Thursday, January 7, 2010

TRANSFORMASI ILHAM RASA KE SEBUAH KARYA

Seseorang berasa dirinya kerdil apabila berada dalam sebuah perpustakaan. Sebuah perpustakaan adalah gedung ilmu yang melempah ruah terbit daripada keringat pemikiran manusia ciptaan Allah s.w.t. Segala pemikiran manusia lahir dalam otaknya bersama genetik bakat. Manusia mempunyai pelbagai idea yang lahir bersamanya dalam lingkungan pengalaman mereka. Pengalaman mereka perolehi dengan berbagai cara. Seseorang boleh menceritakan kisah kehidupannya tanpa membaca skrip dailog dan apa-apa jua. Dia boleh menceritakan kisahnya seolah-olah pendengar dapat mengambarkan kisah itu sebagaimana menonton sebuah filem.


Sebuah filem yang dipertontonkan kepada audiens adalah rakaman rencah kehidupan manusia. Kehidupan manusia sememangnya melalui pelbagai kegentiran dan keperitan. Kegentiran dan keperitan inilah merupakan kisah menarik yang setiap manusia tempuhi. Manusia dengan sabar menempuhi perjalanan kehidupan mereka mengikut acuan masing-masing. Begitu juga halnya manusia yang lahir sebagai penulis menempuhi masalah yang sama. Makanya, itulah idea permulaan untuk digarapkan menjadi sebuah cerita. Sebuah cerita tidak akan terjadi tanpa ada kesan pengalaman yang dilalui seseorang.


Umum membuat tafsiran idea itu lahir dalam pemikiran manusia selagi otaknya mampu berfikir. Idea seseorang bercambah dan bertambah setiapkali berfikir. Dengan melihat manusia lain, seseorang memperolehi idea. Idea didefinisikan pelbagai oleh para sarjana. Idea adalah paksi pemikiran yang lahir daripada bibit-bibit pengalaman seseorang dan dibenihkan menjadi landasan berfikir. Setiap idea yang terbit dalam pemikiran manusia muncul dalam sekelip mata yakni hanya seketika tetapi manusia mampu mengingatinya kembali. Namun, ilham rasa manusia hanya terbit dalam keadaan tanpa sedar, seolah-olah ianya tergiang-ngiang dalam telinga. Ilham rasa adalah benih-benih cabang idea yang diperolehi daripada pelbagai sumber. Cabang idea yang menerbitkan ilham rasa manusia melalui lima elemen iaitu pengalaman, pergaulan, pembacaan, penghayatan, pemerhatian dan; imaginasi. Kelima-lima elemen ini memberi impak pada seseorang penulis sehingga tercetusnya idea dan menerbitkan ilham rasa untuk menghasilkan pelbagai karya.


Pengalaman adalah satu perkataan dan ungkapan yang sering dikaitkan dengan kepakaran, kejaguhan, kehandalan dan keampuhan. Pengalaman yang dilalui manusia boleh mendewasakannya menjadi seorang insan berguna. Menerusi pengalaman silam yang menjadi sejarah boleh merubah kehidupan manusia. Menerusi pengalaman, manusia berjaya membentuk dan membina kehidupan sejarah. Kejayaan seseorang sering dikaitkan dengan pengalamannya. Seseorang yang berpengalaman luas sudah tentu boleh berkongsi dengan manusia lain untuk pengajaran dan lain-lain.


Seorang penulis boleh menghasilkan sebuah karya berdasarkan pengalaman hidupnya. Pengalaman yang dilalui itu berlaku pemindahan idea sehingga tercetusnya sebuah karya. Sebagai contoh dia pernah masuk hutan mencari rotan iaitu sebagai mata pencariannya. Selama bekerja sebagai pencari rotan, banyak pengalaman menarik dan kesukaran yang dilalui. Manusia cuma tahu rotan itu cantik apabila dibuat perabut dan bahan kraftangan. Namun, untuk mengambil rotan dan mencarinya adalah satu pengalaman pahit.


Segala aktiviti yang berlaku ketika pencarian rotan dapat dijadikan idea untuk menulis skrip. Skrip sebegini menjadi lebih realistik dapat dihasilkan kerana penulis sendiri mengalami pengalaman tersebut. Biasanya sesebuah skrip dapat dihasilkan lebih bermutu apabila bahannya diperolehi daripada pengalaman penulis itu sendiri. Penulis dapat merasai detik-detik cemas yang sememangnya ada dalam pemikiran.


Leo Tolstoy penulis tersohor memindahkan pengalamannya menjadi seorang askar pada cerpennya berjudul Childhood. Karya sulung tersebut menyebabkan dirinya mendapat kedudukan istimewa dalam kesusasteraan. Begitu juga Sevastopol Stories adalah karya daripada pengalamannya ketika mengambil bahagian dalam peperangan melawan orang-orang Turki di Wallachia; penaklukan Silistria dan menyaksikan pertembungan hebat di Sevastopol. Daripada pengalamannya ketika peperangan, makanya terhasil karya A Raid, Sevastopol in December, A Wood Felling dan lain-lain.


Ernest Hemingway seorang penulis berbangsa Amerika, yang banyak menghasilkan karyanya berdasarkan wataknya sendiri iaitu pengalaman semasa kanak-kanak. Ketika zaman kanak-kanak Hemingway tidak dapat kasih sayang ataupun dimanjai kedua ibubapanya. Dalam karyanya muncul watak Nick Adams adalah penjelmaan watak dirinya sendiri. Watak Nick seorang yang kasar, pembengis dan hidup bebas sebagaimana yang pernah dirasai menerusi pengalamannya ketika kanak-kanak.


Elemen kedua ialah pergaulan. Seorang penulis boleh menghasilkan karyanya melalui pergaulannya. Sebagaimana kata pepatah Melayu; jauh berjalan, luas pandangan dan banyak berkawan banyak ilmunya. Berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu. Merujuk Pepatah Melayu dapat dijadikan sebagai landasan berfikir manusia bahawa seseorang akan menjadi matang dengan ilmu pengetahuan kerana pergaulan luas. Sebagai contoh, penulis itu ingin menghasilkan skrip mengenai dunia perubatan. Walaupun dia bukan seorang doktor tetapi pergaulannya dengan seorang doktor yang pernah menjadi rakannya telah menambah pengetahuannya dalam bidang kedoktoran. Dia mengetahui serba sedikit prosedur kedoktoran dan teknik pengubatan. Walaupun tidak sebagaimana seorang doktor tetapi dia berupaya menjadi pengaulan tersebut memaparkan asas ilmu kedoktoran dalam karyanya.


Pergaulan yang lama dengan seseorang juga boleh menerbitkan idea untuk menulis. Seseorang penulis yang mapan adalah daripada golongan yang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Pergaulan yang luas begitu banyak membantu dirinya menghasilkan karya. Albert Camus sebagai contoh, menghasilkan karya melalui pergaulannya. Pada tahun 1936 beliau menulis skrip drama pertamanya berjudul Reolte dans les Asturies dan menyusul dua tahun kemudian dia menghasilkan sebuah lagi skrip drama berjudul Caliqula. Skrip drama yang dihasilkan adalah daripada pergaulannya dengan masyarakat sekeliling.


Dalam pergaulan seseorang dapat mempertajamkan pemikiran menjadi sumber idea paling cucuk untuk penghasilan karya bermutu. Untuk menghasilkan karya bermutu setiap penulis ada cara tersendiri memperolehi sumber idea. Dalam kehidupan seseorang digalakkan berkawan ramai sebagaimana pepatah Melayu Berkawan biarlah beribu, musuh jangan dicari. Ini memperlihatkan setiap pergaulan mendatangkan manfaat dan sebaliknya.


Ketiga, adalah daripada pembacaan seseorang penulis dapat menghasilkan karyanya. Pembacaan yang luas meliputi berbagai bidang dapat membantu seseorang penulis berkarya mengikut landasan pengetahuan daripada buku-buku bacaannya. Banyak membaca memboleh seseorang menambahkan mindanya disamping membolehkannya menulis pelbagai genre. Pembacaan yang banyak dapat membantu ke arah menjadikan sesesorang penulis lebih versatile sifatnya. Ini bererti pelbagai alur pemikiran dapat dialirkan dalam penulisannya.


Sebagai contoh, Stephen Hawking adalah seorang guru yang menjadikan bahan bacaannya sehingga muncul bukunya mengenai sempadan-sempadan fizik, astronomi, kosmologi mengikut gaya tersendiri. Hasil daripada pembacaan berserta pengalaman sebagai seorang Profesor Matematik, beliau menghasilkan buku yang seakan novel mengungkap permasalahan ruang dan masa. Dalam bukunya, beliau mengungkap ilmu fizik dan matematik dengan cara tersendiri tidak mempamerkan kaedah matematik yang membosankan. Beliau menghapuskan pengiraan matematik supaya bukunya dibaca oleh semua golongan yang dalam bidang tersebut. Oleh kerana pembacaan Hawking begitu luas makanya, penulis bukunya menjadi luarbiasa yang dapat ditatapi bagi mereka yang ingin mengetahui bidang fizik dan astronomi dengan cara yang tidak membosankan.


Elemen keempat ialah penghayatan. Penghayatan seseorang pada sesuatu boleh menerbitkan idea dan sekaligus menjadinya sebagai bahan penulisan. Seorang penulis perlu sentiasa menghayati setiap perkara dalam kehidupannya. Banyak benda yang manusia lihat di mayapada ini iaitu alam semesta perlu digandingkan dengan pemikiran. Contohnya kenapa air laut masin, kenapa wujudnya gunung dan bukit? Apakah fungsi hutan dan pokok renik kepada manusia. Kenapa air sungai tawar dan air laut masin? Kesemuanya memerlukan penghayatan berdasarkan pemikiran logik dan saintifik.


Penghayatan seseorang penulis melihat kejadian alam seharusnya mendasari pemikirannya. Dalam penghayatan seseorang, dia berjaya mengungkap satu sebab-musabab terjadinya sesuatu yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Contohnya, Allah s.w.t menjadikan lautan yang masin airnya untuk membersihkan air-air sungai yang mengalir ke lautan. Fungsi kemasinan air kepada kehidupan manusia sangat penting. Ikan yang dikeringkan dengan garam boleh mengekalkan tempuh penggunaannya. Garam berupaya melenyapkan bahan-bahan yang hanyir sifatnya.


Bayangkan jika air laut tawar sebagaimana air sungai! Sudah tentu lautan menjadi terlalu hanyir kerana air sungai telah mengalirkan pelbagai bahan yang memualkan. Hah! fungsi kemasinan air lautan memproseskan air yang hanyir dan dikitarkan melalui matahari menurunkan hujan dan menjadi tawar semula. Air hujan yang mencurah ke bumi dapat disimpankan melalui pokok-pokok dalam hutan dalam akarnya selain menjadi keperluan pokok tersebut.


Sebahagian air tersebut mengalir menjadi mata air dan menerbitkan alur dan terbentuknya suak. Suak-suak yang terbentuk daripada alur bukit mengalir menjadi sebuah sungai kecil dan seterusnya menjadi sebatang sungai besar. Dalam sebuah sungai yang besar itu terdapat pelbagai makhluk yang mendiaminya. Penghayatan sebegini menjadikan seseorang itu pemikir dan sudah tentu dapat menghasilkan idea dalam penulisannya.


Sesungguhnya, banyak perkara di dalam dunia ini yang boleh dihayati keindahannya. Semua perkara yang dilalui seseorang dalam kehidupannya jua dapat dihayati dan diterjemahkan dalam penulisannya. Penghayatan seseorang pada sesuatu perkara boleh mencetuskan idea dan dipindahkan menjadi bahan karyanya. Seseorang penyair menghayati kehidupan untuk dijadikan puisinya. Begitu juga seorang pelukis menghayati kejadian alam ini sebagai ideanya memindah ke kain kanvas dan menjadi sebuah lukisan yang cantik dan menarik.


Elemen kelima ialah pemerhatian. Elemen ini amat penting bagi seseorang penulis kerana setiap hari menghadapi dan berdepan dengan pelbagai masalah. Setiap hari seseorang itu memerhati tindakan orang lain, manakala tindakannya pula diperhatikan oleh orang lain juga. Di situlah pelbagai rakam dan asam garam kehidupan dapat dilihat dan dibauinya. Dalam pemerhatian itu, muncul pelbagai persoalan yang perlu dijawap dalam penulisannya. Lebih banyak seseorang penulis itu memerhati kehidupan manusia, lebih banyak pula idea yang berlegar dalam pemikirannya sehingga terhasil sebuah karya.


Seseorang penulis mesti berdepan dengan pelbagai masalah sama runcing ataupun masalah kecil tetapi tetap memberi kesan dalam dirinya. Dalam pemerhatiannya, setiap masalah dihadapi oleh setiap manusia. Daripada setiap masalah yang dilalui setiap manusia yang dalam pemerhatian penulis itu dapat dijadikan bahan penulisannya. Bayangkan dalam dunia ini mempunyai ramai manusia. Yang paling dekat dalam kehidupan seseorang menulis itu sendiri iaitu keluarganya. Yang paling hampir sekali ialah jirannya. Sudah tentu seseorang penulis itu berupaya mengungkapkan ideanya melalui pemerhatian kehidupan jirannya dijadikan bahan penulisan.


Srinawk penulis berbangsa Thai menghasilkan karyanya daripada pemerhatian terhadap bangsanya sendiri. Beliau membongkar pukung kehidupan masyarakatnya di kalangan gadis-gadis yang melacurkan kehormatan mereka. Walaupun karyanya seolah-olah meludah ke langit dan mengenai batang hidungnya tetapi itulah hakikat pemerhatiannya yang perlu ditonjolkan. Sama ada karya cerpennya dapat menyedarkan bangsa sendiri ataupun sebagai pengajaran untuk khalayak pembaca. Pemerhatian yang begitu lama oleh Srinawk boleh mencetuskan ideanya menghasilkan karyanya.


Elemen terakhir sekali ialah imaginasi. Seseorang penulis dapat menghasilkan karya daripada imaginasinya sendiri. Dalam hal ini, karya yang dihasil tidaklah sehebat daripada empat elemen lain iaitu menerusi pengalaman, pergaulan, pembacaan dan pemerhatian. Elemen imaginasi adalah renungan dan andaian yang bermain di fikirannya dijadikan satu idea penulisannya. Untuk menghasilkan penulisan fiksyen yang berlegar difikiran penulis, elemen imaginasi memainkan peranan penting. Contohnya sebuah kisah yang mengungkap pembunuhan seorang lelaki di kilang memproses air batu. Seorang lelaki didapati mati tergantung dalam kilang tersebut tanpa sebarang benda yang berada di bawah tempat penggantungannya. Timbul di fikiran kita, bagaimana dia menggantungkan diri?


Elemen imaginasi boleh membuat seseorang penulis memikirkan bahawa mangsa menggantungkan dirinya dengan memijak susunan ketulan ais. Apakala semua ketulan ais itu cair dengan tersendiri lehernya tergantung dan dirinya terampaian di tempat penggantungan yang dilakukannya sendiri. Dia bukannya dibunuh tetapi membunuh dirinya sendiri dengan menggantungkan dirinya dengan memijak ketulan ais batu. Justeru, imaginasi memainkan peranan dalam penulisan. Sebagaimana Arthur Koestler (1967) dalam bukunya The Act of Creation, beliau mengatakan bahawa para seniman berkecenderungan menjadikan fakta sebagai rangsangan imaginasinya, sedangkan saintis menggunakan imaginasi untuk menyelaraskan fakta.


Sesungguhnya, banyak cara untuk mendapatkan idea ke ilham rasa sehingga menjadi sebuah karya. Sebagaimana yang diterang dalam bab ini, enam elemen yang menjadi perkara pokok membolehkan seorang penulis mendapat idea untuk berkarya. Menurut Susanne Langer (1942), dalam bukunya berjudul Philosophy in a New Key, beliau menyatakan idea-idea yang baru yang wujud dalam diri seseorang membentuk persoalan baru. Setiap persoalan baru yang muncul daripada idea itu akan menolak persoalan lama.


Justeru, seorang penulis biasanya menghasilkan karya tidak berpijak pada persoalan lama yang pernah ditulis penulis lain. Ini memandangkan dirinya ingin memperlihatkan kelainan dan kehebatan yang sama sekali berbeza dengan penulis lain. Banyak teori yang memperihalkan idea muncul daripada sumber apa dan bagaimana? Menurut Souriau, seorang ahli psikologi berbahasa Perancis mengatakan mencipta ataupun berkarya itu secara kebetulan yang mana idea hampir pada seseorang ketika mengarang dan sebagainya. Jacques Hadmard (1945), yang menulis buku The Psychology of Invention in the Mathematical Field, berpendapat bahawa mencipta dan berkarya bukanlah penemuan idea-idea baru tetapi daripada idea-idea lama yang diperkembangkan oleh seseorang penulis.


Sesungguhnya manusia bukanlah pencipta tetapi Allah s.w.t. Manusia sekadar menghasilkan sesuatu daripada segala pancaindera limanya iaitu melihat, mendengar, membau, merasa dan memikir. Seseorang penulis tidak berdaya menjadikan penulisannya maha hebat melainkan kesemuanya daripada Allah Rabul Alamin. Allah s.w.t telah menjadikan manusia berserta akal iaitu otaknya, sudah tentu segala-gala yang dihasilkan adalah berteras utama daripada kejadiannya sebagai makhluk ciptaan tuhanNya.

5 comments:

Anonymous said...

Saban hari, kita sering melihat isu-isu semasa yang terbetik di dada akhbar dan terjerit keluar daripada corong-corong media elektronik. Zahirnya segala yang dinyatakan merupakan transformasi ilham rasa ke karya. Tidak dapat di nafikan, tanpa tunjang isi pengalaman, pergaulan, pembacaan, penghayatan dan pemerhatian, imaginasi ilham tidak mungkin dapat di salurkan. Pertamanya seseorang itu harus mempunyai pengalaman. Sebagai contoh, mampukah seorang penulis skrip menulis dengan sebaiknya tanpa menggunakan pengalaman pertama dalam hidupnya, berkaitan cinta mahu pun sebagainya. Ingin saya kongsi kisah seorang rakan yang juga merupakan pelajar dalam bidang penulisan, skrip pertamanya yang diterbitkan adalah sebahagian coretan daripada kisah hidup, jadi dengan pengalaman yang ada, beliau berjaya menwujudkan satu cerita yang di lihat nyata, mampu mengambarkan cerita, konflik, watak dan lain-lain dengan sempurna. Bermula dengan pengalaman segala ilham rasa dan idea terjadi, dan Alhamdulilah rakan saya telah berjaya dengan jayanya. Yang kedua, menyentuh mengenai pergaulan. Saya merasakan bahawa pergaulan itu sangat penting dalam melahirkan rasa kita melalui karya. Di Malaysia, kita hidup dalam kalangan masyarakat majmuk yang terdiri daripada Melayu, India dan China ditambah dengan pelbagai jenis etnik. Manakah mungkin jika kita mahu menerbitkan sebuah filem Malaysia tanpa mengetahui budaya bangsa-bangsa yang lain, jadi dengan bergaul sesama mereka, ianya menjadi mudah untuk kita mempelajari kebudayaan yang ada, seperti makanan tradisional, perayaan dan lain-lain. Filem Talentime arahan Allayarhamah Yasmin Ahmad membuktikan bahawa kita perlu bergaul antara satu sama lain bagi mengetahui isu dan budaya setiap kaum itu. Seterusnya transformasi idea akan menjadi lebih mudah. Jadi, pendekatan melalui pergaulan sangat penting. Yang seterusnya adalah pembacaan. Seseorang insan dilahirkan melalui akal bagi memaju arahnya, jadi kita harus membaca bagi memperkasakan ilmu yang ada, pepatah yang berbunyi, menuntutlah ilmu hingga ke negeri china seharusnya kita selami. Kita harus mempunyai ilmu untuk melahirkan idea ataupun rasa dalam karya agar ia menjadi lebih berkualiti dari sudut pembelajaran. Pisau juga akan tumpul seandainya tidak di asah, perumpamaan yang sama dengan otak kita. Banyak karya yang di lahirkan kini, namun sejauh mana isi dan idea bernas yang dinyatakan. Tepuk dada, tanya selera. Seterusnya adalah penghayatan. Setiap perkara yang berlaku perlukan penghayatan yang tinggi, dengan itu. Ia akan lebih menunjukan ke aslian apabila di salurkan dalam karya. Sebagai contoh, jika kita melihat filem sedih yang mana tema cinta dinyatakan, wajarkah jika pelakon utama tidak mengalirkan air mata? Sudah tentu filem itu dilihat gagal bukan. Jadi penghayatn itu penting dalam kehidupan kita termasuklah juga jika penyair yang mendeklamsikan karyanya, pasti nada kata, bahasa badan dan mimic wajah yang digunakan menunjukan betapa dia menghayati, dari situ kita akan merasakan suasana dan perasaan sebenar yang cuba di ungkapkan. Tambahan lagi, pemerhatian sangat penting dalam melahirkan ilham ke dalam karya, tanpa kajian yang mendalam, tidak mungkin kita dapat informasi yang tepat dan padat. Contohnya, berita-berita yang menyiarkan rancangannya harus membuat kajian terlebih dahulu untuk menjamin mutu kesahihan. Bukan hanya suka semata-mata. Yang terakhir adalah imaginasi, setiap penulis pastinya mempunyai daya imaginasi yang tinggi bagi merancakkan pengeluaran ilham rasa yang seterusnya dicoretkan de dalam karya. Jadi, dalam karya. Kita dapat melihat pelbagai tahap dan kepelbagaian. Contohnya filem. Terdapat filem Geng Upin dan Ipin, betapa penulis mengambarkan dunia imaginasi pengembaraan yang cukup bagus dan kita sangat berbangga dengannya, di samping filem-filem antarabangsa yang lain seperti Charles and The Chocolate Factory dan sebagainya. Syuhada_Mic

Anonymous said...

Izinkan ku mencuri khayalan denganmu, maafkanlah oh..andai lagu ini menganggu ruangan hidupmu..kau ilhamku..Mungkin bait-bait lagu ini sudah tidak janggal lagi menjadi siulan para pendengar dewasa ini. Namun, adakah kita sebagai pendengar benar-benar memahami apakah makna sebenar di sebalik istilah 'ilham' itu sendiri? Di sini mungkin kita dapat huraikan,istilah "inspirasi" adalah sesuatu perkara yang menjadi pengaruh yang menggerakkan kecergasan daya kreativiti atau daya cipta samada dalam bidang musik, seni lukis dan lain-lain.
Manakala,"Ilham" bermaksud sumber ilham untuk apa yang nak dituliskan. Benda yang boleh beri "Ilham" atau alat sebagai sebuah idea yang samada bagus atau sebaliknya adalah datang dari fikiran.Tidak hanya itu,
Maksud erti kata "Idea" ialah fikiran, idea atau gambaran di dalam fikiran. Rancangan, tujuan atau maksud yang wujud dari minda fikiran atau apa yang sedang difikirkan. "Idea" juga disamakan makna sebagai "pendapat" seseorang. Tanggapan dan konsepsi seseorang dalam cara pemikiran.

Saya bersetuju dengan pendapat En. Wira yang menyatakan bahawa elemen yang melahirkan ilham rasa itu terdiri daripada pengalaman, pergaulan, pembacaan, penghayatan,dan pemerhatian. Bak kata orang tua-tua, pengalaman adalah perkara yang paling berharga, kerana ia tak mampu untuk di beli dengan wang ringgit.
Pada pendapat saya, sesebuah karya yang lahir dari pengalaman pengkarya itu sendiri akan lebih di terima oleh penonton. Ini mungkin kerana, penonton akan meletakkan diri mereka ke dunia realiti pengkarya itu sendiri. Sebagai contoh, filem terbaru arahan Azahari Zain. Santau. Filem ini berlandaskan pengalaman sebenar pengarah filem ini sendiri.

Seterusnya pergaulan. Seperti mana yang kita semua ketahui, filem merupakan medium pengantara antara dunia penontonan dan realiti.Sorotan yang di paparkan selalu nya menjadi ikutan. Malaysia hari ini,sibuk melaungkan slogan 1 Malaysia! Tetapi apakah inisiatif kita sebagai pengiat seni dalam usaha memastikan slogan ini berjaya bersama laungannya? Jadi di sini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaan ini berjaya. Saya amat mengahargai karya-karya hasil nukilan Yasmin Ahmad. Filem Muallaf di sini sekali lagi membangkitkan isu-isu keagamaan yang menjadi kekeliruan kita pada masyarakat kini.

Selain itu, menerusi pembacaan dan penghayatan juga adalah merupakan elemen terpenting di dalam melahirkan ilham rasa ini. Ayat Al Quran yang pertama di turunkan juga menegaskan kita agar membaca. Di sini dapat kita lihat, betapa pentingnya nilai membaca di dalam diri seseorang individu. Dengan membaca kita belajar.Dengan belajar kita membaca.Sesuatu ilmu itu tidak akan kita perolehi dengan hanya memejam mata. Jika kita tidak membaca, bagaimana kita boleh memastikan ilham yang lahir itu di hasilkan dari idea yang benar?

Penghayatan adalah amat penting. Filem-filem arahan Tan Sri P.Ramlee seumpamanya, dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dari dulu hingga kini. Mengapa? Kerana pada zaman awal pengarahan beliau, paparan sorotan yang di tayangkan lazimnya mengambarkan realiti sebenar masyarakat pada masa itu.Sebagai contoh,jika anda ingin membuat konsep cerita pertarungan sainsfiction zaman moden, anda kena tonton cerita "Star Wars". Konsep cerita purba zaman Kesultanan Melayu Melaka pula, mungkin anda sesuai menonton cerita "Pendekar Kundur". Penghayatan dan pemerhatian merupakan elemen yang perlu di titik beratkan sebelum melahirkan ilham rasa.

Akhir sekali, sebelum melahirkan ilham rasa, penulis perlulah membuat research tentang sesuatu karya yang ingin di terbit mahupun di tayang. Ilham rasa juga akan lahir dari rasa tidak mudah putus asa.

Suraya Samsuddin

themahan said...

Intipati sesebuah karya bertitik tolak dari pengalaman,kepekaan dan keinginan seseorang itu.Sifat dinamik seseorang dan keinginan menerima perubahan itu yang memperkayakan hasil karya samada teater atau bidang seni yang lain.Ini merupakan satu kupasan yang penuh dengan pangalaman.

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan pandangan En.Wira yang mengatakan bahawa pengalamanlah yang membuatkan mereka yang dilahirkan untuk menjadi seorang penulis ini mempunyai banyak idea dalam usaha mereka untuk melontarkan sebuah skrip atau hasil penulisan mereka. menceritakan pengalaman atau kisah kehidupan kita itu sendiri adalah awal mula pertama mula bagi mereka yang akan menyelam kedasar dunia penulisan.Benar juga kata En.Wira, dimana bila kita melihat ragam manusia sekeliling, secara automatik kita akan memperolehi idea untuk menghasilkan satu plot yang akhirnya ia menjadi sebuah cerita yang lengkap. Dengan ini, say berpendapat bahawa apabila kita melihat ragam seseorang itu kita hendaklah meneliti terlebih dahulu. Jangan terlalu cepat membuat tafsiran yang negatif, walaupun apa yang kita lihat itu benar-benar negatif tetapi ianya boleh menjadi positif kepada kita sekiranye kita 'melihat sambil berfikir'. Manakala untuk pergaulan pula, saya berpendapat sememangnya benar untuk menghasilkan sesebuah skrip pergaulan juga memainkan peranan. Dengan pergaulan, kita akan mendapat banyak sumber untuk menghasilkan sebuah skrip yang baik. Melalui pembacaan pula, kita dengan mudah dapat melahirkan idea dengan menjogetkan jari diatas kertas kosong atau menarikan sahaja jari-jari runcing itu diatas papan kekunci komputer. Ini kerana banyak bahan bacaan yang boleh kita jadikan sumber untuk menghasilkan skrip malah kita juga boleh menjadikan karya penulis yang kita minati sebagai inspirasi kepada penulisan kita. Pendapat mengenai penghayatan pula, hanya dengan kita menghayati kehidupan, panorama alam, nikmat ALLAH S.W.T dan segala yang terbentang dibumi ALLAH S.W.T ini pasti ianya dapat mencetuskan idea yang bernas dalam pembikinan sesuatu skrip itu. Seterusnya,dengan pemerhatian pula, kita akan dapat membuat konklusi dari keseluruhan yang diperhatikan dan kumpulkan ia menjadi satu dan sebatikan pula didalam penulisan skrip yang ingin dihasilkan itu. Terakhir, mengenai imaginasi, saya berpendapat untuk menjadi seorang penulis, imaginasi itu adalah sesuatu yang wajib. Berimaginasi membolehkan kita menyusun cerita secara berperingkat kerana kita juga berimaginasi dengan cara yang berperingkat. Dengan berimaginasi pelbagai idea pastinya akan singgah dikotak fikiran seorang penulis itu untuk dialihkan dalam bentuk penulisan. SEKIAN..

warnaminda said...

Assalamualaikum. Saya sangat bersetuju dengan enam elemen cabang idea yang En. Wira jelaskan iaitu pengalaman, pergaulan, pembacaan, penghayatan, pemerhatian dan imaginasi. Kebanyakan idea-idea yang saya dapat untuk menghasilkan sebuah karya seperti sajak, lirik, skrip datangnya daripada ke enam-enam cabang idea tersebut. Di sini saya ingin menekankan tentang idea daripada pengalaman. Pengalaman itu sendiri adalah sesuatu yang subjektif untuk diperkatakan kerana pengalaman setiap orang adalah berbeza. Oleh sebab itu, adalah agak sukar untuk seseorang mempunyai idea dan pemikiran yang sama. Ini bermakna, setiap orang mempunyai idea dan pemikiran yang ingin disampaikan cuma sama ada ia disampaikan atau tidak yang memberikan perbezaan antara satu sama lain. Idea boleh tercetus pada bila-bila masa. Adalah penting bagi seorang penulis untuk mempunyai medium luahan idea untuk disampaikan pada lain masa atau secara spontan bergantung kepada keadaan. Biasanya, untuk seorang penulis, idea yang datang secara tiba-tiba adalah idea yang bernas dan berkesan. Melalui medium yang sesuai, idea tersebut dapat dikembangkan kepada sebuah karya yang berkualiti. Sekali lagi ditekankan, pengalaman jugalah yang menentukan sama ada sesebuah karya yang dicipta itu berkualiti atau tidak. Tapi, kebanyakan idea-idea yang datang kepada saya adalah idea yang datang daripada imaginasi kerana kecenderungan saya kepada perkara yang luar biasa dan bukan pengalaman kerana banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari dan ketahui untuk menimba pengalaman yang berkualiti. Sebenarnya, setiap elemen idea itu penting untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dan berkesan. Ianya bergantung kepada penulis itu sendiri untuk menginterpretasikan dan menyalurkan idea kepada saluran yang betul. Sekian.