Monday, January 4, 2010

WAYANG KULIT: FILEM ANIMASI PERTAMA DI DUNIA

Peminat filem animasi didedahkan pelbagai cerita melalui pengeluar filem barat. Genre ini bukan baru malah wujud sejak berabad-abad yang lampau. Filem animasi diminati golongan kanak-kanak dan dewasa. Seseorang kanak-kanak dapat mendewasakan pemikirannya melalui tontoni siri kartun. Siri kartun yang mewarnai kehidupan manusia sehingga kini mempunyai sasaran tertentu. Sebelum zaman filem hitam-putih muncul, beberapa kaedah digunakan untuk mengerakkan sesuatu objek.


Di awal tahun 1830, “optical toys” yang disebut phenakistoscope, zoetrope dan praxinoscope digunakan bertujuan menggerakkan objek seolah-olah ianya kelihatan hidup. Makanya, Stuart Blackton berbangsa Amerika mendapat cetusan idea daripada optical toys menerbitkan filem animasi bertajuk Humorous Phases of Funny Faces pada tahun 1907. Sejarah filem animasi pertama di Amerika ialah Winsor McCay yang melakar kartun ke filem melalui siri Dreams of A Rarebit Fiend.
Menurut Hasan Mutalib seorang tokoh filem animasi tempatan, mengatakan wayang kulit adalah satu contoh filem animasi yang pertama di dunia. Beliau berkata begitu dalam pembentangan kertas kerja di Seminar dan Bengkel Seni Kartun berasaskan Komputer yang di adakan di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah, pada 28 Jun, 2003 yang lalu. Menurut beliau, wayang kulit menggunakan layar ada imej-imej yang bergerak ada suara dalang dan muzik. Elemen-elemen tersebut sudah cukup mengaitkan Wayang Kulit sebagai filem animasi.



Kemahiran dalang mempelbagaikan suara bagi memperlihatkan setiap watak boleh memukau audiens. Dalang juga berjaya menggunakan pelbagai watak sama ada serius mahupun komidi secara spontan menyalurkan mesej kepada audiens. Di zaman sebelum kemunculan filem di negara ini, wayang kulit memikat khalayak audiens. Ramai sarjana berpendapat wayang kulit berasal daripada pelbagai pelusuk kepulauan nusantara. Namun, ada di negara luar seperti di Eropah menggunakan wayang kulit Cina pada pertengahan abad 18.


Makanya, Wayang Kulit telah menjadi inspirasi dan diterjemahan semula dalam bentuk filem animasi oleh seorang wanita Jerman yang bernama Lotte Reiniger. Idea daripada teknik persembahan wayang kulit itu terbitlah karyanya berjudul The Adventures of Prince Achmed pada tahun 1926. Wanita tersebut amat tertarik melihat pergerakan imej yang dilakukan oleh dalang dengan menggunakan pelbagai suara. Walaupun ramai sarjana mendakwa wayang kulit tidak dapat dibuktikan kelahirannya di mana.


Namun, ada yang berpendapat wayang kulit berasal dari daerah Jawa, Bali, Kalimatan, Sumatera Utara dan Sunda. Istilah wayang itu sendiri telah wujud di Indonesia di zaman pra sejarah sekitar tahun 1500 sebelum masihi. Wayang ketika itu adalah satu persembahan keugamaan yang menjurus pada persembahan kepada nenek moyang yang bernama Hyang.


Apapun pengertian mengenai wayang sehingga lahir istilah wayang kulit, yang pasti ianya mempunyai pelbagai pengertian dengan justifikasi tersendiri terhadap konsep wayang kulit itu sendiri. Wayang kulit mempunyai pengaruh tertentu dan audiennya tersendiri. Audiennya masih tetap ada walaupun zaman alaf baru menerima teknologi media yang pelbagai tetapi wayang kulit tetap popular dan masih diminati. Keunikan wayang kulit daripada wayang bergerak ‘movie’ tidak membataskan jurang peminatnya dengan filem. Perbezaannya dengan filem ialah Wayang Kulit hanya dapat ditontoni di waktu itu sahaja tetapi tidak berulangkali sebagaimana filem animasi.




Dalam wayang kulit terdapat banyak watak-watak yang cuma dilakonkan oleh seorang dalang. Dalang berperanan mengayakan watak tersebut berdasarkan bakatnya dengan penuh kelucuan dan jenaka. Kelucuan dan kejenakaannya sering memerangkap audiens lebih lama menyaksikan persembahan tersebut sehingga selesai. Apa yang menarik persembahan wayang kulit yang boleh disamai dengan animasi kartun ialah penggunaan layarnya. Di zaman tidak ada bekalan elektrik, pelita minyak tanah ataupun gasline digunakan untuk melatunkan cahaya bayang-bayang watak-watak ukiran tersebut.


Watak-wataknya asal yang aslinya ialah Rama, Shinta, Anoman, rahwana, Kumbakarna yang disadurkan daripada epik Ramayana. Watak-watak seperti Puntadewa, Bima, Arjuna, Nakula, Sadewa, Duryudana, Durna dan Karna adalah daripada epik Mahabarata. Watak-watak inilah yang mengerakkan persembahan wayang kulit dengan seorang dalang yang pakar, tangkas, pintar berkata-kata, boleh menyanyi, berjenaka dan yang lebih penting ialah memberi informasi mengenai isu semasa.


Dalang ini adalah manusia berbakat alam, kerana memahami kehendak audien yang pelbagai lapisan kaum yang memiliki pemikiran berbeza. Seorang dalang yang cetek keilmuan dunia tidak berupaya mengungkap pelbagai masalah dan persoalan dalam menonjolkan setiap watak di pentas wayang kulit. Isu sosial, isu politik dan keagamaan digelumangkan dalam persembahannya. Persembahan tersebut semestinya sentiasa bernafas baru yakni mengikut perkembangan isu semasa dan disulami dengan cerita-cerita rekaan ataupun mengenai sejarah yang sedia ada.


Zaman telah mengubah segalanya, daripada layar ataupun kelir yang mati digerakkan dalam filem. Seni kartun Animasi adalah lonjakkan daripada benih wayang kulit itu sendiri. Sama ada kenyataan ini benar ataupun tidak ianya boleh diukur dan diperincikan dengan persembahan pertama wayang kulit ciptaan Dominique Serphin berbangsa perancis pada tahun 1776.


Di zaman pemerintahan kesultanan pertama Melayu Melaka menyaksikan kedatangan pedagang-pedagang seluruh pelusuk dunia yang secara halus membawa pulang persembahan wayang kulit itu sendiri. Walaupun tidak membawa ceritanya tetapi teknik persembahan dan yang paling pasti ideanya ke negara masing-masing sehingga berjaya mencipta kaedah baru persembahan yang disebut filem animasi.


Apapun, pendapat mengenai wayang kulit sama ada daripada kepulauan nusantara ataupun sebaliknya yang tidak dapat dihapuskan daripada lipatan sejarah ialah wayang kulit tetap unggul walaupun disulami dengan teknologi animasi. Kalau kita fikir sejenak, bagaimana sebuah kapal dicipta kalau bukan pertamanya daripada model bahtera Nabi Nuh.


Begitulah juga filem animasi pertama dunia adalah cetusan idea pemindahan karya klasik wayang kulit tetapi ditempa melalui teknologi terkini. Akhirnya, filem animasi menjalar perkembangannya dengan kemunculan Show White and the Seven Dwarfs (1937) yang mengandungi 447,000 keping lakaran gambar dengan 13 pelbagai bahasa menjadikan filem animasi dunia box office pada tahun 1938. Namun, apapun kepopulariti filem animasi barat tetapi kesemuanya itu adalah benih kelahiran baka daripada wayang kulit.

Artikel ini sebahagiannya telah disiarkan dalam Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. September, 2003. (ms.40-41).


RUJUKAN:
  1. J. Michael Straczynski. 1996. The Complete Book of Scriptwriting, Cincinnati, Ohio. USA.
  2. Dwight V. Swain. 1985. Film Scriptwriting: A Practical Manual, Focal Press, Boston.
  3. David Bordwell & Dristin Thompson. Film Art: An Introduction. McGraw-Hill, Inc. New York.
  4. Gerald Millerson (Twelfth Edition) 1995. The Technique of Televison Production. Focal Press. London.
  5. S. Jaafar Husin (Peny). 1995. Penelitian Sastera: Metodologi dan Penerapan Teori, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  6. Amin Sweeney 1990. Wayang Kulit dan Cabaranya Masa Kini. Dewan Budaya, DBP.
  7. Ayob Ismail. 1978. Mak Yong dan Wayang Kulit Sebagai Sandaran Penciptaan Seni Tari. Kertas kerja dalam Kursus Seni Tari Jurulatih Tarian.
  8. Mana Sikana. 1996. Falsafah dan Seni Kreatif Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  9. Encyclopedia Britannica, Inc. 1994-2000.


3 comments:

Anonymous said...

Saya setuju pendapat tuan, mengenai wayang kulit adalah bermulanya era kartun. Mat Salleh (orang putih) suka meniru, itu sememangnya menjadi budaya mereka. Namun, kewayangkulitan kita masih ditakuk lama. Yakni ceritanya asyik mengenal wak dogol dan gang2nya saja. Boringlah!

Mohd Shazroul Farhan said...

Saya bersetuju dengan kenyataan di atas. Kebanyakan masyarakat barat banyak mengambil tiru sesuatu karya milik luar dan dijadikan karya mereka dengan menokoktambah sesuatu supaya ia nampak lebih kepada hak cipta mereka sebenar. Banyak contohnya seperti sekarang kita boleh lihat mereka lebih ketandusan idea dengan mengambil idea-idea luar seperti negara Jepun misalnya. Dengan kemajuan seperti alat-alat bantuan canggih dan teknologi mampu untuk mengaburi pandangan pihak luar. Memang sudah seperti kebiasaan bagi mereka. Untuk negara seperti kita, tentulah sukar sama sekali untuk menyaingi seperti mereka. Cuma, kita perlu ubah sesuatu itu tetapi dalam pada masa yang sama tidak mengubah sesuatu perkara yang asli sama ada dalam menokoktambah dengan sesuatu yang di pengakhirannya membawa suatu makna yang berbeza..

sufran atan said...

Saya amat bersetuju dengan pendapat pihak tuan. Sejak dahulu hingga sekarang, masyarakat barat selalu mengambil, meniru, menciplak dan menokok tambah hasil seni masyarakat lain di dunia ini dan diterbitkan semula seolah-olah hasil seni itu adalah milik mereka. Banyak contoh yang boleh diberikan, misalnya pada hari ini , masyarakat barat sedang asyik menggunakan idea-idea kreatif dari negara jepun dan ditokok tambah supaya menjadi hasil mereka misalnya drama dan filem animasi jepun yang sangat terkenal iaitu " Dragon Ball" yang merupakan hasil karya seorang kartunis jepun yang sangat terkenal iaitu Akira Toriyama. Filem ini telah melakar sejarah yang besar dalam industri filem dan drama animasi dunia kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh dunia sekitar tahun 1984 hingga 1995 iaitu 11 tahun. Ini merupakan satu-satunya cerita animasi yang mampu bertahan di dunia " anime " sehingga sekarang. Dan, tidak lama kemudian, seorang pengarah kelahiran British Hongkong, James Wong yang menetap di United State telah mengarahkan sebuah filem aksi yang bertajuk ' Dragon Ball Evolution ". Walaupun sambutan yang diterima oleh filem itu tidaklah sehebat seperti yang dijangkakan, namun ia tetap menjadi petanda yang menunjukkan masyakat barat semakin asyik meniru idea- idea luar untuk diterbitkan menjadi hasil karya mereka sendiri.