Wednesday, January 6, 2010

NILAI MORALISME DALAM KESENIAN

Kesenian adalah satu istilah yang sangat luas untuk dibincang dan dikaji. Perbincangan dan kajian yang dibuat tidak semestinya memberi jawapan tepat mengenai kesenian yang bersifat global. Para sarjana juga boleh membuat takrifan pelbagai mengenai kesenian dan tidak ada siapa yang boleh mendakwa takrifan tepat mengenai kesenian. Justeru, bagi menilai dan menghayati karya kesenian sesuatu kaum dan masyarkat, seseorang perlu memperlihat yang seadanya.


Kesenian boleh dinilai pada dua penjenisan iaitu nilai eksrinsik dan nilai intrinsik. Nilai eksrinsik adalah penghayatan kesenian bagi memperlihat kebagusannya dari segi moral, manakala nilai intrinsik adalah penghayatan kebendaan. Bagi penghayatan nilai kesenian, seseorang perlu pengetahuan dan pengukuran berdasarkan keilmuan yang bersandarkan teori-teori nilai kesenian itu sendiri. Karya seni yang muncul pada setiap zaman mewakili nilai moralnya tersendiri. Kehalusan setiap karya seni tersebut menunjukkan betapa seni dan halus ketertiban penghasilannya. Kehalusan seni tersebut sebagai memperlihatkan nilai moralnya yakni pengarapannya memerlukan kesabaran dan ketelitian.


Dalam kehidupan orang yang sentiasa tertib dan teliti dalam kerja-kerja seni sebagai memperlihatkan realiti peribadinya bermoral yang tinggi. Lantaran itu, hasilan kesenian tersebut melambangkan nilai budaya bangsanya sendiri iaitu halus, mulia dan penuh kesucian. Contoh Lambang-lambang seni yang menampakkan nilai kesucian terdapat pada kubah dan mihrab masjid. Seseorang akan tenang memandangnya sambil beribadat kepada Allah s.w.t. Keindahan ukiran seni tersebut melambangkan nilai moral yang tinggi terdapat dalam jiwa manusia.


Leo Tolstoy dalam buku What is Art (1896) memperkatakan keunikan kesenian mengikut pendekatan ekstrinsik yakni menilai melalui pengalaman individu. Ini dapatlah ditakrifkan bahawa kesenian telah bertunjang dalam diri seseorang melalui kehidupan sekelilingnya. Hamparan dunia ini dapat mengajar manusia mengenali keindahan dan kesenian daripada kejadian Allah s.w.t. Allah s.w.t memberi ruang dan masa kepada manusia untuk berfikir ciptaan maha besarnya iaitu laut luas terbentang, langit yang tidak bertiang, awan-germawan yang indah mengikut paksi masa penukaran warnanya. Malam dan siang bertukar warna seadanya yang mengasyikkan sebagai satu simbol kehidupan yang sentiasa berubah dan silih berganti. Di sini manusia perlu memikirkan nilai moral kehidupan yang boleh disamaertikan dengan malam gelap yang menakutkan, manakala siang indah, meleka tetapi satu perbandingan yang telus tetapi bersifat sementara.


Walter Pater dan Oscar Wilde pernah memberi slogan “seni untuk seni” bagi memartabatkan kesenian. Kesenian setiap kaum boleh memartabatkan sesuatu bangsa yang memiliki nilai kebaikan. Setiap bangsa di dunia ini berhemah tinggi mengikut anutan dan adat masing-masing. Tidak ada bangsa dalam dunia ini yang ingin mencipta keburukan kepada nilai adat kehidupan mereka. Kehidupan mereka berinteraksi dengan kesenian milik mereka bagi menyatupadukan di antara kaum keluarga, jiran tetangga dan sebagainya.


Justeru, pengertian kesenian secara umum adalah sesuatu yang mempunyai nilai kebaikan dan mempunyai fungsi dan kepentingan bagi masyarakat dan boleh dijadikan satu kebanggaan dari segi nilai budaya. Nilai budaya sebuah masyarakat itu juga memperlihatkan keseniannya tersendiri. Kesenian juga tidak hanya menjurus pada bentuk hiburan semata-mata dan ianya bukan sesuatu yang boleh dijualbeli dan ditukarkan dengan material.


Bentuk kesenian secara kasar boleh diklasifikasi pada nilai material dan non-material. Ini merujuk bahawa kesenian sama ada boleh dilihat, diteliti, dinilai, diuji dan dibincangkan tergolong dalam bentuk material dan non-material. Contohnya apabila seseorang melihat sebuah tarian, tidak semestinya ia menilai dari segi persembahan tarian dengan pakaian yang menarik dan penari yang manis jelita. Barangkali ia menilai apakah moral dan pendidikan yang dipersembahkan melalui tarian tersebut. Apakah yang dipamerkan melalui busana penari tersebut, corak, warna, fesyen dan lain-lain.


Corak busana, pemilihan warna dan fesyen yang dipakai penari memberi satu identiti dan mesej yang mengklasifikasikan budaya keseniannya. Budaya kesenian yang dipamerkan tersebut mewakili kaum dan masyarakat tertentu. Setiap masyarakat juga tidak boleh menirucipta kesenian kaum lain menjadi budaya mereka. Budaya itu sendiri dapat memperlihatkan kesenian tersebut milik siapa dan bagaimana asimilasi berlaku. Sebagai contoh tarian maggalang adalah upacara perayaan kaum Murut di Nabawan, Sook, Keningau, Tenom iaitu bahagian pedalaman Sabah. Tarian tersebut bukan hanya untuk tujuan hiburan semata tetapi mempunyai nilai moral dan makna tersendiri kepada kaum Murut. Begitu juga dengan tarian mangunatip iaitu meraikan kepulangan pahlawan Murut daripada memburu dan berperang menentang kejahatan.


Apabila seseorang membuat penelitian kesenian dari sudut ilmu boleh memperlihatkan kesenian mencorakkan kehidupan masyarakat. Masyarakat dapat dikenalpasti memiliki budaya dan kesenian tertentu melalui proses kehidupan sosial antropologi mereka. Kesenian sesebuah masyarakat pula boleh didengari dan diteliti melalui nyanyian dan seseorang dapat menilai senikata dan melodinya memiliki zaman bila. Sesebuah ketamadunan dapat dinilai dan diuji melalui material iaitu alatan yang digunakan dan non-material yakni kesan subjektif yang terdapat dalam corak kesenian tersebut.


Namun, jika kita bincangkan kesenian tersebut dalam bentuk material dan non-material ianya boleh digolongkan bahawa kesenian amat menyeluruh definisinya dalam konteks kehidupan masyarakat manusia. Kehidupan masyarakat manusia secara umum mempunyai kebudayaan yang di dalamnya terdapat pelbagai komponen yang termasuklah kesenian. Sesungguhnya, kesenian itu sendiri tidaklah menjurus pada hiburan dan persembahan semata-mata tetapi ianya dilihat dari pelbagai sudut penelitian, penilaian dan kajian. Penelitian, penilaian dan kajian dibuat perlulah bersandarkan masyarakat tersebut dari gugusan keturunan, bangsa, anutan agama, kedudukan, geografi dan sosial antropologinya. Apabila segala-gala dibincang dan dibahaskan, ternyata kesenian dalam konteks masyarakat terlalu luas dan global.


Keturunan manusia membezakan kesenian yang dianuti dan dimiliki. Secara langsung ataupun sebaliknya kesenian tersebut lahir bersama genetik manusia itu sendiri. Contohnya seorang pelukis akan mempunyai zuriatnya yang berkebolehan melukis. Walaupun tidak daripada anaknya sendiri tetapi barangkali cucu dan cicitnya. Umpamnya, seniman Tan Sri P. Ramlee, waris terdekatnya ialah Nasir. P. Ramlee yang mempunyai bakat seakan-akan ayahnya walaupun tidak keseluruhannya. Namun, ini sudah cukup membuatkan penelitian dan pengujian bahawa kesenian itu teruji dari sudut ilmu yakni memperlihatkan bahawa kesenian mencorakkan kehidupan masyarakat.


Sebagaimana kemasyarakatan, kesenian tidak dapat dipisahkan daripada ajaran agama ini. Sifatnya sebagai agama syumul membenarkan imaginasi dan kreativiti yang sememangnya ada dalam pemikiran umat. Seniman-seniman Islam menggunakan kekuatan imaginasi dan kreativiti tersebut sebagai anugerah dan amanah Allah s.w.t. yang perlu dijaga, disubur dan disemai dalam ruang dari batasan yang dibenarkan oleh syariat (Manja, 1995).


Anutan agama boleh juga memperlihatkan kesenian yang tersembunyi. Penyembunyian kesenian dalam agama dapat diperlihatkannya dalam nilai moral dan keperibadian keagamaan itu sendiri. Nilai moral dan keperibadian agama amat tersembunyi, namun pengamalnya sahaja yang lebih arif mengetahui. Ianya juga amat subjektif untuk diperkatakan yang mana memberi takrifan yang berbeza oleh seseorang mengikut sosial-budaya kehidupannya.


Sebagaimana di kepulauan nusantara Melayu. amalan adat terlebih dahulu meresapi dalam budaya manusia sebelum agama muncul. Contohnya kedatangan agama Islam yang disebar melalui pedagang Arab Parsi. Suntikan pelbagai budaya merubah dan meresapi tanpa sedari. Kehadiran kesenian tersebut kadangkala menerbitkan secara kekal pengamalannya dan seterusnya sesebuah masyarakat mengakui milik mereka.


Tradisi kesenian Islam yang awal lebih cenderung ke arah menyatakan bukan semata-mata ruang dalam penjelamaan motif-motif hiasan, malahan konsep dan falsafah yang berteraskan pada prinsip tauhid. Kepekaan terhadap prinsip ini bukanlah tidak berasas. Seniman-seniman Islam memang menyedari hakikat nilai estetik adalah sebagian padu dari pancaran fahaman keagamaan (Manja: 95: 1995).


Barangkali kesenian yang diperlihatkan di zaman alaf baru ini mempunyai ciri-ciri bermotifkan universal. Kesenian merujuk pada satu keindahan sebagaimana matlamat Kung Fu Tze (Confucius) ialah untuk meninjau dan menyelidiki fungsi penilaian keindahan dan seni masyarakat di dalam kehidupan. Penilaian keindahan dan seni mengkhususkan peranan khas bagi membantu manusia mencapai kedudukan (Hamidah, 1995:42).


Justeru, kesenian sesuatu kaum dan masyarakat dapat memperlihatkan keunggulan budaya masing-masing. Budaya tersebut terus dipelihara sebaik mungkin supaya tidak dicerobohi dan diciplak keasliannya. Dalam ertikata lain menciplakan idea seni contohnya, lengok-lengok tarian dan busananya dan mendakwa ianya milik budaya bangsa sendiri adalah tidak wajar. Kewajaran mendakwa sesuatu kesenian itu perlu dibuktikan dengan fakta sejarah dan jumpaan-jumpaan kajian sahih. Kesahihan sesuatu kesenian milik sesuatu masyarakat boleh diusahakan dengan kajian akelogi sebagaimana jumpaan pertempatan orang mesoliti seperti di gua Cha, Kelantan, Gua Niah di Sarawak, Guar Kepah di Kedah.


Sesungguhnya tidak dapat dinafikan seniman-seniman Islam telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan kesenian dan tamadun dunia. Hal ini bukan sahaja diakui oleh sarjana-sarjana Islam malahan ia juga turut diakui oleh sarjana-sarjana barat (Manja, 1995). Pengukuran moral kesenian tersebut dapat dinilai daripada kebagusan yang dimartabatkan dalam karya-karya yang dihasilkan oleh para seniman Islam yang menjadi ikutan dan peniruan barat, dengan lantang pula mendakwa kesenian tersebut milik mereka.
Mereka boleh menipu sejarah, namun sejarah tetap mencatat perkara-perkara benar dan jitu sebagaimana bahtera Nabi Nuh menjadi peniruan penciptaan kapal untuk orang barat bangga mengelilingi dunia. Makanya, kesenian sesuatu bangsa dan anutan agama dapat diperjelaskan melalui sudut penelitian, penilaian dan kajian yang tidak dapat dicemari dengan pengakuan dan dakwaan yang palsu tidak mengikut pertimbangan akal mengikut factual knowledge.
Artikel ini sebahagiannya telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada bulan Oktober, 2002. Hlm. 40-41.

RUJUKAN
  1. Abdul Rahman Haji Ismail, 2001. China Pensejarahan dan Pembinaan Tamadun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  2. V.I.Braginsky, 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  3. Manja Mohd Ludin & Ahmad Suhaimi Hj. Mohd Nor, 1995. Aspek-Aspek Kesenian Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  4. Hamidah Abdulhamid, 1995. Pengantar Estetik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  5. Encyclopedia Britannica, Inc. 1994 – 2000.

5 comments:

Anisah Putri said...

Saya bersetuju denganhujahan En. Wira terhadap isu ini. Pada pendapat saya seni sememangnya suatu topik yang cukup luas untuk dperhujahkan. Kesenian adalah begitu halus sekali, ia merangkumi setiap aspek kehidupan samaada kita sedar mahupun tidak setiap yang kita lihat pada setiap hari, waktu dan detik adalah simbol kesenian.

Namun, frasa 'seni untuk seni' tersebut telah dibahaskan didalam beberapa buku 'Kesenian Islam'. Mengapa? kerana, frasa tersebut datangnya dari pemikiran barat yang kini sudah mulai menguasai minda-minda kaum muslimin, kerana mereka percaya pada kesenian yang bebas. Sedangkan di dalam Islam, begitu menekankan aspek kesenian yang mendatangkan mesej-mesej positif serta agar diri kita lebih dekat dengan Allah. sebagai contok, seramik dan tembikar. Juga ukirsn dinding-dinding berasaskan motif-motif kosmos dan geometri, sebagai tanda memuji dn menghargai ciptaan Allah yang Maha Esa seperti corak bulan, matahari dan tumbuha-tumbuhan dalam bentuk abstrak terutamanya.

Bidang seni dari barat telah banyak mempengaruhi minda kita pada masa kini, contohnya seperti binaan-binaan bangunan yang tidak lagi menggunakan unsur-unsur ke-Islam-an. Malah cukup sadis bagi masyarakat kita kerana terus mengambil idea-idea dari barat ini, tanpa memikirkan apakah mesej disebalik setiap idea yang mereka sampaikan. Seperti, 'design' pakaian pada masa kini lebih kepada dunia barat, hingga melupakan budaya kita sendiri. Sungguh menghampakan kerana masyarakat kita sendiri mengikuti contoh yang negatif tersebut.

Saya, sebagaimana En. Wira sendiri,
mengagumi tokoh-tokoh kesenian kita pada yang terdahulu, kerana jika tidak kerana dengan karya-karya mereka kita belajar untuk melakukan dengan lebih baik. Saya juga berharap agar bidang kesenian di negara kita, tidak kira dari sudut mana pun akan membawa kepada kebaikan dan bukan kelalaian, kerana kita mahu industri seni tanah air kita untuk terus maju dan tersohor serta tetap dihormati oleh kyalayak ramai.

aYu eMeLDa said...

Seni merupakan usaha untuk mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan dan seni itu dijalankan pula daripada rasa estetika (Herbert, 1949). Manakala menurut Sidi Gazalba, seni merupakan usaha untuk menghasilkan bentuk-bentuk indah tertakluk kepada keupayaan seseorang untuk menghasilkan karya yang dianggap oleh masyarakat sebagai mempunyai sifat keindahan sama ada halus dalam ciptaannya atau enak didengar atau cantik dalam bentuk fizikalnya (Hussein Alatas, 1980).
Takrif bagi istilah kesenian pula ialah sesuatu yang memiliki ciri-ciri estetika iaitu keindahan. Secara telusnya, ciri-ciri estetika ini berasal dari sentuhan nuansa mahupun nurani yang mendalam serta di tujukan dan dihasilkan pula untuk meninggalkan kesan mahupun implikasi kepada nuansa atau nurani kepada orang lain (U.U. Hamidy, 1986).
Menurut Horace pula, kesenian merupakan sesuatu yang indah dan berguna iaitu (duice et utile) yang mana kita dapat simpulkan sebagai sesuatu yag memiliki keindahan dan bermanfaat untuk meningkatkan kualiti manusia itu sendiri ( National Research Council of the Philippines, 1981).
Jiwa, perasaan dan nurani manusia sebenarnya telah tertanam satu rasa dimana ianya dikenali sebagai rasa sukakan keindahan dan keindahan tersebut adalah seni yang tidak bersifat interim. Saya bersetuju dengan apa yang En. Wiramanja interprestasikan. Holistiknya, seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak yang mana dapat dipandang, didengar, dan disentuh oleh jiwa namun tidak dapat dinyatakan melalui bahasa dan kata-kata. Kesenian pula adalah sesuatu hasilan yang mampu meninggalkan kesan dan meningkatkan kualiti hidup manusia.
Menurut Egune Jonhson dalam ‘The Encyclopedia American’, beliau telah menjelaskan bahawa seni sebagai kemahiran. Sebagai contoh ialah seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Secara jelasnya, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah yang mana dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas, dan sebagainya.
Dari pemikiran barat, kita beralih pula kepada pemikiran tokoh Islam. Drs.Sidi Gazalba dalam bukunya ‘Pandangan Islam Tentang Kesenian’ menjelaskan bahawa sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia adalah sebahagian daripada kesenian. Hal ini kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai sifat semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui lima pancaindera kita. Tuntasnya, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan, dan memberi kepuasan melalui pancaindera.
Saya ingin melahirkan pendapat mengenai kesenian dari sudut keindahan di muka bumi. Memang benar seperti kata En. Wiramanja bahawa Islam merupakan agama yang syumul iaitu menyeluruh dan universal yang mana ianya tidak membebankan setiap penganutnya malah memudahkan dan meringankan umatnya. Konsep Islam menyatakan bahawa kesenian itu turut menjadi keindahan yang merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t. lantas segala yang diciptakanNya merupakan pancaindera keindahanNya. Makhluk yang paling indah dan sempurna ialah manusia. Bumi yang ditempatkan manusia ini juga dihiasi dengan segala keindahan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban tamadun lain.

Kesimpulannya, tidak kiranya kesenian yang diperolehi itu sama ada melalui empat cabang ini iaitu pendengaran seperti muzik, kesenian yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian, atau kesenian yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan kesenian yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa, semua itu mempunyai nilai-nilai estetikanya yang tersendiri dan nilai-nilai moralisme dalam kesenian tersebut yang mana mempunyai pro dan kontranya. Hitam di kiri, putih di kanan, jalan kehadapan bukan khayalan,kesenian adalah keindahan, nilainya bukan ukuran..
Justeru itu, fikir-fikirkanlah..
Salam persetujuan..

Benz M. said...

In my opinion, "Art" is something that is personal and differs from one person to another. What we ourselves perceive as art may or may not be art to others around. The other day I've watched a showcase of bizarre short films which appeared strange and incoherent, but upon reading the pamphlet I could comprehend the message that is being conveyed.

I agree to the point where you mentioned that certain art relates to the identity of a religion and culture; in this modern era of the so-called world without boundaries, what's there left that can differenciate between nations? Our culture. Even though a Muslim family can live in Britain, they still can preserve their way of life and be identified as muslims. Such is our art; even if we someday end up in another part of the world, as long as we carry our culture's unique artform with us, our heritage will be preserved.

There's another topic I'd like to bring up, and some if not most people would probably disagree with me. Among the contemporary malays I've seen, some tend to follow the arabic culture too much. There's a difference between Islam and Arab, but nowadays people just blur the lines between the two and make it as whole. This is actually a problem in some parts of the world where the negative local culture is blended and they are passed off as "muslims". What I'd like to see is that instead of following the arabic culture blindly, we should steadfast in our malay heritage while at the same time within the bounds of Islam. In that way, our heritage will last on.

Anonymous said...

NILAI MORALISME DALAM KESENIAN
Istilah kesenian adalah sesuatu yang subjektif untuk dibincangkan. Bagi saya, cara bagi setiap individu untuk menilai istilah kesenian adalah berbeza sama sekali bergantung kepada kecenderungan mereka dalam meneliti hasil karya seni tersebut. Saya tertarik dengantopik ‘ Nilai moralisme dalam kesenian‘ kerana melalui bacaan saya, saya telah mengetahui sesuatu yang masih baru bagi pemikiran saya. Pembahagian cara menilai kesenian itu terbahagi kepada dua nilai iaitu nilai eksrinsik dan nilai intrinsik. Nilai eksrinsik yang merujuk kepada penghayatan kesenian dalam menyampaikan mesej yang berbentuk moral memerlukan pengetahuan yang mendalam dan seni eksrinsi kini bersandarkan kepada teori seni seperti kehalusan hasil seni itu sendiri. Manakala, nilai intrinsic merujuk kepada penghayatan kepada kebendaan.
Saya, sebagaimana Encik Wira sendiri,
Bersetuju, tiap-tiap karya seni mempunyai perbezaan pandangan dan cara ia melihat sesebuah hasil seni itu sendiri. Tempoh hari, saya ada menonton sebuah filem seram dari Thailand yang agak mengelirukan bagi saya kerana cara penceritaannya yang agak rumit tidak seperti filem-filem yang berunsurkandramatik yang mudah difahami. Lantaran itu, saya membaca sinopsisnya dan Berjaya memahami jalancerita. Dari sini dapat dilihat tidak semua boleh memahami seni dalam bentuk visual sahaja dan bukan semua orang boleh memahami seni itu dalam bentuk bacaan sahaja. Ianya bergantung kepada individu.
Penerapan moral dalam bidang kesenian dapat dilihat melalui pembinaan banggunan seperti masjid yang melambangkan keislaman melalui ukiran dinding yang berunsurkan alam, dan juga coraknya yang membawa kepada penyampaian mesej-mesej yang positif. Pada era pembanggunan ini, pengaruh barat dalam karya seni semakin menjadi ikutan. Agak menyedihkan apabila unsure alam dan juga keislaman tidak lagi menjadi teras kepada penghasilan karya seni. Antara contoh yang terdekat ialah rekaan pakaian pada masa kini hasil rekaan barat yang menjadi ikutan sehinggakan masyarakat muslim sendiri semakin lupakan budaya sendiri. Disamping rekaan pakaian, pembinaan banggunan yang dulunya menjadikan unsure alam sebagai aspek utama kini lebih menjadikan Negara barat sebagai contoh terbaik dalam menghasilkan binaan banggunan tanpa mengendah dan berfikir apa maksud disebalik idea dalam rekaan mereka (barat). Tidak dapat dinafikan, rekaan barat adalah bersifat universal. Hal ini kerana Negara-negara islam sendiri menjadikan Negara barat sebagai model pembanggunan Negara.
Kesimpulannya, setiap budaya, kaum, dan Negara memiliki seninya yang tersendiri. Tiada seni yang boleh dianggap sebagai tidak berkualiti atau dianggap bukan seni kerana tiap seni yang ada adalah hasil dari peradaban dunia yang semakin berkembang.Penilaian terhadap kesenian itu sendiri bergantung kepada cara kita menilainya sendiri. Seni adalah sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan dirasa. Kesenian juga adalah salah satu daripada cara untuk mencatat sejarah. Contohnya melalui ukiran-ukiran dinding, seramik dan sebagainya yang memaparkan keseniannya pada zaman tersebut.
Sebagai konklusi, kesenian adalah salah satu daripada alternative untuk menampilkan nilai moral dan menjelaskan sejarah pada zaman terdahulu yang kini menjadi seni warisan dunia. Penerusan kesenian setiap peradaban masing-masing harus diterusi agar tidak hilang kesenian tersendiri. “nilai moralisme dalam kesenian


_ visualasi merak_

DanniLoopey said...

I agree with Mr. Wira's opinion of the extrinsic and intrinsic aspects of art, but as shown proven in the post, these two aspects are so vast as to not offer much in the sense of abbreviation or summation of the definition of 'Art'. At least, not a satisfying summation.

Art is too large a domain to be dissected, analysed and categorised completely in its fullness. That would be like trying to define the meaning of life in one word, fathoming the vastness of space and completely understanding the mind of God.

Art is a part of man and has been a part of man since known history (as shown in the post on the cave drawings found in caves all around Malaysia). Man is always evolving. Hence, it can only be, without a doubt that art must evolve along with man or be left behind.

Define man and you may be able to successfully define art. Till that day, the definition of art can only be considered a personal opinion open for debate.

At least, that's my opinion on the matter.