Monday, January 4, 2010

SATU MALAYSIA: VISUALISASI DALAM FILEM P. RAMLEE

Filem: Bujang Lapok
Sebuah filem menjadi agong dan mendapat sanjungan serta kekal di sanubari audiens adalah kerana menggauli pelbagai kaum di dalamnya. Jalinan dan ayaman perwatakan pelbagai kaum sesebuah filem mendarjatkannya sebagai karya masterpiece. Sebuah karya masterpiece disenangi dan dipuja oleh audiens berbagai keturunan dan sasarannya. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak secara langsung mengangkat filem sebagai aset milik negara, malah semua bangsa menganggap filem P. Ramlee sebagai khazanah filem mereka, kerana penampilan mereka menyumbang bakti perkembangan filem Melayu.


Filem: Bujang Lapok
Tugas P. Ramlee menyatupadukan semua bangsa dalam filemnya, ternyata berkesan sehinggakini. Buktinya tayangan yang berulangan memukau semua bangsa tanpa jemu. Justeru, memperpaduankan semua bangsa dalam filem, P. Ramlee ternyata berjaya dan beliau sudah dianggap menjadi pemimpin masyarakat dengan caranya sendiri. Slogan “Satu Malaysia” turut berputik dalam pemikiran filemnya. Antara filem yang menerapkan nilai perpaduan secara sinis ialah “Gerimis” yang dibintangi kaum India iaitu Chandra Shanmugam, V.I. Stanley dan beberapa lagi. Paparan watak dalam lakonan tersebut sangat berkesan memperlihatkan perkahwinan campur di antara orang India dengan orang Melayu. Di peringkat awal kelihatan ada tentangan, tetapi akhirnya perkahwinan mereka direstui apabila memperolehi pertalian darah iaitu anak. Begitu juga dalam filem Sesudah Subuh, menampilkan watak-watak masyarakat majmuk seperti, Juliana, Vera Wee, Hoow Thye Chong, H.S.Gill, Sivapakiam Dhramal linggam dan V. I. Stanley. Begitu juga dalam filem Sergeant Hassan, seperti; Capt. John Gray R.M.R, Capt. David Downe R.M.R dan beberapa lagi.


Filem: Pendekar Bujang Lapok
Menyatupadukan watak-watak berbilang bangsa dalam filemnya adalah tugas yang rumit dan sangat besar. Walaupun Allahyarham tidak mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang perfileman tetapi boleh mengatasi mereka yang memiliki ijazah bidang tersebut dalam pembikinan filem. Isu yang ingin diutarakan di sini, ialah perpaduan sememangnya telah lama bertapak dalam jiwa orang Melayu, dan P. Ramlee memasukkan elemen-elemen perpaduan dalam filemnya kerana peranan mereka menegakkan kekuatan filem tersebit sehingga diminati pelbagai bangsa. Hampir semua filemnya mencapai tayangan boxoffice bukanlah daripada sokongan orang Melayu seratus peratus, sebaliknya semua bangsa.


Memetik sebuah filem P. Ramlee memaparkan pelbagai bangsa dipertaruhkan untuk menegakkan perpaduan dalam nada dialognya. Umpamanya, dalam filem “Seniman Bujang Lapok” dalam babak ketika Ramli, Sudin dan Aziz ingin mintak kerja menjadi pelakon. Berikut sorotan dialognya: Kata Ali; “Ini macam punya muka mahu jadi filem star ka?” Jawapan Singh, bersahaja; “Lu pun satulah! Baru orang mintak kerja lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mahu maju?” Ali terasa disindir dan terus menjawap untuk menutup kelemahannya. Ali: “Allah, Singh lu bahasa sama gua nampak ni, Singh”. Singh: “Bukan bahasa. Lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan. Apa salah kita makan sama-sama”. Dialog tersebut menggambarkan betapa. bangsa lain perihatin kehidupan sejagat yang memperlihatkan nada perpaduan dan toleransinya.


P. Ramlee mewarnai peribadi gemilangnya setelah tidak ada di alam maya. Hampir semua filem Melayu, Allahyarham tetap menyumbang karyanya walaupun beliau tidak berlakon. Karyanya mencakupi semua aspek seperti senikata lagu, melodi, cerita, lakonlayar, nyanyian, gubahan musik dan arahan. Gelaran seniman Agong terangkat sendiri dengan karya berbisanya dalam semua katogeri itu. Gelarannya bukan sekadar diterimanya tetapi melekat di sanubari peminatnya. Tidak ada pengarah lain sehebatnya yang boleh melakukan serba-serbi menghasilkan karya filem.


Filem P. Ramlee merupakan multimedial narrative memperlihatkan segala sudut persembahan di mata audiens. Mata audiens tertumpu setiap mise en scene yang digarap dalam sesebuah filem. Sesebuah filem menjadi dayatarikan mengarahkan perhatian audiens melihatnya sebagai satu dunia lain yang perlu dimergertikan. Dari sudut falsafah, filem mempunyai teras penceritaan tersendiri memisahkannya daripada genre sastera seperti novel yang menumpukan pengertian dalam bentuk prosanya. Namun, kebahasaan dalam multimedial naratifnya turut menjadi tarikan tersendiri yang kekal dalam pengucapan dialog dan perwatakan.



Filem: Antara Dua Darjat
Filem P. Ramlee menggarap grand argument dalam pemikirannya dan ditaburkan dalam rencah permasalahan perpaduan “Satu Malaysia” dengan perwatakan dan penceritaannya. Perwatakan dan perceritaan ini menakhodakan kisah yang ditalimali dengan pelbagai isu selari dengan masalah semua kaum seperti dalam filem “Seniman Bujang Lapok”, Ramli dapat menyelesaikan pembalahan di antara suami-isteri berketurunan India yang bergaduh di waktu subuh cuma hanya menghadapi masalah remeh iaitu mengenai najis anak mereka. Begitu juga perkahwinan campur dalam filem Gerimis yang tidak disenangi oleh semua kaum. Tetapi hakikatnya sememang berlaku dalam kehidupan realiti yang dapat diterjemahkan oleh P. Ramlee dalam paparan yang cukup menarik sehingga dapat menyatukan keluarga ini dalam keharmonian setelah menerimanya sebagai satu falsafah kehidupan iaitu perpaduan adalah dimestikan. Ertinya, P. Ramlee secara tidak langsung menerapkan nilai perpaduan masyarakat “Satu Malaysia” digambarkan dalam filemnya sebagai karya masterpiece. Karya masterpiecenya tidak hanya ditontoni, malahan dikaji dan diteliti ke akar umbi kesan pengajaran daripadanya. Kita bukan bermaksud mengangkat karyanya berlebih-lebihan, tetapi secara telus dan jujur sememang tidak ada karya sezaman dengannya dan mutakhir dapat menandinginya, apalagi menyainginya.


Allahyarham berjaya memperpaduankan rakyat Malaysia duduk bersama-sama menonton karyanya, walaupun di mana mereka berada. Semua bangsa tinggal di Malaysia mengenali P.Ramlee dan mereka tetap menontoni filemnya walaupun sering diulangtayang. Ini adalah kesan penerapan nilai perpaduan di dalam filem yang sangat merakyat sifatnya, sehingga beliau seringkali digambarkan sebagai hero perfileman dunia Melayu yang tidak ada tolok bandingannya.


Jika filemnya mempunyai versi bahasa Inggeris dan dapat ditontoni oleh negara luar terutama mazhab hollywood, barangkali P. Ramlee dikenali seluruh dunia. Sudah tentu karyanya turut dikaji dan diperbahaskan di menara gading luar negara, sehingga namanya berdiri sama tinggi dengan pengarah agong sebagaimana D. W. Griffith, Sergey Eisenstein, Mizoguchi Kenji, dan beberapa nama hebat dalam bidang perfileman.


Pengukuran kepakaran P. Ramlee dan filemnya bukanlah dari segi sambutan tayangan box officenya, tetapi pemikiran, persoalan dan falsafah yang dipaparkan dalam karyanya cukup bertembungan dengan kehidupan manusia sejagat. Hampir kesemua filemnya bertitik tolak daripada pelbagai aspek kehidupan sosio budaya, ekonomi, kebudayaan yang merangkumi adat dan falsafah kehidupan bermasyarakat. Filem-filemnya yang memenangi anugerah, kesemuanya bersendikan historical poetics kehidupan masyarakat berbilang bangsa dan keturunan.


Dalam artikel yang serba ringkas ini tidak dapat dinyatakan secara total filem-filemnya yang menyangkutkan isu-isu perpaduan iaitu masalah sosialisasi rakyat Malaysia, namun kita dapat merenungi ketajaman fikirannya yang sangat kehadapan. Walaupun, Allahyarham tidak meninggalkan harta kekayaan untuk diwarisi keturunannya, tetapi masyarakat semua mewarisi pendidikan dalam filemnya. Sebagaimana yang dilakukan oleh Sergey Eisenstein, beliau seorang pengarah dan guru iaitu mendidik manusia dengan filemnya. Justeru, slogan “Satu Malaysia” sebenarnya telah diasimilasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia melalui filem tanpa kita sedari yang mana bertembungan dan sangat relevan dengan idea YAB Perdana Menteri kita yang dikasihi turut mempunyai pemikiran yang jauh dan terkehadapan. Tahniah.


Sesungguhnya, kesempurnaan seseorang melakukan kerja-kerja seninya merupakan satu ibadah. Allahyarham pernah berkata; kerja seni adalah kerja Allah, oleh itu perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Itu adalah unggapan beliau apabila mengaitkan kerja-kerja seni dengan pembabitannya dalam dunia perfileman. Keikhlasan beliau dalam menghasilkan filemnya, dipamerkan dalam setiap kisah masyarakat sebagai cerminan sebenar masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmonis dan perpaduan erat sebagaimana pepatah Melayu: ibarat aur dan tebing, kuku dan isi, peha kanan tercubit, peha kiri turut terasa. Justeru, bulat air, kerana pembentung, bulat kata, kerana bermaufakat.




♦ ♦ ♦ ♦ ♦ ♦
Nama sebenar ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Ahmad Hanafiah, Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi MARA, UiTM. Setekat ini beliau telah mentranskripsi filem P. Ramlee sebanyak 40 judul. Bahan tersebut adalah untuk kajian dan penyelidikannya bagi ijazah Doktor Falsafah. (Konsep Satu Malaysia amat luas pengertiannya, namun dalam artikel ini cuma menggaitkan dalam elemen perpaduan kaum sahaja.)

7 comments:

Shamsul Halim said...

Sesebuah filem mempunyai pelbagai istilah untuk diberikan khas untuk menggambarkan apa itu visualisasi. Walaubagaimanapun, dalam erti kata pemahaman filem itu sendiri mempunyai makna tersurat dan tersirat yang diterjemahkan dalam bentuk visual, dialog dan lakonan untuk memberikan gambaran , perasaan dan ideologi seseorang atau mewakili sesuatu masyarakat ataupun politik tertentu .Allahyarham Tan P. Ramlee merupakan seorang pengkarya yang genius bukan sahaja dalam bidang perfileman dan malah bidang muzik . Walaubagaimanapun nama P.Ramlee lebih menyerlah dalam bidang perfileman. Seperti mana diketahui Filem-filem sehingga sekarang masih ditonton oleh masyarakat pelbagai kaum seperti melayu, cina dan india dan sebagainya. Disebabkan itu juga Filem P.Ramlee juga boleh diselaraskan dengan Matlamat Satu Malaysia di mana perpaduan sesama kaum berbilang bangsa diutamakan .

Ternyata melalui pandangan dari sudut En. Wiramanja sememangnya bernas dan logik dalam menghuraikan kaitan di antara Filem P.Ramlee dengan matlamat Malaysia dalam mewujudkan Matlamat dan bangsa Satu Malaysia . Mengikut pandangan saya, P.Ramlee merupakan pengarah yang berwawasan di mana mewujudkan pemikiran jauh ke depan selain karya boleh dikatakan masih relevan dengan secara kebetulan ataupun tidak . Ternyata melalui Multimedial Narrative disampaikan oleh P.Ramlee banyak peranan memberi argument secara mudah difahami oleh penonton untuk menjelaskan sesuatu ajaran dan didikan.

Walaubagaimanapun, karya Masterpiece beliau ( p.ramlee saya maksudkan) masih tidak boleh oleh dibandingkan oleh mana-mana pengkarya masterpiece luar negara yang sedia ada seperti Akira Kurosawa, Martin Scosese,Quentin Tarantino, Ang Lee dan Sebagainya kerana kehebatan beliau terletak pada keunikan dan permikiran beliau dalam memberi kritikan dari sosial, politik, agama dan sebagainya terutama budaya Masyarakat Malaysia sendiri. Filem Seperti Seniman Bujang Lapok boleh dijadikan sebagai contoh secara mudah dimana filem itu divisualkan selaras dengan Matlamat Satu Malaysia di mana dapat dilihat melalui pelbagai babak yang menghubungkan persoalan dan perhubungan kaum di antara kaum secara harmoni dan toleransi .

Kesimpulannya, Biarpun P. Ramlee telah meninggalkan kita, namun karyanya masih tersemat di hati dan ingatan kita tentang ceritanya dan filemnya juga filem beliau telah meninggalkah khazanah yang agung sehingga sekarang di mana kebanyakan pemikir-pemikir filem dan pembikin-pembikin mengambil pengajaran daripada hasil karya beliau...

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan pendapat Sdr. Shamsul. P. Ramlee sememangnya dilahirkan oleh Allah s.w.t mempunyai pemikiran yang jauh dan terkehadapan, sehingga tidak ada insan lain mengetahui secara tersirat di dalam karya filemnya.

Anonymous said...

Aku memang suka tengok filem dia, tapi kekadang dia macam hero filem tamil (MGR) dah lama mati hero tu. Bab masukkan watak kaum majmuk dalam filem memang aku sokong penuh dan setia.

Noor Zaidah said...

Saya bersetuju dengan artikel ini. Tetapi ada sesuatu yang saya memang tidak berpuas hati...

P. Ramlee merupakan seorang yang benar-benar genius, berbakat dalam semua bidang yang beliau ceburi. Akan tetapi, apabila saya telah menonton dokumentari tentang sejarah hidupnya di History Channel (Astro), barulah saya sedar bahawa insan berjiwa artistik ini telah banyak ditindas dari diagungkan ketika beliau masih hidup. Mengapakah masyarakat dahulu tidak menyedari tentang keunikan P. Ramlee, malah mereka tidak mempedulikan beliau dan ahli keluarga beliau, sampai ketika beliau tidak dihiraukan di majlis anugerah di Singapura dan mereka telah benar-benar lupa tentang segala jasa yang Allahyarham telah curahkan kepada dunia kesenian ini.

Namun begitu, selepas pemergian Allahyarham P. Ramlee, barulah masyarakat memberikan gelaran Tan Sri kepadanya dan barulah mewujudkan muzium memoriam beliau, barulah memberikan sebuah nama jalan di Kuala Lumpur sebagai "Jalan P. Ramlee". Mengapa baru sekarang masyarakat kita nampak semua itu, dan pada dahulunya tidak menghiraukan nasib P. Ramlee, serta keluarganya?

Saya mengaku yang saya sedih melihat dokumentari tentang P. Ramlee itu, sampai ada satu tahap, saya telah menitiskan air mata. Semua ahli keluarga saya juga tidak sangka beginilah nasib P. Ramlee ketika beliau hidup. Dan sekarang baru semua masyarakat kita hendak mengagung-agungkan beliau. Pada pendapat saya, sudah terlambat untuk semua itu kerana negara kita telah kehilangan seorang genius dalam bidang artistik ini. Dan masih sehingga kini, P. Ramlee tiada penggantinya. Apabila beliau masih hidup, beliau telah ditindas dan dilupakan. Segala jasa dan pengorbanan beliau tidak lagi dikisahkan. Sekarang apabila beliau tiada, barulah negara kita mencari penggantinya. Saya hanya ingin katakan yang P. Ramlee memang tiada pengganti. Dan kita telah rugi kerana kehilangan seorang yang genius seperti beliau.

Sekarang pun kita masih boleh tengok seorang dari anaknya bekerja sebagai seorang pengutip sampah, dan menantu beliau terpaksa menanggung keluarga dengan berniaga kuih di tepi jalan. Adakah cara ini yang kita perlu beri kepada waris-waris Allahyarham? Saya hanya mendoakan bahawa waris-waris beliau diselamatkan dan tidak ditindas seperti mana Allahyarham P. Ramlee ditindas satu masa dahulu.

Sekian...

CT Natrah said...

Assalamualaikum...

Saya amat tertarik dengan artikel ini dan saya amat bersetuju dengan apa yang telah Tuan kongsikan bersama kami di dalam artikel ini. Sememangnya, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan seseorang yang sangat berbakat di dalam industri seni dan perfileman tanah air kita. Bakat yamg dimiliki oleh beliau itu membuatkan beliau diminati oleh masyarakat yang terdiri Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya termasuklah Melayu, Cina dan India. Bukan itu sahaja, bahkan peminat-peminatnya itu juga terdiri daripada segenap lapisan usia, tidak kira tua ataupun muda.

Saya sendiri merupakan salah seorang peminat Allahyarham dan sangat meminati filem-filem arahan dan lakonan beliau yang sedikit sebanyak telah berjaya meningkatkan lagi martabat negara kita di persada dunia sehingga ke hari ini. Selain itu, karya-karya dan filem-filem arahan Allahyarham juga telah banyak mengajar kita tentang aspek-aspek atau
nilai-nilai murni yang patut kita amalkan di dalam suasana hidup masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Dan, seperti yang telah dinyatakan dalam artikel di atas ini tadi, sesungguhnya kebanyakkan karya-karya hasil ciptaan seniman agung kita ini telah dapat membangkitkan semangat perpaduan dikalangan masyarakat kita. Karya-karya ini juga sedikit sebanyak telah menerapkan nilai-nilai "Satu Malaysia" di dalamnya. Dan ini boleh dilihat di dalam filem-filem karya beliau seperti Bujang Lapok,Seniman Bujang Lapok, Sarjan Hassan, Sesudah Subuh dan banyak lagi.

Sekian,wassalam....

KakI KutUk PaRtNer said...

saya sangat tertarik dengan artikel mengenai visualisasi dalam filem allahyarham Tansri P.ramlee dimana jalan penceritaan yang ringkas,penyampaian yang sangat teliti dan juga pengajaran yang mendalam amat dititikberatkan bagi sesebuah filem beliau,bukan itu sahaja, allahyarham juga seorang yang berseni dan hasil kerja beliau amat dihargai sehingga ke hari ini. lihat sahaja, pelbagai bangsa yang diselitkan di setiap penceritaan dan tentu sekali jalan cerita beliau amat sesuai dengan konsep 1 malaysia yang sememangnya pelbagai kaum dan budaya.
sehingga kini filem-filem beliau masih lagi mendapat tempat di hati penonton di Malaysia.
saya sendiri masih lagi menonton filem beliau meski pun sudah hampir 10 kali menontonnya. malah boleh dikatakan saya sudah menghafal setiap dialog yang digunakan.

Anonymous said...

… Unbelievable , but I just found software which can do all hard work promoting your dj-wiramanja.blogspot.com website on complete autopilot - building backlinks and getting your website on top of Google and other search engines 1st pages, so your site finally can get laser targeted qualified traffic, and so you can get lot more visitors for your website.

YEP, that’s right, there’s this little known website which shows you how to get to the top 10 of Google and other search engines guaranteed.

I used it and in just 7 days… got floods of traffic to my site...

…Well check out the incredible results for yourself -
http://magic-traffic-software.com

I’m not trying to be rude here, but I believe when you find something that finally works you should share it…

…so that’s what I’m doing today, sharing it with you:

http://magic-traffic-software.com

Take care - your friend Jennifer