang bersama-sama dengan hantaran seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak ketika dalam adat Pertunangan. Ketika pengantin lelaki berada diluar kawasan halaman rumah si pengantin perempuan, rebana dipalu untuk menggamatkan suasana ketika itu. Pengantin perempuan yang diapit oleh Mak Andam akan menjemput pengantin lelaki naik kerumahnya. Apabila kedua mempelai menghampiri anak tangga rumah itu, beras kunyit ditabur di anak tangga. Perbuatan menaburkan beras kunyit aalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud member laluan kesejahteraan kepada kedua-dua mempelai untuk merintis jalan kehidupan alam berumahtangga. Salah seorang daripada mereka mengucapkan kata-kata kiasan yang menjadi komunikasi lisan dalam Adat Perkahwinan adalah seperti “Asam digunung, Garam di laut, bertemu di dalam belanga, kuah tertumpah ke nasi, nasi dimakan juga”. Pepatah-Petitih perbilangan adat itu bermaksud bahawa kedua mempelai tidak mengenali antara satu sama lain tetapi akhirnya bertemu di hari persandingan. Ini jelas menunjukkan manusia itu hanyalah merancang tetapi Allah s.w.t sahaja yang menentukan. Oleh itu, kelahiran, jodoh dan kematian adalah hak Allah s.w.t sebagai pencipt alam. Rombongan pengantin seterusnya mempersilakan naik seperti pengucapan tuan rumah:
Cik Minah membeli bunga
Bunga pandan bunga kasturi
Orang yang dinanti sudah tiba
Jemputlah naik wahai raja sehari[30]
Kayu aro tinggi sobatang
Dahan melambai ke pucuk putih
Kok kami memandang mato berputih
Compodak ditongah laman
Dijolok dengan sepasang kaki
Usahlah lamo togak di laman
Silo naik dan basuhlah kaki.[31]
Pengucapan kata-kata ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau. Pengucapan kata-kata kiasan dan pantun ini adalah komunikasi lisan dalam adat persandingan di majlis perkahwinan. Pengucapan kata-kata kiasan dan pantun yang digunakan tidak sama dalam sesebuah kampung ini dan bergantung kepada daya kreativiti masing-masing. Semasa kajian ini dilakukan, kebanyakan kata-kata yang digunakan tidak seragam dan ada penambahan di sana sini. Walau bagaimanapun, pengucapan kata-kata kiasan dan pantun di atas bahawa dalam Adat Perkahwinan terdapat tatacara komunikasi tertentu. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun zaman telah berubah, tetapi Masyarakat Melayu mengamalkan adat resam mereka sebagaimana Pepatah-Petitih perbilangan adat:
Adat diisi, lembaga di tuang
Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang
Adat menurun
Syarak mendaki
Adat lama pusaka usang.[32]
Pepatah-Petitih perbilangan adat ini adalah komunikasi lisan yang digunakan sejak turun temurun. Ianya dijadikan landasan dan pedoman peraturan bagi masyarakat Melayu di zaman lampau dan masakini. Ini memperlihatkan dalam kehidupan masyarakat Melayu mempunyai tatacara berkomunikasi yang unik. Keunikkan tatacara komunikasinya dapat digambarkan melalui pantun, gurindam dan sebagainya. Begitu juga dalam Adat Perkahwinan dan adat yang lain, bahasa kiasan dan Pepatah-Petitih banyak digunakan. Justeru itu, ini memperlihatkan masyarakat Melayu mempunyai budaya komunikasi dengan identiti tersendiri. Setelah rombongan pengantin lelaki dipersilakan naik, mak Andam membawa kedua-dua mempelai itu ke pelamin yang telah disediakan dihadapan para hadirin. Ketika itu, kedua-dua pengantin diperlakukan seolah-olah mereka sebagai raja. Rombongan pengantin lelaki terus meletakkan hantaran yang dibawanya dihadapan pengantin sebagai persembahan. Wakil ataupun ketua pihak lelaki mengucapkan kata adat seperti:
“Adat dunia balas membalas
syariat palu memalu
seperti yang dijanjikan
hantaran adat pengikat janji
tiga ribu serba satu,
kata pepatah:
“sambil berdiang nasi masak
sambil berdendang biduk hilir”
muafakat kita membawa berkat.[33]
Pengucapan kata-kata kiasan dan gurindam merupakan komunikasi lisan dalam Adat Perkahwinan yang mana pengucapan kata-kata ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Kuala Kangsar ketika menghantar hantaran. Pengucapan kata-kata ini bermaksud, adat kehidupan di dunia ini tidak luput dengan balas- membalas iaitu budi baik dibalas dengan baik dan kejahatan yang diterima dibalas dengan kejahatan. Oleh itu, dalam mengerjakan perkara yang baik seperti Adat Perkahwinan kedua belah pihak dapat melakukan pekerjaan yang memberi hasil dalam dua perkara; pertama dapat mengahwinkan anak- anak mereka, keduanya dapat mengadakan kenduri-kendara untuk mengumpulkan kaum kerabat dan sanak saudara untuk bergembira di majlis perkahwinan itu. Ini jelas menunjukkan dala Adat Perkahwinan banyak memberi manfaat dari segi interaksi sosial iaitu mengumpulkan saudara- mara jauh dan dekat untuk bermesra dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pengucapan kata- kata kiasan dalam Adat Perkahwinan tidak sama di antara masyarakat Melayu di Kuala Kangsar dengan masyarakat Melayu di Rembau. Berikut ini adalah pengucapan kata- kata kiasan sebagai gurindam daripada masyarakat Melayu di Rembau ketika menyampaikan hantaran di majlis perkahwinan untuk pihak perempuan:
Selilit langkah sebuah pulau
Selimbang Tanah Melayu
Se- Alam Tanah Minangkabau
Untung sekali malam berturut
Unutng tak boleh ditageh
Malam tak boleh ditolakkan
Untuk melambung tinggi
Malam menimpo badan
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah
Maka beruntonglah kito
Bersuku jauh pun ado
Mako jauh pun ado
Kok dekek dipandangkan
Yang dipinto,
Yang dihayat,
Didepan mato,
Tak suko, tak sudi
Dipecat jangan
Hantaran tiga ribu serbo satu
Itulah syarat, itulah janji,
Harap terimo dengan seikhlas hati.[34]
Setelah selesai pengucapan kata-kata sebagai komunikasi lisan dalam Adat Perkahwinan, maka pihak wakil pengantin perempuan mengambil wang hantaran digubah menjadi pelbagai bentuk mengikut daya kreativiti si penggubah, dan ada kalanya diletakkan di dalam sebuah album gambar supaya mudah dikira oleh wakil perempuan. Setelah wakil pihak pengantin perempuan puas hati jumlah wangnya seperti dijanjikan, maka hantaran itu dibawa masuk masuk ke dalam kamar pengantin perempuan untuk disaksikan oleh pengantin sendiri. Setelah itu, hantaran balas daripada pihak pengantin perempuan dibawa keluar daripada kamar pengantin. Perbuatan membawa hantaran balas keluar daripada kamar pengantin merupakan komunikasi bukan lisan yang bermaksud segala perjanjian telah tercapai seperti “Adat dunia balas membalas, syariat palu-memalu” dan juga “Sandar-menyandar bagai aur dengan tebing, bagai tangguk dengan bingkainya”. Apabila hantaran balas telah diletak di hadapan rombongan pihak pengantin lelaki, pihak pengantin perempuan akan mengucapkan:
Hantaran pengantin lelaki diterima
Tiada cacat tiada kurangnya
Sebagai adat balas membalas
Hantaran balas di depan mata
Semua yang ada saksi yang nyata
Anggaplah hantaran balas
Membuka kata, mennyahut rasa
Dan pihak kami terima seluruh jiwa
Jangan malu dan jangan sogan
Saksikanlah bersamo-samo
Kok panjang dipendekkan
Kok pendek disambungkan
Kok berlobih untonglah
Kok kurang mintak dimaafkan
Ini hantaran balas
Hantaran ikhlas
Daripada si betino.[35]
Setelah kedua-dua pihak selesai balas membalas hantaran, maka kedua yang sedang disandingkan itu direnjis dengan tepung tawar oleh kedua-dua kaum kerabat pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Seperti yang telah dinyatakan diawal bab ini, perbuatan merenjis ‘tepung tawar’ adalah bertujuan untuk berkenalan mesra diantara pengantin dengan yang merenjis itu. Selain itu, ianya adalah komunikasi bukan lisan yang bermaksud, kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan merestui perkahwinan kedua-duanya. Setelah itu, kedua-dua mempelai di bawa turun daripada rumah untuk dijamu hidangan pengantin. Para tetamu dan hadirin rombongan pengantin lelaki turut dipelawa ‘makan beradab’ iaitu istilah yangdigunakan bermaksud santapan Diraja bersama pengantin. ‘Makan beradab’ adalah istilah yang menjadi komunikasi lisan yang memberi makna bahawa segala pekerjaan telah selesai diantara kedua belah pihak yang mana telah selamat melangsungkan perkahwinan yang mengikut hukum syarak dan tuntutan adat.
Dalam masyarakat Melayu, majlis perkahwinan dijalankan dengan penuh adat istiadat yang berwarna-warni. Dalam Adat Istiadat Perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat tatacara komunikasi tertentu digunakan daripada mula adat merisik sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Tatacara komunikasi yang digunakan dalam Adat Perkahwinan terbahagi kepada dua jenis iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Bermula dengan adat merisik sehinggalah Adat Perkahwinan, seseorang berinteraksi ketika menjalankan upacara adat ini menggunakan tatacara komunikasi tertentu. Tatacara komunikasi yang dimaksudkan ialah cara pengucapan yang digunakan ketika berinteraksi di antara wakil lelaki dan wakil pihak perempuan. Mereka berkomunikasi dengan bahasa kiasan yang mencerminkan kesopanan antara kedua belah pihak bagi membincangkan perkara bersangkutan dengan Adat Perkahwinan. Bahasa kiasan dan pepatah-petitih perbilangan adat adalah komunikasi lisan yang sering digunakan dalam urusan Adat Perkahwinan. Benda-benda dan bahan-bahan seperti hantaran dan perhiasan pengantin yang digunakan dalam adat istiadat perkahwinan mempunyai pengertian dan makna tertentu yang mana digolong dalam komunikasi bukan lisan. Sebagai contoh, benda-benda yang boleh dipegang (material) seperti daun sirih, keris, inai, bunga rampai, bunga telur dan lain-lain mempunyai maksud tertentu dalam Adat Perkahwinan.
Alat-alat bunyian seperti rebana, kompang, gendang, gong dan lain-lain boleh memberi kesan bunyi untuk memeriahkan suasana majlis perkahwinan yang mana alat-alat tersebut digolongkan sebagai komunikasi bukan lisan. Apabila seseorang mendengar paluan rebana, ia dapat membuat tafsiran bahawa ketika itu ada majlis perkahwinan ataupun majlis yang membabitkan adat dijalankan. Ini menunjukkan bahawa alat-alat bunyian itu memainkan peranan menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Semasa kajian ini dilakukan, alat-alat bunyian itu masih digunakan dalam majlis perkahwinan dan juga majlis-majlis sosial yang lain.
Begitu juga bau-bauan seperti bunga rampai, daun-daun mandian adalah komunikasi bukan lisan yang memberikan pengertian untuk upacara tertentu. Justeru itu, dalam majlis perkahwinan bunga-bungaan dan bau-bauan digunakan sebagai menyerikan dan menyegarkan suasana di majlis itu. Walau bagaimanapun, semua benda-benda itu digunakan dimajlis perkahwinan mempunyai pengertian dan fungsi tertentu. Setelah pengkajian ini dibuat, didapati banyak perkara-perkara dalam adat istiadat masyarakat Melayu seperti adat merisik, meminang, pertunangan dan Adat Perkahwinan dijalankan dalam Komunikasi Lisan dan komunikasi bukan lisan. Hasil daripada kajian ini menunjukkan dalam Adat Perkahwinan masyarakat Melayu tradisonal, terdapat tatacara komunikasi yang tersendiri. Ini memperlihatkan Masyarakat Melayu sudah bertamadun sejak zaman berzaman. Sehingga kajian ini dilakukan masyarakat Melayu dikedua-dua kawasan kajian masih mempraktikkan tatacara komunikasi sebagaimana yang diterangkan dalam bab ini. Walaupun masyarakat Melayu yang dikaji mengamalkan dua adat yang berbeza iaitu Adat Temenggung dan Adat Pepatih tetapi perlaksanaan dalam Adat Perkahwinan tidak banyak berubah. Perbezaan yang nyata dalam kedua Masyarakat Melayu ini adalah dari segi loghat yang digunakan iaitu dialek pertuturan yang membezakan Masyarakat Melayu di Kuala Kangsar dan di Rembau. Apa yang menarik, Pepatah-Petitih perbilangan adat yang digunakan oleh Masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian adalah hampir sama. Begitu juga setiap upacara adat dijalankan pasti terdapat penggunaan gurindam, pantun dan seloka yang merupakan komunikasi lisan mereka.
Kesimpulan
Dalam masyarakat Melayu, majlis perkahwinan dijalankan dengan penuh adat istiadat yang berwarna-warni. Adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu terdapat tatacara komunikasi tertentu digunakan daripada mula Adat Merisik sehinggalah selesai majlis peerkahwinan dijalankan. Tatacara komunikasi yang digunakan dalam adat perkahwinan terbahagi dalam dua jenis iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Bermula adat merisik sehingga adat perkahwinan, seseorang berinteraksi menggunakan bahasa komunikasi berlandaskan adat. Tatacara komunikasi yang dimaksudkan ialah cara pengucapan yang digunakan ketika berinteraksi di antara wakil lelaki dengan wakil perempuan. Mereka berkomunikasi dengan bahasa kiasa yang mencerminkan sopan-santun. Bahasa kiasan dan pepatah-petitih perbilangan adat adalah bahasa komunikasi yang digunakan.
Benda-benda dan bahan-bahan seperti hantaran dan perhiasan pengantin yang digunakan dalam adat perkahwinan mempunyai pengertian dan mana tertentu yang mana digolongkan dalam komunikasi bukan lisan. Sebagai contoh, benda-benda yang boleh dipegang (material) seperti daun sirih, keris, inai, bunga rampai, bunga telur dan lain-lain lagi. Alat-alat bunyian seperti rebana, kompang, gendang, gong dan lain-lain boleh memberi kesan bunyi untuk memberiahkan suasana majlis perkahwinan yang mana alat-alat tersebut digolongkan sebagai komunikasi tanpa lisan. Apabila seseorang mendengar paluan rebana, ia dapat membuat taksiran bahawa ketika itu ada majlis perkahwinan ataupun majlis yang membabitkan adat-istiadat Melayu sedang berlangsung. Justeru, menunjukkan bahawa alat-alat bunyian memainkan peranan menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.
Bau-bauan seperti bunga rampai, daun-daun mandian adalah komunikasi bukan lisan yang memberi pengertian untuk upacara tertentu. Selain itu, pengucapan pepatah-petitih perbilangan adat, pantun, gurindam, syair digunakan begitu kerap dalam setiap majlis adat. Pengamal Adat Temenggung (Kuala Kangsar) dan pengamal Adat Pepatih (Rembau), hampir mempraktikkan adat-istiadat hampir sama. Faktor geografi, kawasan dan daerah tidak dapat memisahkan cara pelaksanaan adat istiadatnya kerana masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian adalah daripada satu rumpun bangsa dan agama sebagaimana “Adat di atas tumbuh, pusaka di atas tempat, adat negeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung, adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”. Sesungguhnya, pepatah-etitih perbilangan adat ini merupakan satu ciri penting dalam kehidupan masyarakat Melayu sebagai sandaran dan pedoman yang mana digandingkan dengan ajaran agama Islam. Bahasa komunikasi yang diamalkan sejak di zaman lampau sehingga kertas-kerja ini dihasilkan tidak banyak berubah. Jika perubahan berlaku, cuma dari segi sebutan dan pengucapan sahaja yang mengikut arus zaman. Wallahuallam.
Rujukan
1. Abd. Aziz Deraman. 1992. Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Abdul Halim Nasir. 1985. Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia . Kuala Lumpur. Darulfikir.
3. Abdul Rahman Ahmad Hanafiah. 1993. Adat Resam Komunikasi Melayu Tradisional: Satu Pemikiran Semula. Dewan Budaya, Mei: 20-21.
4. Abdullah Sidek. 1974. Adat dan Modenisasi. Kertas Kerja Seminar Persejarahan dan Adat Pepatih. Anjuran Majlis Belia Negeri Sembilan: 24-25 April.
5. Frank E. X. Dance & Carol C. Zak-Dance. 1986. Public Speaking. New York: Harper & Row Publishers.
6. Fred L. Casmir. 1974. Interaction An Introduction To Speech Communication. USA: Charles E. Merrill Publishing Company.
7. Fachruddin H.S. 1978. Terjemahan Hadits Shahih Muslim I. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.
8. Hassan A. DKK. 1972. Soal Jawab Tentang Berbagai Masalah Agama. Bandung: Penerbit C.V.
9. Hanafiah, M.A 1970. Tinjau Adat Minangkabau. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.
10. Harrison R.P. 1973. Nonverbal Communication. Dlm. De I Solo Pool, W. Schramm, N. Maccoby, F. Fry, E. Parker & J.L. Fern (pynt.). Handbook of Communication: 93-115. Chicago: RandMcnally.
11. Hooker, M.B. 1972. Adat Laws In Modern Malaya: Land Tenure Traditional Government and Religion. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
12. Hervey D.F.A. 1884. Rembau. JSBRAS. Vol. 13.
13. John, R.B. 1980. Mass Communication: An Introduction. London: Prentice-Hall Inc. Englewood Cliff.
14. Kassim Ahmad. (pngr.). 1966. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
15. Mac Iver, R.M. 1970. Masyarakat Satu Analisa Permulaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
16. Mahmud Junus, H. 1968. Tafsir Quran Karim. Jakarta: Alma’Arie.
17. Mohtar MD. Dom. 1977. Adat Pepatih dan Adat Istiadat Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publication.
18. Muhamad Taib Osman. 1988. Kebudayaan Melayu Dalam Beberapa Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
19. Nordin Selat. 1976. Sistem Sosial Adat Pepatih. Kuala Lumpur : Utusan Melayu.
20. Perak Government Gazette For The Year 1936. Taiping: Government Printing Office.
21. Ralph Linton, 1976. The Study of Man, Appleton Century Croft. New York .
22. Ryan , N.J. 1958. A History Of Kuala Kangsar. Kuala Kangsar: The Malay College Magazine. Vol.III
23. Roolvink, R. 1966. Kebudayaan Istilah Dan Pengertiannya. Dlm. Shahrim Abdullah (pytn.). Warna Sari Kebudayaan: Kelantan: Penerbitan PAP.
24. Said Abdullah Al-Hamdani. (pnyt.). 1964. Bagian Djanaiz dan Segala Persoalannya Menurut Ajaran Islam. Bandung: Penerbit P.T. Al-Ma’arif.
25. Schramm, Wilbur. 1978. The Process and Effects of Mass Communication. Urbana: University of Illionis Press.
26. Shannon, C. & Weaver, W. 1949. The Mathematical Theory Of Communication. Urbana: University Of Illionis Press.
27. Sidi Gazalba. 1974. Antropologi Budaya I. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.
28. Sidin, H.M. 1964. Asal Usul Adat Resam Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
29. Smith, A. (pnyt.). 1966. Communication And Culture. New York: Holt, Rinehart And Winston.
30. Tamar Djaja. 1980. Tuntutan Perkahwinan and Rumahtangga Islam. Bandung: PT. Alma’arif.
31. Taylor, E.N. 1988. Inheritance In Negri Sembilan. JRASMB. Vol. XXI Part 2. Dlm. Mohd Din Ali. Malay Family Customary Law. Intisari: Vol. 2. Bangi: Penerbit UKM..
32. Wan Abdul Kadir. 1988. Budaya Popular Dalam Masyarakat Melayu Bandaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
33. Zainal Kling. 1977a. Masyarakat MelayuAntara Tradisi dan Perubahan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
34. Zainal Kling. 1977a. Sistem Kekeluargaan di Melaka Utara. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
35. Zainal Kling. 1985. Konsep Kebudayaan Kebangsaan Malaysia . Dlm. Wan Abdul Kadir Yusof & Zainal Abidin Borhan. (pnyt.). Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
36. Zakiah Hanum. 1989. Asal Usul Negeri-negeri Di Malaysia. Kuala Lumpur : Times Books International.
[1] Makalah ini telah diterbitkan dalam “Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu” Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. hlm. 109-137 (1 Dec 2003).
[2] Tamar Djaja, Tuntutan Perkahwinan dan Rumahtangga Islam, PT. Alma’arif. Bandung , 1980, hlm. 49.
[3] Ralph Linton, 1976. The Study of Man, Appleton Century Croft. New York , 1976, hlm. 173.
[4] Semua terjemahan ayat-ayat Al-Quran tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan al-Quran kepada Pengertian al-Quran, edisi kelapan, (Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdanan Menteri, 1987).
[5] Surat Yassin, ayat. 36.
[6] Berimbauan bermaksud memanggil, menyeru dan menjemput datang, manakala berambauan bermaksud berlompatan ataupun mengejar. Kedua-dua istilah itu adalah daripada Minangkabau.
[7] a). Sesuatu proses komunikasi ataupun perhubungan yang mengeluarkan pengucapan suara adalah disebut komunikasi lisan. Individu yang berinteraksi dengan individu yang lain menggunakan pengucapan bahasa terbentuk dalam suasana kedua bileh pihak boleh fahami. b). Menurut Prof. Dr. Samsuddin A. Rahman, bidang komunikasi masih belum boleh dianggap sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri kerana kebanyakan konsep dan teori asasnya adalah berasal daripada bidang akademik yang lain seperti psikologi, sosiologi, sains politik dan jugak ekonomi (1991:1).
[8] Matahari dan bulan boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang dan begitu juga perasaan ataupun emosi seseorang tidak boleh dipegang tetapi boleh dimengertikan.
[9] Maksud pepatah-petitih tersebut, peraturan adat adalah satu hubungan yang erat di antara manusia dengan manusia lain, tetapi bukan kerana emas dan perak yang menjadi ukuran penilaian budi-pekertinya.
[10] Pengucapan komunikasi boleh ditakrifkan sebagai bahasa komunikasi sebagai pertuturan yang seseorang gunakan dalam interaksi sosial masyarakat Melayu.
[11] Pepatah-petitih perbilangan adat ini adalah ungkapan yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau (tempat kajian).
[12] Tepak sirih adalah simbol komunikasi bukan lisan yang mempunyai makna pelbagai. Setiap upacara membabitkan adat ianya digunakan dan adakala digunakan secara sewenang-wenangnya sebagai penyeri sesuatu majlis.
[13] Semuanya itu hanyalah satu kepercayaan masyarakat Melayu di zaman lampau, tidak bermakna menghilangkan akidah mereka sebagai orang Islam yang beriman kepada Allah s.w.t. dengan ketentuannya.
[14] Pengucapan bahasa komunikasi ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Kuala Kangsar di tempat kajian. Pengucapan tersebut tidak terikat di antara tempat-tempat lain di Mukim Kuala Kangsar. Ianya berlaku perubahan mengikut kegunaan masing-masing.
[15] Pengucapan ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau dalam Adat Meminang. Pengucapan tersebut mempunyai perbezaan dari segi loghat bahasanya. Setiap tempat juga adakala kedapatan pengucapan yang tidak seragam.
[16]Dirangkap akhir pengucapan tersebut terdapat pepatah-petitih perbilangan adat yang bermaksud, sesuatu perundingan yang baik itu hendaklah diulang-ulang beberapa kali membincangkannya kepada kaum keluarga dan sanak saudara iaitu timbang masak-masak supaya perkara yang dibincangkan tidak mendapat mudarat ataupun kerugian di sesuatu pihak yang lain. Pengucapan kata-kata tersebut digunakan oleh masyarakat Melayu di Kuala Kangsar yang merupakan bahasa komunikasi dalam adat meminang. Sehingga kajian ini dilakukan, masih terdapat masyarakat Melayu menggunakan bahasa-bahasa kiasan dalam pertemuan adat meminang.
[17]Pengucapan tersebut digunakan oleh masyarakat Melayu Rembau yang bermaksud jika ingin mencari bakal menantu hendaklah yang sepadan dengan anak, supaya bahagia hingga ke anak cucu. Namun, adakalanya pengucapan kata-kata bagi masyarakat Melayu di Rembau terdapat perbezaan dari segi loghat kedaerahannya.
[18] Pengucapan kata-kata ini digunakan oleh wakil pihak perempuan Masyarakat Melayu di Kuala Kangsar. “Elok kata dalam muafakat, buruk kata diluar muafakat” bermaksud setiap pekerjaan yang membabitkan adat istiadat hendaklah dilakukan dengan bermesyuarah dan bermaufakat terlebih dahulu supaya selamat. “Bertali boleh diseret, bertampuk boleh dijinjing” maksud sesuatu perjanjian ataupun sesuatu perkara yang dilakukan hendaklah dengan bukti yang nyata iaitu sehingga berkesudahan.
[19] Pengucapan kata-kata ini adalah digunakan oleh wakil pihak perempuan Masyarakat Melayu di Rembau. “Alang berjawat, tepuk berbalas” bermaksud perkara yang baik dilakukan dengan baik, dan begitulah seterusnya.
[20] Istilah darah manis sering dikaitkan dengan perkara-perkara kurang baik mudah berlaku. Ini barangkali melalui pengalaman mereka perkara tidak baik berlaku bagi anak-anak mereka yang sedang dalam pertunangan. Barangkali juga setiap yang berlaku tersebut hanyalah satu kebetulan sahaja. Wallahualam.
[21] Pepatah Melayu ini sering digunakan dalam setiap pengucapan yang membabitkan nasihat dan teguran orang-orang tua terhadap golongan muda dan seterusnya.
[22] Dalam adat perkahwinan, seseorang lelaki dikehendaki menyediakan tiga bentuk cincin iaitu: sebentuk ketika adat merisik, sebentuk adat pertunangan dan sebentuk lagi untuk membatalkan air sembahyang. Setiap bentuk cincin tersebut mempunyai maksud iaitu komunikasi bukan lisan, yang mempunyai pengertian tertentu.
[23] Pengucapan ini adalah kata-kata yang digunakan oleh pihak perempuan masyarakat Melayu di Kuala Kangsar ketika memulakan acara majlis pertunangan. “Berjinjang naik, bertangga turun” adalah Pepatah-Petitih perbilangan adat ini bermaksud sesuatu perkara yang hendak dikerjakan mestilah mengikut susunan dari bawah iaitu bermuafakat dengan sanak-saudara dan juga masyarakat semua sehingga menjadi keputusan muktamad. “Jika panjang minta dikerat, jika pendek minta diulas” bermaksud jika buah fikiran yang dikemukakan oleh seseorang daripada kedua belah pihak itu terlalu panjang hendaklah dikurangi atau ditambah mengikut pengalaman masing-masing.
[24] Pengucapan kata-kata kiasan ini adalah komunikasi lisan dalam adat pertunangan ketika melakukan perjajian diantara wakil pihak lelaki dengan wakil pihak perempuan. Pengucapan itu digunakan oleh Masyarakat Melayu di Kuala Kangsar.
[25] Masyarakat Melayu di Rembau menggunakan pengucapan kata-kata kiasan sebagaimana yang tersebut diatas.
[26] Nilai hantaran bergantung pada persetujuan di kedua pihak. Tinggi atau rendah hantaran tersebut adalah mengikut kadar semasa.
[27] Begitulah pengucapan kata-kata kiasan yang menjadi komunikasi lisan dalam interaksi Adat Pertunangan yang digunakan oleh wakil pihak perempuan dalam masyarakat Melayu Kuala Kangsar.
[28] Pengucapan kata-kata kiasan yang menjadi komunikasi lisan daripada wakil pihak perempuan masyarakat Melayu di Rembau.
[29] Zainal Kling, Bentuk dan Organisasi Keluarga di Kampong Melayu, dalam Zainal Kling, Masyarakat Melayu: Tradisi dan Perubahan, Utusan Publication & Distributors, Kuala Lumpur , 1977, hlm. 74.
[30] Pantun ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Kuala Kangsar. Pantun tersebut adakala mempunyai bentuk ataupun versi yang pelbagai mengikut kepandaian pemikiran dan kepetahan seseorang penuturnya.
[31] Pengucapan ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau. Kadangkala mereka juga berpantun mengikut keperluan ataupun ada orang yang menjual, makanya terjadilah jual-beli pantun dalam majlis tersebut.
[32] Pepatah-petitih perbilangan adat ini menjadi pengucapan harian masyarakat Melayu di Rembau. Ianya sebagai komunikasi lisan bagi mengungkapkan hujah adat dan hukum-hakam agama.
[33] “Adat dunia balas-membalas,syariat palu-pemalu” dan “sambil berdiang nasi masak, sambil berdendang biduk menghilir” adalah pepatah-petitih perbilangan adat.
[34] Pengucapan yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau.
[35] Pengucapan yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau, Negeri Sembilan.
4 comments:
'Biar mati anak,jangan mati adat'pepatah ini sangat sinonim dengan masyarakat melayu yang berpegang teguh dengan adat.Bagi masyarakat melayu mereka terlalu terikat dengan adat terutama dalam bab perkahwinan.Tidak dapat dinafikan sekarang mungkin sesetengah dari adat perkahwinan ditepis oleh masyarakat yang hidup dalam serba kemodenan.Perkahwinan dari segi bahasa ialah berkumpul/becampur.Manakala menurut istilah syarak ialah ijab&qabul yang menghalalkan persetubukan antara lelaki dan perempuan.Perkahwinan merupakan satu amalan yang mulia kerana dapat mencegah perzinaan daripada berleluasa tetapi masyarakat sekarang lebih malu untuk bekahwin pada usia yang muda dan mereka pula tidak malu untuk melakukan zina.Dalam adat perkahwinan terdapat empat proses iaitu merisik,meminang,bertunang,dan berkahwin.Puisi juga terselit dalam adat perkahwinan,contohnya semasa wakil daripada pihak lelaki melakukan adat merisik dan meminang iaitu dengan masing-masing menjual dan membeli pantun.selain itu,dalam perkahwinan terdapat perbuatan yang tersirat dan tersurat tanpa kita sedari.Disini juga kita dapat melihat tentang masyarakat sekarang semakin pudar berpegang kepada adat..sekian
“Bagai pinang dibelah dua”,
Peribahasa ini sangat sesuai dikaitkan dengan tajuk perkahwinan..
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
Dari sungai keikhlasan di hati ini mengalir ke lautan sanubari tuan hamba yang sentiasa dihuni ikan-ikan yang bebas keriangan dan dihiasi mutiara-mutiara kerahmatan..
Tak salah jika saya ingin melemparkan komen-komen saya di sini, bukan?
Saya tertarik dengan tajuk “Komunikasi Lisan & Bukan Lisan Dalam Adat Perkahwinan Melayu”
Pantang mata ini menatap ayat “perkahwinan”…
Sepertimana yang kita semua ketahui, bila sebut sahaja “perkahwinan”, semua orang membalas, “I like it!”, “tak sabar rasanya!” dan macam-macam lagi..
Perkahwinan adalah penyatuan antara lelaki dan perempuan secara sah, sepertimana yang tertulis di atas. Setelah saya membaca blog ini, saya mendapat banyak ilmu baru dalam dunia perkahwinan ini. Ternyata, dalam perkahwinan melayu, terbahagi kepada dua adat iaitu adat temenggung dan adat pepatih.
Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa perkahwinan adalah satu aspek kehidupan untuk mendapatkan keturunan yang baik, untuk mencari ketenangan & ketenteraman, melepaskan keinginan syahwat, & untuk membina dan membangunkan dunia.
“Biar mati anak, jangan mati adat”
Adat atau peraturan hidup masih dipelihara & dijaga selagi tidak bertentangan dengan ajaran islam. Membuktikan bahawa orang melayu sangat menjaga adat.
“tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”
Sesuai dikaitkan dengan adat perkahwinan melayu yang masih lagi diwarisi hingga ke hari ini walaupun konsep dan cara telah diubah kepada yang lebih moden.
Saya ingin berkongsi pengalaman semasa pak usu saya berkahwin. Bermula daripada meminang, sehinggalah bersanding. Semasa pak usu saya bertunang, pihak keluarga saya telah ke rumah mak usu, dengan membawa hantaran. Saya orang paling busy masa tu,, well,, cameraman lah katakan.. di sana, pelbagai makanan telah dihidangkan dan para tetamu disajikan dengan persembahan kuda kepang!
Semasa bersanding pula, fuh!!! Ramai orang datang ke rumah. Perut penuh dengan nasi minyak lah jawabnya, kan… apa yang saya suka tentang persandingan ialah kompang. Walaupun saya tak pandai main kompang, tetapi saya sangat terhibur melihat kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa berkompang. Ha, satu benda yang saya tak suka ialah bunga rampai. Walaupun orang ramai sukakannya, tetapi bau bunga rampai itu tetap tak boleh tinggal di dalam lubang hidung ini.
Semasa majlis itu berlangsung, mulalah hati kecil saya bertanya, “bila lah agaknya aku nak jadi raja sehari…?” hahaha, itulah serba sedikit cerita perkahwinan pak usu saya yang dapat saya kongsi di sini.. rasa-rasanya, agak panjang juga komen saya di sini.
Apa pun, orang melayu harus mengekalkan warisan ini, dan memelihara adat melayu dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi kata-kata kiasan yang penuh dengan kesenian dan gaya bahasa, yang digunakan untuk komunikasi dalam perkahwinan. Sebagai contoh, pantun.
Sekian, saya akhiri dengan serangkap pantun:
Bunga berseri kini layu,
Akibat keseorangan ditanah sahara;
Komunikasi berseni orang melayu,
Adat perkahwinan tetap terpelihara.
SEMERAH DARAH.
saya amat tertarik dengan isu ini.malah secara tidak langsung memberi gambaran awal kepada saya untuk mengenali sejarah perkahwinan melayu.Untuk makluman juga,sebenarnya saya bakal menerima abang ipar lagi pada bulan 6 yang akan menjelang tiba!!!justeru sebagai seorang yang ingin menjadikan majlis itu berlangsung dengan jayanya,saya akan berpandukan garis panduan ini.Alhadulillah pada 3/2/2011 baru bari ini adat merisik telah pun dijalankan,malah peneuh dengan adat budaya yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini dalam keluarga saya.Kebiasaanya sekiranya dahulu dalam proses merisik,keluarga lelaki hanya datang sekadar melihat lihat bakal pengantin,namun kali ini saya bersama ahli keluarga yang lain grandkan lagi majlis ini walaupun sekadar majlis permulaan kecil.Kami bersama sama menukar hantaran dan saling makan bersama sama serta solat berjemaah bersama sama.Boleh dikatakan seharian juga keluarga lelaki berada dirumah kami meskipun itu adalah kali pertama mereka datang!!dari situ kai sekeluarga boleh menilai tentang penerimaan mereka terhadap budaya kami.Alhadulillah..Insya -Allah pada11/6 ini majlis pertunangan pula bakal menyusul.Bermacam macam persiapan dilakukan sehinggakan rasanya bagaikan sebuah majlis perkahwinana yang akan berlangsung.Saya juga amat teruja dengan majlis pada kali ini kerana kami semuanya sepakat serta mempunyai keadaan ekonomi yanga kukuh untuk berbelanja besar pada kali ini.Saya mengimpikan sebuah perkahwianan yang berunsur sederhana namun mampu memberi kepuasan kepada semua orang.Justeru itulah saya sekarang sedang mengumpul maklumat untuk menjayakan majlis perkahwinan kakak itu pada hari raya aidilfitri ke-2 nanti..
Sangat menarik dan senang difahami.
Post a Comment