Sesebuah karya yang dihasilkan mempunyai matlamat tertentu. Seseorang penulis berkarya untuk mencapai satu kepuasan dan kesempurnaan dalam kehidupannya disamping mendapat imbuhan daripada jerih kepayahan memerah otak. Bukan mudah menghasilkan karya bermutu yang diterima oleh masyarakat. Masyarakat celik ilmu memerlukan bahan atau maklumat terkini untuk memenuhi ruang minda mereka. Seseorang yang terpelajar tidak akan menyaratkan pemikiran mereka dengan ilmu yang menyongsang. Ilmu yang menyongsang diterima daripada bahan-bahan yang didapati secara rambang dan murahan. Pembacaan yang tidak terpilih dan terancang boleh menyebabkan individu melempahkan sampah ilmu di kepalanya.
Di akhir ini iaitu zaman ketika tulisan ini dihasilkan berdepan dengan konflik identiti dan konflik imej. Kedua-dua istilah ini sering menjadi induk perbincangan para sarjana yang angkuh dengan displin dan teori masing-masing. Keangkuhan ini terbawa pada penghasilan karya masing-masing mengikut citarasa sendiri yang tidak berpijak pada idea orang lain. Ini kerana ingin mencari kelainan dalam setiap karya terbaru mereka.
Karyawan tidak terlepas memburu kemewahan disamping tetap berkarya menambahkan koleksi penciptaan masing-masing. Namun, setiap karya dihasilkan ada hubungan antara seni dan kehidupan manusia. Dalam kehidupan manusia pula ada pola-pola rentetan peristiwa yang membariskan nilai-nilai estetika. Nilai estetika ini pula dipindahkan oleh karyawan menjadi hasil seni sama ada dalam bentuk penulisan ataupun pembikinan filem. Apabila membicarakan mengenai perfileman di akhir ini, umum mengetahui pembikinannya lebih menjurus mencari keuntungan daripada memaparkan nilai estetika sebagai ilmu untuk masyarakat audien. Masyarakat audien yang laparkan hiburan ditelanjangi bahan siaran murahan yang boleh meracuni minda secara senyap.
Di dalam dunia ini, manusia ingin mencari sesuatu yang terbaik mengisi kehidupan mereka. Dalam kamus kehidupan manusia itu sendiri tidak dapat dihapuskan ialah hiburan. Apabila topik hiburan diperkatakan, makanya seseorang membicarakan pelbagai perspektif mengenainya yang membabitkan unsur-unsur positif dan negatif. Hiburan yang paling mudah didapati ialah di rumah, kerana setiap keluarga mampu memiliki televisyen dan pelbagai lagi peralatan elektronik termasuklah internet. Justeru, limpahan maklumat dan hiburan yang diterima oleh audien sedikit sebanyak memberi pendidikan kepada mereka.
Kehidupan yang diharungi oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia ini terdedah dengan media popular tersebut. Setiap hari kita disogokkan dengan pelbagai bentuk maklumat sama ada positif mahupun negatif. Jaringan yang ada kepada setiap individu ialah batas-batas ilmu dan pemikiran rational sama ada menerima bahan-bahan tersebut ataupun sebaliknya. Bahan-bahan yang banyak digelumangkan melalui media hiburan ialah tayangan filem dan drama tv. Bahan seumpama itu kebanyakannya keluaran antarabangsa yang mengauli permasalahan manusia berbaur keganasan. Keganasan melalui filem dan drama dipelajari oleh audien sehingga menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka. Makanya keganasan yang digempar-gempurkan oleh barat sebenarnya adalah ciptaan mereka sendiri melalui pembikinan filem. Barangkali kemusnahan WTC di New York seolah-olah satu adegan penggambaran filem, kerana shot-shot menarik daripada kameranya jelas daripada pelbagai sudut yang sungguh dramatik sebagaimana sebuah filem Hollywood.
Apabila seseorang menyentuh mengenai sesebuah filem, ia juga memperkatakan nilai komersialnya. Karyawan filem itu juga tidak memikirkan nilai estetikanya lagi. Persoalan estetika akan dinilai oleh mereka yang mengkajinya untuk tuntutan akademik tetapi bukan untuk audien. Cuma barangkali, audien yang perihatin sahaja memikir sesuatu yang diperolehi daripada tontonan filem itu menjadikan subjek pendidikan yang boleh membantu memakmurkan mindanya. Pun begitu, individu yang dahagakan hiburan membuta-tuli mudah karam dan lemas sendiri tanpa mendapat apa-apa daripada tontonan filem tersebut.
Justeru, tugas karyawan filem amat bererti kepada masyarakat demi menjadikan karyanya dinilai oleh generasi akademik akan datang. Contoh yang berlaku pada filem-filem karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, banyak menabur ilmu dan pendidikan bilamana kajian terhadap karyanya dilakukan. Semasa pembikinannya barangkali, P. Ramlee tidak menyedari hakikat yang akan berlaku selepas kematiannya. Ketika itu yang lebih penting pengeluar filem karya P. Ramlee mahukan keuntungan besar menjadikan tayangan box office sehingga melupai jasa dan kebaktian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Begitu hal yang terjadi pada filem Embun, penerbitannya pada awal bertujuan mendapatkan sambutan. Bukan semudah itu FINAS menghabiskan 3 juta tanpa mendapat keuntungan ataupun sekurang-kurangnya balik modal. Persoalan yang berlegar difikiran pengkaji filem, di manakah nilai estetika dan nilai komersial yang ada pada filem Embun tersebut? Bagaimana pula halnya filem-filem terbitan Skop Production? Adakah tidak menetapi sasaran nilai komersial? Adakah Dato Yusof Haslam menidakkan keperluan nilai estetika dalam filemnya? Sesungguhnya, Dato Yusof Haslam mempunyai agendanya tersendiri dan masyarakat audien dapat menilai kemampuan beliau.
Secara rasionalnya, manusia tidak boleh lari memikirkan keuntungan dan kekayaan. Orang yang tidak siuman juga mahukan kekayaan mengelilingi kehidupannya, apatah lagi yang siuman dahagakan kedudukan, pangkat dan populariti. Populariti seseorang menjanjikan kebahagiaan dan kemewahan. Jika seseorang pengarah filem gagal mendapatkan pulangan baik daripada filem arahannya, sudah semesti memberi implikasi buruk pada kareernya di masa depan. Jatuh bangun seseorang pengarah adalah daripada sambutan filem arahannya. Ramai pengarah yang tidak perlu disebut namanya di sini yang telah gulung tikar kerana tidak lagi diberi kepercayaan mengarah filem. Penerbitnya sudah serik, ekoran filem arahan pengarah tersebut kecundang ketika tayangan di pawagam. Kelemahan ini juga sering dikaitkan dengan pengurusan pawagam yang tidak cekap dan mahu bekerjasama, tetapi bukan mengakui kelemahan filem tersebut tidak bermutu. Filem yang bermutu dan tidak bermutu dinilai bagaimana? Mengikut kacamata penilaian rambang, sesebuah filem mendapat sambutan adakah ini dikatakan bermutu?, manakala filem yang tidak mendapat sambutan tidak bermutu?
Istilah mutu dan tidak bermutu ada nilai moralnya tersendiri. Setiap pengarah mempunyai kredibiliti sendiri dan mengetahui mutu karya masing-masing sama ada mempunyai nilai estetika ataupun nilai komersial. Penerbit yang mementingkan nilai komersial akan mengenepi nilai estetika yang amat subjektif sifatnya. Kesubjektifannya yang kadangkala mengelirukan di antara komen A dengan komen B. Tidak siapa yang boleh berpijak secara logik membincangkan di antara aspek nilai estetika itu sendiri. Secara logiknya pula, bagaimanakah cara seseorang mengukur nilai kebagusan sesebuah filem itu mendapat perhatian, digemari dan diminati? Semuanya ini boleh dijawap daripada mereka yang berhak iaitu memahami sebenar-benarnya nilai estetika dalam konteks akademik. Selain itu, audien membuat kritikan berdasarkan pengukuran emosi dan pemikiran yang bias.
Begitulah halnya yang terjadi terhadap industri perfileman Malaysia sama ada lebih menjurus nilai komersial atau nilai estetika. Segala-galanya pula terjawap apakah yang berlaku kepada Johny Bikin Filem karya dan arahan Dr. Anuar Arai memenuhi naluri manusia yang dahagakan nilai estetikanya? Cuma barangkali Jauhari sahaja mengenal manikam. Sesungguhnya, masyarakat audiens mempunyai pelbagai citarasa yang tidak pernah dapat dipenuhi sejak berzaman. Walaupun zaman menukar tambah kehendak manusia mengikut teknologi perfileman era baru, kepuasan bagi diri manusia tidak pernah stabil. Manusia tetap suka membuat perbandingan itu dan ini, yang sememangnya mereka memiliki pemikiran sebegitu.
Pengeluar filem mahukan pengarahnya menghasilkan filem di bawah bajet. Mereka tidak memikirkan nilai estetikanya dan pelbagai lagi. Setiap perbincangan yang dilakukan di antara pengeluar filem dan pengarah ialah kos rendah yang membabitkan kewangan syarikat. Jika diambilkira pelbagai aspek sebelum penghasilan filem, sudah tentu menelan kos yang bukan sedikit. Pembabitan perniagaan penerbitan filem berdepan dengan risiko tinggi waimah dana yang datangnya daripada pihak kerajaan.
Filem Embun yang hanya berjaya mendapat pungutan hampir satu juta sahaja adakah ianya sebuah filem tidak bermutu, rendah nilai estetikanya? Nilai estetika boleh dilihat pelbagai sudut mengikut kacamata individu tertentu. Nilai estetika secara umum merujuk pada sesuatu yang boleh dipegang (material) dan tidak boleh dipegang (non-material). Selain itu ialah seseorang boleh menilai mengikut pengukuran pancaindera iaitu deria rasa, penglihatan, bau, sentuhan dan pendengaran. Juga seseorang menilainya dengan cara melihat alam sekeliling yang terdapat ciri-ciri keindahan ciptaan Allah s.w.t. Walaupun lukisan adalah ciptaan manusia, dilihat indah dan ada nilai estetikanya, namun segala-galanya adalah pemberian Allah s.w.t. kerana memberi akal kepada manusia. Justeru, konsep estetika boleh dimengertikan dengan pelbagai mengikut konteks penilaian yang diperlukan. Begitulah mengenai topik perbincangan mengenai nilai estetika terhadap filem tanahair.
Namun, apapun telahan dan andaian seseorang mengenai nilai esetika VS nilai komersial, yang penting dan lebih utama seseorang perlu menyingkap sejarah. Setiap sejarah akan membuka kelemahan dan kebaikan sesebuah kisah. Justeru, filem tempatan adalah acuan kita, kemampuan kita. Jika modalnya sedikit sedikitlah pula nilai estetika yang dapat diperolehi. Tetapi jangan pula membandingkan filem kita dengan Titanic ataupun Easy Rider. Filem Easy Rider yang modal pembikinannya US 375,000 tetapi pulangannya US 50,000.000. Pengukurannya, audien filem barat adalah di seluruh pelusuk dunia termasuklah audien tempatan sendiri.
Adakah pulangan yang lebih daripada sesebuah filem tersebut dapat memberi pengukuran baik pada nilai estetikanya? Ataupun penerbit filem tersebut lebih mengutamakan nilai komersial filem keluarannya? Adalah lebih adil mengatakan setiap yang mempunyai dayatarikan audien ada menyembunyi nilai estetika yang tinggi penghasilan karyanya. Adapun juga, tidak semestinya filem yang sedikit modalnya tidak meninggalkan nilai estetika. Yang lebih penting, bagaimanakah audien itu menilai nilai estetika dan nilai komersial mengikut perspektif masing-masing. Pepatah Melayu ada mengatakan: jika mengukur baju, biarlah di badan sendiri dan seseorang hendaklah melihat orang di bawahnya tetapi bukan sebaliknya. Daripada natijah tersebut, kesempurnaan manusia hanyalah pada pengukuran akalnya yang dianugerah oleh Allah s.w.t dan selebihnya manusia hendaklah sentiasa bersyukur segala hikmat yang diperolehinya.
Artikel ini sebahagiannya telah disiarkan dalam Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. September, 2003. (ms.40-41).
Artikel ini sebahagiannya telah disiarkan dalam Majalah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. September, 2003. (ms.40-41).
5 comments:
saya amat tertarik dengan artikel ini.Seperti yang kita sedia maklum, pada masa kini hiburan sangat mendapat tempat, lebih-lebih lagi kepada anak-anak remaja. Kalau di lihat pada zaman dahulu dahulu, hiburan sangat terhad berbanding kini, seperti En.Wiramanja kata, setiap rumah pasti memiliki sebuah televisyen sebagai tempat untuk kita berhibur. Filem tempatan masa kini boleh dikatakan berlumba-lumba untuk keluar panggung dan sekaligus berlawan dengan filem luar. Saya sendiri menonton filem tempatan sekarang yang kadang-kala bagi saya sangat tidak bermutu. Karyawan pada masa kini banyak yang melahirkan karya yang hanya mementingkan komersial semata-mata. Bagi saya, pulangan yang diperolehi bukanlah satu titik tolak kepada seni karya tersebut tetapi intipati karya itu yang penting. Bohonglah jika saya mengatakan, pulangan sesebuah karya itu tidak penting kerana itu adalah hadiah kepada penah lelah kita tetapi jika terus-terusan memikirkan balasan yang akan perolehi, apa gunalah kita berkarya.Ada yang berangggapan, jika filem itu membawa kutipan memberangsangkan, maka filem itu bagus. Tidak semstinya, kerana yang biasanya menyesakkan panggung adalah remaja. Remaja, mereka mencari hiburan semata-mata dan membazir bagi mereka jika mereka mahu ke panggung untuk menonton filem yang berat. Misalnya filem 'Wayang'. Filem yang kurang mendapat sambutan, namun filem tersebut sangat berkualiti dan rugi jika tidak menontonnya. Filem yang sangat saya sanjung di mana isi cerita tersebut sangat berbeza dan akan membuka fikiran dan minda kita untuk berfikir. Bagi saya anak remaja tidak mungkin akan pergi menontonnya. Tetapi apabila saya menontonnya, 'HEBAT', itu yang boleh saya katakan. Budaya yang ditonjolkan sungguh berhasil. Lihatlah, filem tersebut telah memenangi filem terbaik 2008. karyawan masa kini banyak menghasilkan karya yang mementingkan komersial sahaja. bagi saya, pada zaman yang mencabar ini ditambah pula saingan yang kuat menambahkan lagi sesak di dada pada karyawan yang ingin menghasilkan karya yang terbaik sehingga lupa pada seni atau nilai estitika yang patut menjadi rencah dalam sesebuah karya. kalau diikutkan peredaran masa, di zaman Tan Sri P.Ramlee, saingan yang kurang dan pembikinan filem yang ringkas menjadikan filem Tan Sri P.Ramlee di terima hingga kini selain dari karya beliau yang memang bermutu. Namun kini, saingan terlalu hebat dan keadaan ekonomi yang naik turun membuatkan para karyawan perlu sedikit sebanyak memikirkan pulangan. Jika mereka yang betul-betul berpijak pada seni, sudah tentu balasan tidak di harapkan dan apa yang di harapkan hanyalah untuk melahirkan seni yang agung seperti karya-karya Tan Sri P.Ramlee. Secara konklusinya, filem yang di hasilkan kini bukanlah semuanya tidak bagus, tetapi biarlah karya yang dilahirkan itu bermutu dan sejajar dengan peredaran masa agar diterima seluruh masyarakat. karya yang dilahirkan dari jiwa yang berseni.Dan jadikan seni juga sebagai wadah menyampaikan ilmu. bukan seni untuk seni. Sokong filem tempatan!!!
Saya berpendapat filem2 tempatan masa kini kurang menghasilkan filem yang bermutu. Saya mengambil contoh filem tempatan yang saya tonton di panggung iaitu 2 Alam oleh Dr. Rozmey. Pada awalnya digembar gemburkan sebagai filem pecah panggaung dan bakal mendapat kutipan mencecah 20 juta. Di Malaysia kutipan tersebut adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai dan cara promosi yang dilakukan membuatkan penonton tertarik untuk melihat karyanya. Tetapi apabila melihat sendiri saya sebagai penonton merasa tertipu kerana filem yang kononnya sangat bagus tetapi terlalu banyak kesalahan yang terdapat dalam filem itu menunjukkan yang filem tersebut tidak bermutu. Jalan cerita nya tidak konsisten sebagai contoh adengan kahwin di luar negara. Bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain dan filem tersebut tidak menerangkan watak lelaki orang putih itu dengan jelas, malah dia hanya keluar satu babak semasa berkahwin dan apabila pulang ke Malaysia masih bersama kekasih hatinya. Adengan kecewa di dalam kolam renang juga menunjukkan betapa ceteknya idea fikiran nya kerana adengan tersebut tidak sepatutnya wujud. Hanya melengahkan masa dengan adegan yang tidak mempunyai mesej. Dan antara yang paling ketara ialah apabila orang kampung berkumpul membaca keratan akhbar tentang artis itu merupakan seorang lelaki tetapi apabila cameraman menunjukkan shot di dalam akhbar mereka tengah membaca artikel lain yang tiada kena mengena dengan jalan cerita. Contoh2 ini meninjukkan mereka tidak teliti untuk menghasilkan karya bermutu dan hanya mementingkan untung semata-mata. Hasilnya filem tersebut mendapat kutipan tidak sampai RM50,000. Jauh dari sasaran yang di ura2 kan. Penerbit dan pengarah filem tempatan haruslah lebih peka pada filem yang ingin dihasilkan bukan hanya memntingkan pulangan semata2. Penonton masa kini juga tidak kurang cerdiknya untuk menilai sesuatu cerita. Semoga filem tempatan bertambah maju dan mampu menghasilkan karya yang setanding filem antarabangsa. Sekian
Saya setuju dengan artikel tersebut. Seperti yang saya lihat pada masa kini kebanyakkan filem-filem lebih suka menggunakan pelakon yang sama dimana pelakon yang berpotensi menjadi batu loncatan untuk mendapatkan wang kerana mempunyai imej yang menarik bukan kerana seni lakonannya. Bukan setakat filem, malah medium-medium hiburan yang lain juga turut memperjuangkan nilai komersialnya berbanding nilai estetika. Contohnya dalam muzik, kebayakkan remaja suka mendengar lagu-lagu bergenre kpop. Tetapi apakah nilai-nilai estetika yang ada di dalam lagu-lagu kpop. Pada pendapat saya dalam kpop saya tidak dapat mengenalpasti dimanakah perginya korus, dimanakah perginya verse, dimanakah solo-solo yang indah. Mereka hanya menyebut sebuah ayat berulang-ulang dan bermain gadget untuk mengubah suara menyerupai robot. Adakah suara mereka tidak menarik sehingga patut diubah? Mungkin kebanyakan peminatnya menyokong mereka ini kerana imej mereka yang menarik. Mengambil contoh di Malaysia sahaja, siapakah yang mengenali Purevibracion yang memperjuangkan irama reggea dengan pengisian pelbagai mesej di dalam lagu mereka. Mungkin ada yang pernah dengar tentang kisah band Couple yang lagunya tidak mendapat tempat di dalam radio sehingga mereka mengeluarkan album berjudul Pop Tak Masuk Radio. Bagaimana pop mereka tidak dapat masuk radio sedangkan pop yang tidak berbunyi seperti pop menjadi lagu hit di radio. Hal ini terbukti yang nilai komersial lebih dititikberatkan.
Encik Wiramanja,
Saya harus mengakui, saya cukup tertarik dan sangat bersetuju dengan apa yang encik cuba sampaikan di sini. Pada pandangan saya, filem-filem zaman sekarang sememangnya lebih memberatkan nilai komersial daripadan nilai estetika, termasuklah filem-filem di Malaysia sendiri. Sememangnya agak sukar, pada zaman sekarang, untuk mencari filem yang benar-benar memaparkan nilai-nilai estetika. Seperti kata Encik Wiramanja, karyawan filem lebih mementingkan sambutan dan pulangan ekonomi semata-mata. Hal ini menunjukkan seolah-olah karyawan karyawan ini telah tewas dengan godaan mata wang dan tidak lagi mementingkan nilai nilai kesenian dan estetika dalam karya mereka. Mungkin bagi mereka, audien tidak akan menghargai dan memahami nilai nilai ekstetika dalam sesebuah filem, justeru mereka langsung tidak menerapkan nilai nilai sebegitu dalam filem. Mungkin perihal ini benar bagi segelintir audien, seperti mana Encik Wiramanja perkatakan, namun ini sememangnya tidak adil bagi audien yang prihatin tentang nilai nilai ini. Karyawan filem seolah-olah menganggap audien mereka terlalu bodoh, barangkali sehinggakan sanggup mengenepikan nilai nilai estetika. Benar, kebanyakan audien terdiri daripada golongan yang mencari hiburan, sebagai eskapisme daripada kehidupan harian yang senantiasa sibuk dan penuh dengan tekanan. Tetapi ini tidak bermakna bahawa audien harus dipertontonkan sesuatu filem yang hanya mempunyai nilai komersial. Mereka juga berhak untuk menilai filem filem yang ditontoni, bukan sekadar pulang tanpa memperolehi apa-apa. Kerana sebagai mana kita semua tahu, filem juga merupakan sebuah medium untuk mendidik audien melalui visual dan audio. Apakah gunanya menonton sesuatu filem sekiranya kita, sebagai audien, tidak mendapat kepuasan dan pendidikan yang sepatutnya kita peroleh? Saya tidak bermaksud filem filem zaman sekarang tidak boleh bernilai komersial, kerana seperti yang saya nyatakan tadi, filem adalah satu medium eskapisme untuk audien, maka mereka sememangnya memerlukan hiburan tersebut. Cara terbaik adalah mengimbangi kedua dua nilai yang dibincangkan di sini, untuk menghasilkan sebuah filem yang bagus, di mana audien mendapat kepuasan menonton kedua dua nilai komersial dan estetika. Hal ini sememangnya penting dalam mengembangkan industri perfileman negara kita, selaras dengan perkembangan pesat negara kita. Sebagai karyawan filem, mereka harus cuba menerapkan lebih banyak nilai nilai estetika di dalam filem mereka agar dapat melahirkan audien yang lebih terbuka dan luas mindanya, yang punya perspektif yang hebat, bukanlah audien yang pulang ke rumah dengan tangan kosong.
Walaubagaimanapun, saya agak tidak bersetuju dengan kenyataan Encik Wiramanja yang menyatakan bahawa unsur unsur keganasan yang diterapkan datang dari filem filem Barat. Bukankah keganasan itu memang sudah wujud dalam diri setiap individu, sejak kecil lagi? Di negara mana pun, wujudnya keganasan. Jadi menuding jari kepada pihak Barat tentang keganasan mungkin kurang relevan, pada pendapat saya.
Namun secara keseluruhannya, saya mendapati isu ini menarik, dan sangat berharap para karyawan filem dapat memperbaiki lagi kualiti filem-filem di negara kita kerana saya yakin, filem filem kita sebenarnya mempunyai potensi tinggi untuk berjaya sehingga ke luar negara.
Encik Wiramanja,
Saya harus mengakui, saya cukup tertarik dan sangat bersetuju dengan apa yang encik cuba sampaikan di sini. Pada pandangan saya, filem-filem zaman sekarang sememangnya lebih memberatkan nilai komersial daripadan nilai estetika, termasuklah filem-filem di Malaysia sendiri. Sememangnya agak sukar, pada zaman sekarang, untuk mencari filem yang benar-benar memaparkan nilai-nilai estetika. Seperti kata Encik Wiramanja, karyawan filem lebih mementingkan sambutan dan pulangan ekonomi semata-mata. Hal ini menunjukkan seolah-olah karyawan karyawan ini telah tewas dengan godaan mata wang dan tidak lagi mementingkan nilai nilai kesenian dan estetika dalam karya mereka. Mungkin bagi mereka, audien tidak akan menghargai dan memahami nilai nilai ekstetika dalam sesebuah filem, justeru mereka langsung tidak menerapkan nilai nilai sebegitu dalam filem. Mungkin perihal ini benar bagi segelintir audien, seperti mana Encik Wiramanja perkatakan, namun ini sememangnya tidak adil bagi audien yang prihatin tentang nilai nilai ini. Karyawan filem seolah-olah menganggap audien mereka terlalu bodoh, barangkali sehinggakan sanggup mengenepikan nilai nilai estetika. Benar, kebanyakan audien terdiri daripada golongan yang mencari hiburan, sebagai eskapisme daripada kehidupan harian yang senantiasa sibuk dan penuh dengan tekanan. Tetapi ini tidak bermakna bahawa audien harus dipertontonkan sesuatu filem yang hanya mempunyai nilai komersial. Mereka juga berhak untuk menilai filem filem yang ditontoni, bukan sekadar pulang tanpa memperolehi apa-apa. Kerana sebagai mana kita semua tahu, filem juga merupakan sebuah medium untuk mendidik audien melalui visual dan audio. Apakah gunanya menonton sesuatu filem sekiranya kita, sebagai audien, tidak mendapat kepuasan dan pendidikan yang sepatutnya kita peroleh? Saya tidak bermaksud filem filem zaman sekarang tidak boleh bernilai komersial, kerana seperti yang saya nyatakan tadi, filem adalah satu medium eskapisme untuk audien, maka mereka sememangnya memerlukan hiburan tersebut. Cara terbaik adalah mengimbangi kedua dua nilai yang dibincangkan di sini, untuk menghasilkan sebuah filem yang bagus, di mana audien mendapat kepuasan menonton kedua dua nilai komersial dan estetika. Hal ini sememangnya penting dalam mengembangkan industri perfileman negara kita, selaras dengan perkembangan pesat negara kita. Sebagai karyawan filem, mereka harus cuba menerapkan lebih banyak nilai nilai estetika di dalam filem mereka agar dapat melahirkan audien yang lebih terbuka dan luas mindanya, yang punya perspektif yang hebat, bukanlah audien yang pulang ke rumah dengan tangan kosong.
Walaubagaimanapun, saya agak tidak bersetuju dengan kenyataan Encik Wiramanja yang menyatakan bahawa unsur unsur keganasan yang diterapkan datang dari filem filem Barat. Bukankah keganasan itu memang sudah wujud dalam diri setiap individu, sejak kecil lagi? Di negara mana pun, wujudnya keganasan. Jadi menuding jari kepada pihak Barat tentang keganasan mungkin kurang relevan, pada pendapat saya.
Namun secara keseluruhannya, saya mendapati isu ini menarik, dan sangat berharap para karyawan filem dapat memperbaiki lagi kualiti filem-filem di negara kita kerana saya yakin, filem filem kita sebenarnya mempunyai potensi tinggi untuk berjaya sehingga ke luar negara. InsyaAllah.
Post a Comment