Thursday, June 17, 2010

Karya Besar Sastera dan Filem: Manifestasi Maruah dan Ketamadunan Bangsa

Oleh
Prof. Dr. Hatta Azad Khan


Pengenalan

Kertas ini akan membicarakan tentang karya besar dalam kesusasteraan dan pembikinan filem. Kesusasteraan merujuk kepada hasil penulisan dan tumpuannya adalah kepada novel. Sementara filem akan dilihat sebagai produk yang terhasil dari gabungan sastera iaitu penulisan skrip dan lakonlayar dengan kepengarahan dan sokongan teknologi. Sastera dan filem besar ini akan dilihat sebagai wadah yang memanifestasikan maruah dan ketamadunan bangsa. Manifestasi dilihat sebagai suatu bukti atau kenyataan yang memberi penunjuk kepada ketamadunan bangsa, kerana tamadun atau civilization adalah “keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh taraf perkembangan pemikiran atau peradaban (sosial dan budaya) yang tinggi” (Kamus Dewan, 1984: 1174).

            Pengertian civilization dalam bahasa Inggeris memberikan pengertian yang lebih luas: 1 a relatively high level of cultural and technological development, 2 the stage of cultural development at which writing and the keeping of written records is attained, 3 the cultural characteristic of a particular time or place, dan terakhir, 4 refinement of thought, manners, or taste (Webster’s New Collegiate Dictionary, 1979:202) Jadi kalau diambil pengertian ini, tajuk yang dibicarakan akan meliputi penulisan (sastera), budaya tinggi, bukti bertulis (rakaman), pemikiran, tingkah-laku dan citarasa yang tinggi serta ciri-ciri budaya pada sesuatu tempat (negara / bangsa) dan zaman. Bangsa pula akan merujuk kepada rakyat sesebuah negara yang akan dikenali melalui ketamadunan tadi.    

1 Manusia dan Peristiwa

Karya seni terhasil dalam kehidupan manusia yang berdepan pelbagai masaalah dan penyelesaian dalam berbagai kejadian atau peristiwa yang datang kepadanya dalam berbagai gaya dan cara: sebahagiannya dialaminya sendiri, sebahagian pula dialami kaum-kerabat terdekat yang turut melibatkan diri dalam berbagai cara, sebahagiannya pula berlaku di depan matanya dan menjadi sejarah bangsa dan negaranya. Kesemua ini akan turut mempengaruhi sikap, keperibadian, pemikiran dan tindakannya. Memang manusia itu boleh memilih untuk tidak terlibat, boleh juga memilih untuk melupainya dan boleh juga untuk menidakkannya. Tetapi jika ia seorang karyawan, sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku akan tetap tersimpan dalam benak ingatannya dan kalaupun tidak mengganggu jalur pemikirannya ia akan tetap bermain-main dan sentiasa meminta pertimbangan dan kepastian terhadap tanggapannya.

Dimana-manapun di dunia, sejarah, keadaan ekonomi, sosial dan politik turut mempengaruhi kehidupan.  Cuma dalam banyak perkara, kesan dan pengaruh politik menjadi tersangat anih. Keanihan berpunca dengan cara dan gaya bagaimana kita memberikan takrifan atau terjemahannya dengan mengikut acuan ciptaan sendiri. Kesan takrifan ini mempengaruhi tindak-balas manusia. Kefahaman politik yang sempit selalunya dikaitkan dengan kepartian dan kuasa, sedangkan politik adalah ideologi yang membendung dan menjurus kepada kesejahteraan rakyat. Tetapi benarlah seperti kata mereka yang mempelajari sains politik bahawa kuasa selalunya menyebabkan manusia lupa diri dan identiti dengan ingin terus menjadi besar, menang dan memerintah.   

Kehidupan sosial kita juga banyak berkait dengan ideologi politik. Kehidupan bermasyarakat tanpa mengira fahaman ideologi dan politik kepartian menjadi kenyataan yang sukar dijadikan amalan. Sukar mencari titik pertemuan yang memungkinkan kefahaman total dan terbuka antara kaum yang berbeza bahasa, budaya dan agama. Kesukaran ini bertambah bila timbul jurang ekonomi yang sangat ketara. Di suatu sudut kita melaungkan kesatuan dan perpaduan, tetapi pada ruang yang tertutup kita bangkitkan rasa takut dan curiga dan menuntut bentuk perpaduan yang berbeza.

Semua ini boleh diberikan perhatian khusus oleh karyawan sebagai sumber idea untuk mereka mencipta. Perbezaan pendapat dan pandangan sepatutnya memberikan titik-tolak kepada usaha-usaha untuk lebih mengenali dan memahami bahasa, budaya dan agama. Para karyawan boleh menghidangkan persoalan dan mungkin juga saranan atau jawapan dalam karya yang dibaca dan ditonton bersama. Sayangnya budaya menonton, membaca yang diikuti budaya berinteraksi dengan sihat semakin berkurangan. Satu kajian yang dibuat pada 1996 dan kemudian 2005 mendapati rakyat Malaysia secara purata cuma membaca dua buah buku setahun. Tetapi kajian ini disangkal oleh Menteri yang bertanggung-jawab dengan mengatakan angka itu silap kerana rakyat Malaysia kini membaca lapan hingga 12 buah buku setahun (Mingguan MStar, 21 Mac 2010:13).  

Kata Ingmar Bergman (1918 – 2007), penulis dan pengarah filem dari Sweden, “If you want to know what a filmmaker is saying, look at how he is saying it”. Seorang karyawan filem mempunyai cara dan gayanya sendiri menyampaikan pemikirannya dan bagaimana ia menyampaikannya adalah lebih penting dari apa yang diperkatakannya, kerana jarang sekali ia berkata tentang karyanya. Samalah dengan seorang penulis, ia tidak menulis kerana mahu mengajar sesiapa, tetapi ia menulis dari gelodak rasanya yang menyatakan sesuatu yang dilihatnya sebagai janggal atau tidak kena.

Di sesebuah sekolah atau  fakulti seni dalam institusi pengajian tinggi misalnya,  berbagai usaha akan cuba dilakukan untuk mengubah cara berfikir dan bekerja staf dan pelajar. Ada sekolah yang cuba menggabungkan pakar dalam berbagai bidang yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi serta tokoh-tokoh yang mempunyai pengalaman industri yang luas. Tetapi walau apa dan siapa pun yang melatih dan mengajar, karyawan atau seniman besar yang terdahulu dan terkenal akan sering membantu kita dengan pegangan atau falsafah yang boleh dijadikan panduan. Banyak quotation atau gagasan mengenai dunia seni dan kesenimanan yang terucap oleh seniman atau karyawan ternama untuk dijadikan sebagai panduan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga tenaga pengajar. Ungkapan ini adalah kata-kata hikmat yang membolehkan kita berfikir dan merenung diri sebelum kita mengatur sesuatu tugasan.

Ada sedikit berbezaan antara keinginan untuk menulis dengan desakan untuk menulis.  Penulis yang besar tidak memaksa dirinya menulis, tetapi ada desakan dalam dirinya untuk menulis setelah ia melihat sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku di sekitar kehidupannya yang mendesak dia untuk membuat kenyataan melalui sebuah karya. Karya terbaru Shahnon Ahmad misalnya, Revolusi Yang Ditangguhkan (Alaf 21, 2009), timbul oleh desakan dalaman setelah melihat keadaan sekitar yang semakin dipunah-ranahkan oleh manusia yang rakus. Benarlah seperti kata seorang novelis, F. Scott Fitzgerald, “You don’t write because you want to say something, you write because you’ve got something to say”.

2 Mencari atau Menunggu Idea!

Jarang sekali seorang karyawan tiba-tiba terkinja-kinja gembira kerana mengakui mendapat idea besar tentang sesuatu perkara, seolah-olah idea itu turun dari langit lalu meresap masuk ke benaknya. Seorang karyawan yang berfikir lazimnya banyak melihat atau terlihat, sering mendengar dan terdengar atau sesekali secara sedar atau tidak mungkin terpaut hati terhadap sesuatu idea setelah membaca atau memnonton karya orang lain yang tidak dikenalinya. Kerana itu setiap karya seni, sastera dan budaya itu tersebar luas dan ditatapi masyarakat massa yang di dalamnya turut terkandung golongan karyawan kerdil atau ternama yang setiap satunya  menyimpan cita-cita, hasrat, harapan dan mimpi besar mereka.
           
Bila saja menyebut mimpi, saya teringat kepada Paulo Coelho, novelis terkenal dari Brazil yang menulis dalam bahasa Portugis yang dalam prakata novelnya The Winner Stands Alone (Harper Collins, 2008) menulis, “One of the recurrent themes in my books has been the importance of paying the price for following your dreams. But to what extent can our dreams be manipulated? During the past few decades, we have lived in a culture that has privileged fame, money and power. Many of us have been led to believe that these were the only values worth pursuing, anaware that the real, behind-the-scenes manipulators remain anonymous. These manipulators understand that the most effective power is the kind that goes unnoticed by anyone – until it is too late, and we are trapped”.

Kita mungkin tidur sebantal, tapi mimpi kita berbeza. Mimpi seorang pencuci kereta berbeza dengan mimpi pemilik kereta yang dicucinya. Mimpi seorang karyawan seni samada dia penulis (sasterawan) atau penggiat seni (pengarah filem, penggubah dll.) dengan mimpi seorang politikus adalah berbeza. Mimpi seseorang boleh direalisasikan atau boleh juga dimusnahkan oleh orang lain yang memegang kuasa pemutus. Sebuah novel atau filem boleh diharamkan pengedaran dan penayangannya.

Sengaja saya mengambil petikan ini kerana ada semacam rasa terpanggil dan terdengar tentang apa yang disebutnya. Idea ini ada di mana-mana, dan ada juga pada kita. Kita membaca, kita mendengar, kita merasa ketidakenaannya, tetapi kita tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh untuk ditulis menjadi karya besar. Kita membaca dan melihat bagaimana sesuatu kejadian atau tindakan benar tiba-tiba menjadi berbeza dan ditanggapi sebaliknya. Kita menonton wayang kulit melihat gerak patung dilayar penuh cahaya dan warna, mendengar cerita yang disulami jenaka dan kita ketawa tanpa menyedari hanya seorang dalang yang bercerita dengan berbagai gaya suara dan sekaligus menggerakkan patung di layar. Kita melihat patung-patung (marionette) di mainkan dengan tangan yang tidak kelihatan memanipulasikan segala gerak patung itu. Kelir wayang kulit dan pentas marionette itu adalah petanda dan petunjuk pada apa yang sebenarnya berlaku di dunia nyata. Dalang dan tangan yang tidak kelihatan dalam suatu persembahan seni tidak pernah kita ragui matlamatnya, tetapi dalang dan tangan yang tidak kelihatan dalam kehidupan adalah sesuatu yang menakutkan! 

3 Sastera (Novel) dan Filem.

Filem belum dianggap sebagai cabang dari pengkaryaan sastera, barangkali juga kerana pena dan kertas tercipta jauh lebih terdahulu dari alat perakam yang dipanggil kamera dan selepas terciptanya kamera terdapat lagi tempuh yang agak panjang sebelum terciptanya movie camera, alat perakam yang boleh merakam kehidupan manusia dengan segala pergerakan. Filem awal menumpang karya awal drama pentas dan kemudian mula mengambil cerita-cerita yang siap tertulis, kemudiannya mengambil cerpen dan novel. Ertinya filem turut mengambil, meminjam dan menggubah idea karyawan lain.

Pada saya semua pengkarya itu adalah pencerita, cuma bezanya mereka menggunakan medium yang berbeza. Penulis menggunakan pena, pelukis menggunakan garis dan warna, penggubah menggunakan bunyi, photographer menggunakan kamera kaku dan menghasilkan still images, koreografer menggunakan tubuh dan gerak (body and movement), pengarah filem menggunakan rakaman bergerak (moving images). Kesemua mereka mencipta dan membentuk naratif atau bercerita dan cerita itu adalah untuk hidangan kepada khalayak. Mereka semua adalah seniman yang berkarya atau karyawan. Tetapi mengikut teori kepengarangan (auteur theory) seorang pengarah filem adalah yang terdekat dengan penulis. Pengarah auteur adalah mereka yang memberikan sentuhan pribadi terhadap visi kreatif sesebuah filem dan menyamai kedudukan dirinya sebagai pengarang asal. Perkataan auteur (Peranchis) adalah menyamai istilah author (Inggeris) dan pengarang (Melayu). Undang-undang hakcipta memberikan kedudukan “the Auteur is the creator of a film as a work of art, and is the original copyright holder” Di bawah undang-undang Union di Eropah juga meletakkan “the film director shall always be considered the author or one of the authors of a film”. (wikipedia.org/wiki/Auteur_theory)

4 Mencontohi Orang Lain

Saya sentiasa merasakan bahawa pelajar-pelajar universiti hari ini berada dalam situasi yang sangat menguntungkan kerana sudah ramai seniman-seniman besar yang mendahului mereka dan memberikan karya-karya besar yang boleh mereka jadikan sebagai contoh. Berbanding pelajar universiti 50 tahun dahulu, jumlah contoh dan cara untuk mendekatinya amat terhad dan payah. Teknologi hari ini memberikan banyak kemudahan dihujung jari.

Cuba kita perhatikan pengakuan yang dibuat oleh Zhang Yimou: “I knew nothing about cinema before enrolling at the Beijing Film Academy in 1978…..a year later I saw my first Kurosawa film. It was Rashomon. I was immediately besotted. And a few years after that, from my humble seat in the audience, I actually watched Kurosawa receive a lifetime achievement award at Cannes. There he was, a filmmaker from the East loved and admired by people all over the world. I never met him, although I once had the chance. I was on a business trip to Tokyo when a Japanese friend suggested I meet Kurosawa on the set of Ran. I didn’t dare to go. He was after all, a world-famous dashi (grand master). In the cinema world, I was a small potato.” (TIMEasia.com | TIME 100: Akira Kurosawa | 8/23/99)

Zhang Yimou kini adalah pengarah filem China yang terkenal di seluruh dunia. Beliau adalah pengarah filem paling terkemuka dari the Fifth Generation of Chinese film directors yang seangkatan dengan Chen Kaige dan Tian Zhuangzhuang atau yang sering dipanggil Class of 1982. Zhang telah memenangi sebelas anugerah antarabangsa dengan filem-filem Red Sorghum (1987) Not One Less (1999), The Road Home (2000), Raise the Red Lantern (1991), The Story of Qiu Ju dan House of Flying Daggers (2004).

5 Menghasilkan Karya Besar

Sebuah karya samada novel atau filem sukar ditentukan tahap besar kecilnya. Pengukuran sangat subjektif. Ada karya biasa yang diperbesarkan atau karya kecil yang menjadi semakin besar! Kadang-kadang sifat popular atau kejayaan menjadi bestseller turut mempengaruhi pengukuran besar ini. Ramai karyawan sastera dan filem yang mengakui hasilnya sebagai sebuah masterpiece.  Barangkali ada baiknya kita melihat apa yang dimaksudkan dengan istilah masterpiece, iaitu “a piece of work presented to a medieval guild as evidence of qualification for the rank of master”, atau “a work done with extraordinary skill: a supreme intellectual or artistic achievement”. Sementara perkataan master pula difahamkan sebagai “a great figure of the past whose work serves as a model or ideal. (Webster’s New Collegiate Dictionary, 1979:701). Begini pun masih tetap ada karyawan yang mahu mengakui bahawa hasil usahanya menepati definisi ini!

Karyawan bergantung kepada penciptaan dan penciptaan bermula dengan tulisan dan lakaran. Seorang pelakon memerlukan skrip yang mengandungi watak, perwatakan dan dialog yang dihasilkan oleh penulis skrip atau dramatis atau playwright. Seorang pengarah yang bukan penulis juga memerlukan skrip. Seorang penggubah dan seorang vokalis juga memerlukan lirik yang dihasilkan penulis. Jadi saya meletakkan penulisan sebagai tahap pertama dalam pengkaryaan. Yang menghasilkan tulisan adalah pengarang (author) yang mempunyai dunia kepengarangannya. 
Karya besar bersifat lokal, ada identiti, ada ideologi dan ada semangat dengan rupa dan warna tempatan yang tersendiri. Kalau kita mengambil Akira Kurosawa (1910 – 1998) dengan filem-filemnya, “…the irony is that he was such a Japanese filmmaker. Aside from the superb movies about warriors, including Yojimbo and Sanjuro, Kurosawa also told poignant stories of ordinary, contemporary Japanese, some of them nobodies….through Kurosawa’s films all of us can experience the soul of Japan, the inner strength of the Japanese people. Yet his own countrymen, in rather large numbers, accused him of making films for foreigners’ consumption. In the 1950s, Rashomon was criticized as exposing Japan’s ignorance and backwardness to the outside world – a charge that now seems absurd.” (TIMEasia.com) Inilah yang ungkapkan sebagai karya besar yang memanifestasikan maruah dan ketamadunan bangsa!

Tambah Zhang Yimou, “Whether Kurosawa’s world is the real Japan, I don’t know. It certainly seems to me, a foreigner: a country and a people full of strength but depicted, naturally or perhaps inevitably, with a strong artistic backdrop, not just in the filmmaker’s eye but in the country as a whole. Kurosawa has set the example of a cinema with a strong national flavor that attracts the interest, and the embrace, of the outside world. I tried to put that lesson to use in my maiden film Red Sorghum and in The Story of Qiu Ju. Ternyata Yimou banyak berguru pada Kurosawa dan mengakui apa yang berlaku hari ini, “…The world is getting closer and smaller. Kurosawa tells me to keep my own Chinese character and Chinese style. That is his great lesson for Asian filmmakers…our individual emotions, our thinking and perceptions may differ and will likely become absolete after, say, 100 years. But the unique character of our films can last forever.My own movies are innately Chinese. And for that, I will always thank Kurosawa for serving as an indelible and inspiring example”. (TIMEasia.com) Inilah yang dimaksudkan sebagai belajar atau berguru dari orang lain tanpa perlu mengubah diri dan identiti bangsa sendiri.
 
Demikian juga bila kita menonton filem November 1828 (1978) karya dan arahan Teguh Karya (1937 – 2001), Opera Jawa (Garin Nugroho, 2006) atau The Ballad of Narayama (1983) arahan Shohei Imamura (1926 - 2006), kita melihat rupa, gaya, suasana dan warna setempat masyarakat dalam suatu bangsa dan sebuah negara. Itulah yang di ajar Kurosawa melalui filem-filem beliau sehingga beliau dianggap sebagai ‘a father to the entire generation of Asian filmmakers’.

Karya besar samada novel atau filem dibaca dan ditonton oleh jumlah pembaca/penonton yang ramai. Ini bererti karya besar itu menghasilkan pulangan yang lumayan, kalau novel disebut bestseller dan filem disebut box-office. Paulo Coelho misalnya terkenal ke seluruh dunia. Novelnya terjual lebih dari 100 juta naskah, diterjemah ke 68 bahasa dan diterbitkan dalam 150 negara. Tidak siapa dapat menyangkal betapa besar karyanya. My Name Is Khan (2010) filem Hindi arahan Karan Johar, lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol yang sekarang masih ditayangkan di Malaysia, menjadi filem Bollywood terlaris di luar India. Kutipan di United Kingdom sahaja mencecah 2.62 million pound sterling. Sebelumnya sebuah lagi filem Hindi, 3 Idiots (2009) arahan Rajkumar Hirani, lakonan Aamir Khan, dengan lakonlayar oleh Abhijat Joshi yang dipadankan dari novel Five Point Someone karya Chetan Bhagat, menerima pungutan US 86 juta di seluruh dunia. Di Amerika sahaja filem tersebut mencatat kutipan 6.1 juta. Ia masih kekal sebagai “the highest-grossing Bollywood film of all-time”.

Barangkali umum akan berpendapat bahawa filem yang menghasilkan pulangan tinggi bukanlah suatu karya yang bernilai tinggi dengan sentuhan artistik dan kesan dalaman kemanusiaan. Ia mungkin hanya sebuah karya popular yang memberikan berbagai ciri hiburan: lakonan, tarian, nyanyian dan segala elemen tambahan yang tidak masuk akal. Tanggapan ini salah bila ditujukan kepada kedua filem My Name Is Khan dan 3 Idiots, kerana kedua-duanya bukan filem Hindi bersifat popular yang lazim dibuat. Keduanya adalah karya besar tentang permasaalahan manusia dalam kehidupan sejagat.

Bestseller, top grosser dan award winner adalah antara ciri karya besar novel dan filem. Sayang sekali di Malaysia keadaannya tidak menepati ciri ini.  Filem-filem yang mendapat pungutan tertinggi di Malaysia amat sukar untuk digolongkan dalam kategori karya besar. Kita mempunyai suasana, kesan, akibat dan citarasa yang sangat berbeza dari orang lain sekalipun dengan negara-negara jiran terdekat! Lalu layakkah kita berbicara tentang maruah dan tamadun bangsa melalui filem? 

6 Maruah dan Tamadun Bangsa

Karya besar bersifat neutral atau berkecuali. Ia tidak memihak kepada sesiapa atau ia tidak juga mendokong hasrat atau cita-cita yang memihak kepada sebarang ideologi politik. Ia boleh berlatarkan sesebuah negara dengan keadaan politik semasa, tetapi yang menghidupkannya adalah manusia yang mempunyai berbagai tanggapan dan pendirian. Wataknya boleh memihak tetapi terbuka dan boleh berdepan dengan berbagai perkara yang tidak semestinya menyokong atau menyetujui hasrat dan cita-cita pemilik dan pemegang kuasa. Karya begini akan hanya lahir dari pengarang yang pemikiran dan kedudukannya tidak bergantung kepada jalur mainstream yang menjadi anutan majoriti, tetapi mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebenaran dan keadilan.

Seorang pengarang yang adil dan bercita-cita melahirkan karya besar juga harus mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk belajar dari orang lain. Tiada salahnya mengaku jika kita terpengaruh dengan karya orang lain. Tiada cacatnya jika mendapat ilham setelah membaca atau menonton karya orang lain. Satyajit Ray begitu mengkagumi filem The Bicycle Thief (1948) oleh Vittorio De Sica. Teguh Karya mengambil idea Tennessee Williams dalam The Glass Menagerie lalu menjadikannya Kahwin Lari (1974) dengan nilai, warna dan suasana yang sangat Indonesia.

Keadaan hari ini berbeza dan sedikit menakutkan. Anak-anakmuda jurusan seni terutamanya penulisan jarang sekali mengenali sejarah karyawan tanahair. Bahkan tidak membaca: pernah satu ketika dulu pelajar drama sebuah institusi seni memilih untuk mementaskan Tok Perak karya Syed Alwi (Dato’, Allahyarham) dan telah membaca dialog Tok Perak menjadi, “…gajah bila turun, minyak habis semua disapunya”. Dailog itu sepatutnya, “Gajah bila turun minyak, habis semua disapunya!”.  Seorang pelajar bidang musik pula cuba menyanyikan lagu Cok Cok Kendung yang dipopularkan oleh Mike Ibrahim dengan band Titiwangsa dengan menyanyilan lirik, “Anak punai rajawali” menjadi “Anak punai Raja Ali!”. Sewaktu program Penulisan di sebuah fakulti seni mengadakan Malam Nostalgia Usman Awang tahun 2008, seorang pelajar bertanyakan kepada pihak penganjur samada Usman Awang akan turut hadir atau tidak!

7 Dana, Suasana dan Sokongan

Mencapai kecemerlangan perlukan sokongan dana yang setimpal. Kita sebetulnya mempunyai banyak dana yang diagihkan dengan berbagai cara kepada karyawan yang bukan sahaja mahu berkarya tetapi mahu membuat penyelidikan dan menambah ilmu pengetahuan. Di setiap universiti ada, di kementerian tertentu juga ada, di agensi-agensi kerajaan dan swasta serta yayasan-yayasan (foundation) di dalam dan luar negara. India misalnya memulakan infra-struktur sinema nasionalnya sejak 1950an dan 1960an dengan menubuhkan Film Finance Corporation, the Film Institute of India dan the Film Archive of India. (Vick ,2007:96). Cuma kadang-kadang kita tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkannya atau kita tidak mahu sedikit bersusah-payah mengemukakan kertas cadangan, membuat pembentangan dan cuba mempertahan atau meyakinkan pihak yang membuat keputusan bila dipanggil. Kerajaan Jepun, Korea, Jerman dan Peranchis banyak sekali memberikan ‘grant’ kepada karyawan di peringkat antarabangsa.

            Karya besar akan hanya lahir dari seniman yang mempunyai sikap, falsafah atau pegangan hidup yang tegas dan berani serta degil dan tidak mudah mengalah. Satyajit Ray menghadapi masaalah kewangan yang sangat genting sewaktu memilemkan Pather Panchali. Filem itu siap hanya selepas tiga tahun apabila dibantu oleh pihak kerajaan West Bengal. Sewaktu tempuh tiga tahun itu Ray menolak bantuan kewangan dari punca-punca yang mahukan skrip itu dipinda atau mahukan penyertaan dan penyelian (dibaca: campurtangan) dalam proses produksi. Beliau juga tidak mengindahkan nasihat kerajaan supaya memberikan ‘happy ending’ kepada filemnya dengan membuatkan keluarga Apu menyertai sebuah projek pembangunan. (wikipedia.org/wiki/Satyajit_Ray)

            Pather Panchali yang terhasil dengan kedegilan dan semangat kental Ray berjaya menarik perhatian dunia dan sekaligus mengangkat nama India. Filem itu memenangi 11 anugerah peringkat antarabangsa termasuk Best Human Document di Festival Filem Cannes. Aruna Vasudev (Fujiwara, ed. 2007: 262) menganggap, “…quite simply, it’s the greatest Indian film of all time…Satyajit Ray’s first feature film remains his most timeless.” 

            Akira Kurosawa juga mempunyai kekerasan hati yang serupa: he had the artistic strength to resist compromise, either political or commercial. But his own producer on Rashomon didn’t understand the film, which gained attention at home only after receiving international accolades.(Zhang Yimou, TIMEasia.com). Rashomon (1950) menang anugerah Golden Lion bagi filem terbaik di Festival Filem Venice pada September 1951. Menurut Andrew Pike (Fujiwara, ed. 2007: 214), “The Japanese studio behind the film, Daiei, had little faith in the film and only reluctantly agreed to enter it in the Venice competition. The award came as a shock not only to Daiei but to the Japanese film establishment as well.” Tetapi Kurosawa terus dengan kedegilan dan kekerasan hatinya, “…continued to make his own idiosyncratic films and soon confirmed his reputation worldwide with such masterpieces as Seven Samurai (1954) and Throne of Blood (1957).

Hari ini sudah ramai pengarah dan penerbit filem Malaysia yang membuat dan menyiapkan filem mereka satu atau dua tahun lepas mengakui bahawa filem mereka bertemakan 1Malaysia. Begitulah hebatnya pembuat filem Malaysia – belum disuruh sudah terbuat! Satu kesan positif dari gesaan semangat ‘Malaysia Boleh!’.

Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (kini Kementerian Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi) melalui Finas dan sebuah bank menyalurkan pinjaman bagi membiayai filem dan drama televisyen kepada syarikat-syarikat tempatan. Tapi dari jumlah peruntukan 50 juta yang dimulakan pada tahun 2004 itu tidak banyak karya besar yang terhasil dengan pinjaman ini. Banyak yang koyak dan bocor, banyak yang picisan dan banyak juga yang tak menjadi. Adakah dana itu salah atau manusia yang mengurus dan mempergunakannya?

8 Keperluan Penyelidikan

Sebuah karya samada novel atau filem, adalah tentang manusia dan kehidupan. Dalam kehidupan, manusia mendepani berbagai situasi yang menghadirkan berbagai rupa dan kerjaya manusia lain dan melibatkan banyak bidang, undang-undang, perubatan, kejuruteraan, kriminologi, mistik dan sebagainya. Kalau kita ingin memberikan gambaran sebenar yang menyakinkan pembaca dan penonton, kita perlu lebih dulu mengenali kepelbagaian dunia itu dengan terperinci. Sewaktu saya membaca novel The Winner Stands Alone oleh Paulo Caolho yang bercerita dengan berlatarkan Filem Festival di Cannes, Peranchis saya merasakan penulisnya benar-benar berada di bandaraya tersebut dengan segala pemerhatian yang sangat terperinci kerana setiap perlukisan tempat, watak dan kejadian sangat meyakinkan.

Mani Ratnam –  “…one of the most interesting directors working in Indian popular film today” (Kabir, 2001:147) dan juga “…one of the great innovators in Bollywood…who successfully handled the transition to the all-India market, and helped introduced the notion of auteur to Bollywood…” (Fujiwara, ed. 691) membuat tiga filem (a trilogy) mengenai perang dan keganasan: Roja (1992), Bombay (1995) dan Dil Se (1998). Beliau tentu saja telah membuat penyelidikan rapi tentang sejarah dan ketegangan puak pembebasan dari Kashmir itu. Roja mengundang debat hangat dari kalangan akademik “…who tore into its uneasy blend of poetics, polemics, and politics” yang menurut Sonia Benjamin, “…the scholarly debate the film engendered created the space for the organized study of cinema in India, and Roja remains the film most often investigated in Indian-cinema studies.” (Fujiwara, ed. 644). Ratnam sendiri adalah pengarah filem berilmu sekalipun tidak dalam bidang perfileman, beliau lulusan ijazah perdagangan dan MBA dari University of Madras. Ratnam juga bekerja dengan kumpulan yang terbaik: A. R. Rahman sebagai composer dan Santosh Sivan sebagai sinematografer. Tentu saja filem-filemnya menjadi karya besar yang boleh diperkatakan dalam berbagai aspek.   

9 Bakul dan Karyawan

Izinkan saya memungut suatu aspek dari warisan bangsa yang merupakan bidalan atau perumpamaan yang saya percaya lahir dari pemerhatian masyarakat silam yang sangat tajam terhadap rentak kehidupan. Mereka mengatakan, ‘air yang penuh di dalam tong tidak berkocak’ dan ‘ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya’. Keduanya saya rasa cocok sekali untuk dijadikan panduan positif bagi para pengarang atau karyawan. Ada lagi dua peribahasa yang seharusnya juga dijadikan sebagai panduan negatif dan tidak mengamalkannya: ‘ibarat ayam yang bertelur sebiji riuhnya sekampung’ dan jangan sekali-kali ‘masuk ke bakul dan mengangkatnya sendiri’.

Pengalaman saya bersama mendiang Teguh Karya dan Garin Nugroho dan sewaktu mengikuti sesi soal-jawab bersama mendiang Akira Kurosawa di Tokyo (1992) banyak mengajar saya untuk tidak membuka mulut dengan luas menceritakan tentang diri dan karya dengan sifat penuh keakuan. Mereka semua saya dapati sangat sederhana dan merendah diri. Mereka tidak sekali-kali mendabik dada sebagai karyawan terbaik dunia. Ertinya mereka tidak pernah ‘masuk bakul dan angkat sendiri’, sebaliknya mereka lebih banyak bercerita tentang peristiwa-peristiwa lucu, ngeri dan sedih dalam proses penciptaan mereka yang sebahagiannya menjadi sekatan atau ‘obstacle’ yang harus mereka depani dan  mencari jalan penyelesaian.

Saya sengaja memilih istilah bakul, tetapi bakul disini merujuk kepada tempat atau ruang tadahan. Dalam seni, istilah ‘beli bakul’ atau ‘borong secara bakul’ biasa digunakan untuk membeli filem, buku atau program televisyen. Dalam pasar filem atau film market di luar negara, para pembeli terpaksa memborong filem dan program tv secara lambak  atau ‘beli bakul’ dan kebiasaannya tidak boleh memilih untuk membeli hanya beberapa judul-judul, kerana jadul-judul itu datangnya dalam bakul atau longgokan bersama judul-judul lain yang mesti dibeli sekaligus. Membeli buku-buku lama juga begitu, cuma bezanya kita boleh memilih dari longgokan yang kesemuanya berharga sama.

Saya juga memilih istilah bakul kerana dalam masyarakat Melayu ada peribahasa ‘masuk bakul angkat sendiri’ – kalau kita cuba melakukannya ia adalah suatu perkara yang tidak akan dapat dilakukan, kerana apabila kita berada di dalam bakul kita tidak akan boleh mengangkatnya sendiri. Bakul itu mesti diangkat oleh orang lain. Tugas mengangkat bakul ini seharusnya dilakukan oleh agensi-agensi yang berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara. Jadi berilah mereka peluang untuk tugasan ini dengan kaedah terbaik berdasarkan berbagai informasi yang harus diberikan oleh pengarang tentang diri dan karya mereka. Dan sebaik-baiknya pula biarlah orang lain yang arif membuat kajian dan bercakap tentang karya yang kita hasilkan.

Penutup

Seorang karyawan yang mampu melahirkan karya besar mempunyai tanggung-jawab sosial yang amat berat terhadap keperibadian bangsa dan negaranya. Dia harus bersikap terbuka dan tidak memihak dalam menangani setiap persoalan yang dikemukakan melalui karyanya. Hanya dengan sikap dan tindakan yang demikian dia mampu menyatakan kebenaran dan keadilan rakyat yang diwakilinya. Seorang karyawan mewakili rakyat terbanyak tetapi dia bukan Wakil Rakyat yang bertanding dalam pilihanraya dan dipilih rakyat. Rakyat tidak perlu memilih dan meletakkannya di suatu tempat tertentu dengan jawatan dan gelaran.

Tetapi soalnya bolehkah seorang karyawan itu berdiri tanpa memihak? Hari ini sesiapa saja yang tidak memihak dengan mudah dilabelkan sebagai memihak ke arah bukan pemerintah apalagi jika dia bekerja dengan kerajaan. Bolehkah ia mempersoalkan kekuasaan atau ia harus tenggelam bersama kekuasaan untuk mendapat dana dan penghormatan. Sebagai rakyat biasa yang taat setia, saya sentiasa mengikuti titah Raja dan Sultan. Tahun lepas saya terbaca dalam suratkhabar Utusan Malaysia (11 Ogos 2009, ms. 3) “…Sultan Azlan Shah memberi amaran bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan”. 

Banyak negara di dunia menghargai para seniman atau karyawan mereka dengan hadiah dan anugerah, menobatkan mereka menjadi seniman atau sasterawan negara. Terdapat juga negara yang menobatkan seniman dari negara-negara jiran seperti Thailand dengan S.E.A Write Award dan Filipina dengan Ramon Magsaysay Award, bahkan saya percaya setiap karyawan di serata dunia memimpikan The Nobel Prize in Literature dari negara Sweden itu. Sehingga 2008 Nobel Prize in Literature ini sudah ada 101 pemenang, dengan pemenang pertamanya Sully Prudhomme dari Peranchis pada tahun 1901 dan terakhir pada tahun 2008 kepada J.M.G. Le Clezio juga dari Peranchis. Tidak semua pemenangnya datangnya dari negara maju Eropah. Rabindranath Tagore (1861 – 1941) adalah pemenang pertama dari Asia yang menerimanya pada 1913, diikuti Yasunari Kawabata (1899 - 1972  ) dari Jepun pada 1968, Kenzaburo Oe juga dari Jepun pada 1994. Naguib Mahfouz pemenang 1988 adalah novelist dari Egypt.  Pramoedya pernah dipertimbangkan tetapi tidak terpilih.
Karya besar saling berhubung-kait antara karyawan yang menjadi pengamal bidang seni yang berbeza. Doctor Zhivago (1957) adalah karya Boris Pasternak dan dijadikan filem oleh David Lean (1965) dengan lakonan Omar Sharif. Karya-karya Rabindranath Tagore misalnya didaptasikan ke medium filem oleh Satyajit Ray, antaranya Teen Kanya (1961)  Charulata (1964), dan Ghare Baire (1984). Akira Kurosawa menjadikan karya-karya Shakespeare sebagai asas filem-filemnya: Throne of Blood (Macbeth) dan Ran (Othello) selain mengambil karya Dostoevsky dan Ed McBain. Karya Achdiat Karta Mihardja (lahir 1911) - Atheis dijadikan filem oleh pengarah Sjuman Djaya pada tahun 1974. Ayat-Ayat Cinta novel karya Habiburrahman El Shirazy, pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 dan The Most Favorite Book 2005 dijadikan filem sekalipun tidak sehebat dan sebesar novelnya, tetapi novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata menjadi filem besar dan hebat ditangan Riri Reza. Bumi Manusia oleh Pramoedya diangkat ke layar perak oleh Garin Nugroho mula tahun 2009.

Karya besar sering diterjemahkan ke bahasa lain dan mencapai apresiasi khalayak pembaca dan penonton yang lebih luas. Slumdog Millionaire adalah dari novel asal tulisan Vikas Swarup dengan jodol Q & A (Question and Answers).  Harry Potter oleh J.K.Rowling selain difilemkan turut diterjemahkan ke 65 bahasa. Novel karya Paulo Coelho telah diterjemahkan dalam 68 bahasa. City of Joy (1985) novel karya Dominique Lapierre difilemkan oleh Rolland Joffe dan turut diterjemahkan dalam enam bahasa.

Sebagai penutup saya ingin memetik beberapa potong kata pujangga untuk renungan kita bersama. Kata Albert Einstein, seorang saintis, “Try not to become a man of success but rather to become a man of value”. Ternyata ia mendahulukan nilai dari kejayaan, tetapi kalau kita renungi, kejayaan itulah yang menjadi titik-tolak kepada pencapaian nilai yang tinggi. Kata sebuah pribahasa Cina pula, “A gem cannot be polished without friction, nor man perfected without trial”. Anggaplah setiap pergeseran idea, percanggahan pendapat dan kelainan ideologi dan kefahaman agama sebagai sebahagian dari proses yang mematangkan akal dan budi-bicara kita dalam usaha dan proses penciptaan.

“What the superior man seeks is in himself; what the small man seeks is in others”, kata Confucius. Tetapi menjadi karyawan besar kita harus menjadi kedua-duanya, the superior man dan the small man. Kita boleh menjadi lebih superior dengan melihat jauh ke dalam diri dan pada waktu yang sama menjadi the superior small man dengan melihat dunia yang luas. Kita boleh menghasilkan karya besar dan menjadi superior sekaligus, tetapi kesemua yang terlibat dalam proses ini mestilah menyokonginya dengan aktiviti yang mendorong dan menyokong ke arah itu. Beban ini tidak harus terpikul oleh hanya Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara semata-mata. Suatu pelan perancangan yang menyeluruh mestilah turut melibatkan pengajian tinggi, pendidikan, kebudayaan dan penerangan, badan-badan kesenian, agensi-agensi berkaitan, keseluruhan media dan individu-individu tertentu.


                                                            * Terima Kasih *




Bibliografi:
Chris Fujiwara, ed., The Little Black Book – Movies, 2007, London: Cassell Illustrated.
Coelho, Paulo, The Winner Stands Alone, 2008, London: HarperCollins.
Kabir, Nasreen Munni, Bollywood – the Indian Cinema Story, 2001, Oxford: Channel 4     Books.
Noor Azam Shairi, Membaca itu Gerek dlm Mingguan MStar, 21 Mac 2010, Shah Alam:   Star Publications (M) Bhd.
Teuku Iskandar, ed., Kamus Dewan, 1984, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Vick, Tom. Asian Cinema – a Field Guide, 2007, New York: HarperCollins.
Woolf, Henry B., Webster’s New Collegiate Dictionary, 1979, Springfield: G. & C.           Merriam Company.

 

Hak | UiTM PUNCAK PERDANA | 15032010
________________________________________________________________________
Hatta Azad Khan (Ph.D), professor dan Dekan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara , juga penulis / pengarah teater dan filem.

1 comment:

fidza wahab said...

kata-kata “You don’t write because you want to say something, you write because you’ve got something to say” oleh F. Scott Fitzgerald menarik perhatian saya. Meskipun secara jujurnya saya masih cuba fahami maksud disebalik kata-kata ini, ia telah mengingatkan saya kepada beberapa keadaan yang pernah saya alami tetapi sukar difahami. selama ini saya tertanya-tanya, kenapa bila saya ingin menulis sesuatu - lazimnya apabila diberi tugasan, saya cuba memerah otak mencari idea, hasilnya selalu mengecewakan - samada hasil penulisan saya itu kaku, atau kadangkala langsung buntu. pada masa lain pula, ketika sedang bersantai atau merilekskan diri, ilham untuk menulis datang tanpa disedari, sehingga memaksa saya merekodnya - terpaksalah keluarkan nota kecil tiba2 dan tuliskan, atau jika tiada nota ketika itu saya taipkan di dalam telefon bimbit. ilham-ilham yang saya dapat, dahulu biasanya saya biarkan datang dan pergi begitu sahaja, namun setelah faham kesusahan untuk mendapatnya, saya tidak lagi sia-siakannya.
bagaimanapun, adanya idea saja masih belum mencukupi untuk maju ke tahap yang lebih tinggi. banyak perkara mesti diambil kira untuk menghasilkan karya besar, namun kita perlu pandai membezakan apa yang patut kita ambil kira dan mana yang tidak perlu. karya2 yang diberi pengiktirafan terbesar di luar negara adakalanya tidak diiktiraf atau mendapat kecaman dari masyarakat setempat sendiri. seperti filem 'muallaf' oleh yasmin ahmad, beliau dikecam kerana menayangkan adegan-adegan yang dikatakan memburukkan imej bangsa. seperti juga filem 'slumdog millionaire' yang dikecam atas sebab yang sama seperti membuka pekung di dada. cara beliau menyampaikan mesej secara terus tidak begitu disenangi masyarakat setempat, namun sebenarnya itulah cara terbaik untuk memperingatkan dan menegur sesuatu masyarakat itu sendiri. teknik sarkasm memang sukar difahami sesetengah golongan yang menilai sesuatu berdasarkan emosi semata, kerana karya tersebut tidak memihak kepada sesiapa.
namun di sebalik keburukan yang dipaparkan itu sebenarnya terkandung mesej-mesej tertentu yang penting di samping mampu memberi kesan kepada pembentukan (semula) tamadun dan maruah bangsa itu sendiri.
setiap perkara yang kita lihat di sekeliling kita setiap hari mendatangkan ilham dengan cara-cara tertentu. begitu berharga satu-satu ilham itu jika dapat diadaptasi dengan betul sebagai karya, tidak kira untuk kesusasteraan ataupun filem.