Monday, November 15, 2010

PENULISAN SKRIP FILEM: KETAJAMAN PEMIKIRAN DAN BAKAT

Menulis skrip satu bidang yang sangat mencabar dan memerlukan ketabahan.  Individu yang ingin menjadi penulis berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menjadi naskhah skrip yang baik. Bidang penulisan skrip bukan bidang yang baru, tetapi telah diceburi oleh mereka yang terdahulu.  Penulis skrip filem ataupun skrin memerlukan ketajaman pemikiran dan bebas daripada genre penulisan yang lain.  Skrip ataupun lakonlayar merujuk dialog dan beberapa annotation bagi memahami pergerakan dan  ianya tidak sebagaimana dramatic literature.
       
Sebuah skrip biasanya dibangunkan pelbagai  tahap yang berbeza, daripada sinopsis, idea asal, melalui satu pemikiran yang diterjemahkan daripada pemikiran bahasa kesusasteraan pada bahasa filem untuk penggambaran.  Selain itu, sebuah skrip  biasanya merujuk pada dialog dan penganotasian dengan segala macam rencah butiran teknikal, kerja kamera dan lain-lain. Sebuah skrip penggambaran mempunyai adegan-adegan yang dirangka dalam arahan mengikuti format yang lazim digunapakai secara standard.
Selain itu, menulis skrip lakonlayar bukan mudah, kerana memerlukan ketelitian pemahaman mendalam mengenai sesuatu isu atau subject matter yang ingin dipaparkan.  Setiap paparan perlu berlandaskan  logik akal bagi menafsirkan mesejnya di atas kertas.  Penafsiran setiap mesej sering ditandai dengan isu-isu semasa yang menangani permasalahan sejagat.  Permasalahan sejagat adalah menampilkan hiruk-pikuk dan kemelut konflik yang dialami audiens yang bakal menonton karya tersebut.  Begitulah kesukaran yang perlu dibebani  penulis skrip bilamana mengayamkan ideanya dalam skrip lakonlayar untuk masa yang singkat, padat dan tepat di atas layar.
Poster Hiasan

Kesukaran menghasilkan skrip lakonlayar adalah disebabkan kecetekan ilmu si penulis untuk mengalirkan ideanya menjadi naskhah skrip.  Aliran idea perlu diperah daripada otak dan dicernakan dalam minda sehingga membuahkan karya bermutu yang dipindahkan dalam skrip lakonlayar.  Skrip lakonlayar akan menjadi  sebuah filem tetapi bukan terdampar sebagai  closet film  sahaja. Justeru, individu yang ingin menjadi penulis perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu sub-bidang untuk digauli dalam satu pemikiran sebuah skrip lakonlayar.

Kedapatan masakini paparan dalam filem tempatan kecundang menerjui cemerlangannya yang dianggap filem terbaik dan bermutu.  Kegagalan ini barangkali, idea mereka tersepit dalam kerangka kurang ilmu dalam genre penulisan filem.  Genre penulisan filem bukan sebagaimana genre novel dan cerpen yang penulis boleh sewenang-wenang mengangkat setiap isu diterjemahkan dalam prosanya.   Penulisan lakonlayar mengelumangi beberapa elemen  seperti; visual, aksi, dialog, pemikiran, persoalan dan falsafah.   Elemen-elemen tersebut dapat memisahkan genre sastera novel dengan genre sastera dramatik filem yang mana memiliki ciri-ciri kebahasaan tersendiri.

Setiap idea yang dipaparkan dalam skrip perlu mensejiwai visual.  Ertinya, seluruh idea penulis perlu diterjemahkan dalam visual mengikut kepaksian filem yang terhad berlandaskan frame-framenya.   Setiap saat filem mengandungi 24 frame yang memakan budget besar jika idea yang dialirkan tidak bermanfaat.  Yakni tumpuan mata audiens berkisar mengikut frame filem, tetapi bukan dalam ayat-ayat prosanya sebagaimana sebuah novel dan cerpen.  Novel dan cerpen memiliki keperbadian tersendiri sebagai sebuah karya prosa dan audiens atau pembacanya dibolehkan membuat intrepetasi pelbagai mengikut kefahaman masing-masing dari segi visualisasi dalam minda mereka.

Contoh, penulisan novel menggambarkan sesuatu adegan dalam novel berdasarkan ayat-ayat yang diprosakan menggunakan bahasa dan stail tersendiri bagai menarik minat pembaca.  Minat pembaca akan lebur jika penulis gagal mensuasanakan penceritaannya dengan menwarnaikan  bahasa-bahasa novel sebagai mediumnya.  Di antara ahli teori dalam bidang sinema sebagaimana, Christian Metz berpandangan bahawa imej sinamatik secara linguistiknya terdiri daripada satu ataupun beberapa perkataan. Walaupun sinema adalah bahasa tetapi tidak terikat dengan sistem bahasa itu sendiri kerana ianya digauli dengan “Mise en scène.
Ketelitian penggunaan baris-baris ayat dalam novel perlu dijalini dengan cermat, supaya audiens dapat menaksirkan pergerakan cerita dalam visual mindanya.  Menggambarkan sebuah bangunan KLCC runtuh dalam novel mudah, tidak memerlukan kos, tetapi dalam filem sebaliknya. Barangkali, teknologi filem terkini menggunakan teknik CGI dapat mengurangkan kos, tetapi realistiknya kabur.  Walau bagaimanapun, ianya tetap membabitkan baget kewangan yang bukan sedikit kerana memerlukan kepakaran yang menagih upah yang besar.
Poster Hiasan

Jika dalam novel, untuk mengambarkan air yang mengalir lesu, cukup dengan ayatnya sahaja,  tetapi dalam filem memerlukan shot dengan sudut tertentu yang melibatkan seharian untuk shooting di lokasinya seperti sungai, air terjun dan sebagainya.  Manusia yang terlibat dalam penggambarannya bukan sedikit yang membuatkan producer garu kepala. Penggambaran juga melibatkan unsur-unsur alam seperti cuaca, masa, malam dan siang dan lain-lain.  Unsur-unsur alam ini memberi impak berbeza dalam setiap adegan filem yang perlu diatur dan dirancang penuh teliti juga melibatkan kos yang tinggi dan bukan sedikit.  Ianya bukan berindak sebagai onemanshow tetapi sebaliknya.

Sebuah novel boleh dihasilkan dalam sebulan atau kurang, tetapi, filem bertahun, kerana melalui beberapa tahap produksinya dari mula sehingga ditayangkan.  Penerbitan filem melalui proses yang lama melibatkan pelbagai manusia bekerja cuma hanya dalam  termatic value, tetapi novel hanya berdepan dengan kekunci komputer atau laptop dengan mengalirkan idealistiknya sahaja.  Nah! elemen visual dalam novel cuma imaginasi sahaja, manakala visual dalam filem adalah sahih. Visual dalam novel dan filem kedua-dua medium ini membabitkan penggunaan bahasa dan linguistiknya. Sehubungan dengan itu menurut  pendapat Metz  lagi;
 “...the cinema is different from language because cinematic conventions involve a one-way communication from producer to receiver, unlike language, which is a two-way communication.  But this is not actually correct: the one-way reception and comprehension of linguistic codes also occur when we listen to the news on the radio, or, for that matter, when we read a novel or poem whose author has long been dead, and who would thus not be able to engage in a two-way communication with us in any way, but this does not make the language of the poem or novel less ‘linguistic’ than the language of two-way conver­sa­tional interaction...” (1974a: 44-9).

Untuk mengetahui sebuah filem, audiens perlu mengetahui genre filem iaitu feature film dan narrative film. Istilah feature filem sering juga dirujuk sebagai narrative film.  Namun feature film mencakupi 100 minit, manakala narative film lebih pendek lagi. Feature filem selalunya teras filem yang ingin ditontoni oleh audiens di pawagam.  Mengikut sejarah dunia perfileman, “The Great Train Robbery” (1903)  merupakan feature filem pertama, walaupun ianya hanya sepanjang 12 minit sahaja. Mengikut sejarah, filem pendek lahir sebelum ini seperti The Execution of Mary Queen of Scots (1895),  telah dihasilkan tidak lama filem diciptakan dan diterbitkan oleh Edison Company, yang diasaskan oleh Thomas Edision. 

Poster Hiasan


Justeru,  filem yang berkaitan dengan naratif sudah wujud sebelum filem menjadi medium popular untuk penonton.  Sama ada penonton menyedari hakikat bahawa filem adalah dirinya dan sekelilingnya, barangkali pemikiran ini tidak jauh daripada individu tersebut menonton sebuah filem.  Sebuah filem juga tidak boleh berdiri sendiri tanpa mengelumangi permasalahan sejagat yang merupakan aset untuk dunia perfileman itu sendiri.  Bahkan, sebuah filem dikandung dalam pemikiran manusia sebelum dijelmakan dalam layar dan pentas kanvas serta media lainnya. Makanya; penghasilan skripnya memerlukan skil tertentu yang perlu dipelajari dari segi kaedah penciptaan sehingga menjadi naskhah sebagai peta untuk tujuan penggambaran.

Skrip yang telah dihasilkan mengandungi  aksi-aksi untuk difilemkan dan diterjemahkan oleh seorang pengarah sehingga boleh difahami oleh audiens yang mempunyai rangkaian pemikiran kreatif. Mereka yang arif lebih mudah mencaduk pemikiran dalam sesebuah filem yang tidak akan memberi penjelasan A to Z apakah yang terselindung dalamnya.  Aksi dalam filem adalah realiti dan bukan hayalan sebagaimana penulisan sebuah novel, walaupun novel tersebut boleh diterjemahkan ataupun diadaptasikan dalam sebuah filem.  Pengadaptasian karya prosa ke filem bukan mudah, kerana membabitkan pelbagai aksi dan dengan pelbagai keperluan kos yang bukan sedikit jumlahnya.  Ini yang menyebabkan aksi-aksi di dalam sesebuah filem dirancang penuh teliti dengan pengiraan kos dan lain-lain peruntukan.
           
Justeru, penulisan skrip filem memerlukan ketelitian penulis untuk mengenalpasti kecermatannya menggunakan aksi dalam karyanya.  Jika penggiraannya tidak cermat, makanya karya skripnya juga tidak mudah diterima oleh penerbit ataupun pengeluar filem.  Kecekapan inilah perlu dipelajari oleh si penulis dalam melayari pemikirannya untuk menjadikan ideanya sebagai karya filem.  Sebuah karya filem yang terbaik mempunyai logik akal dalam serba-serbi yang memenuhi semua tuntutan sama ada di pihak penerbit, pengiat seni dan artis terbabit sebagai tulang belakang pengkaryaan filem.  Ini penting, kerana kos sebuah filem bergantung daripada kerangka pemikiran dalam sesebuah skrip.  Sesebuah skrip yang telah siap dapat memberi jawapan sama ada ianya diterima ataupun tidak oleh audiens berdasarkan data pemungutan penjualan tiketnya.
Filem: Bujang Lapok
           
Aksi-aksi dalam filem digerakkan melalui karya dalam sesebuah skrip, tetapi adakah semua aksinya diperlukan untuk menjadikan sebuah filem menangkapi minat audiens? Peranan penulis tidak sewenang-wenangnya meletakkan aksi-aksi atas kertas sebagaimana dalam sebuah filem.  Aksi dalam kertas yang memakan masa cuma beberapa minit untuk disiapkan dengan hanya mengetuk kekunci komputer ataupun laptop.  Tetapi, aksi-aksi yang digariskan dalam skrip tidak semestinya memakan masuk beberapa minit juga, kerana pengantungan pada keperluan produksi yang tidak menguntungkan.  Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, sebuah jambatan boleh diruntuhkan dalam sebuah novel, tetapi dalam filem akan menjadi mustahil untuk direalisasi mengikuti pengukuran  kesahihan akal. 
           
Aksi-aksi dalam filem banyak membantu memartabatkan sesebuah filem mewah ataupun miskin kerana bajetnya.  Jika ianya sebuah filem Hollywood ataupun Hongkong, makanya aksi-aksi sebegini amat diperlukan kerana landasan genre filem mereka menjurus ke arah aksi-aksi menarik tetapi bukan prosa dalam skripnya.  Filem Hollywood dan lain-lain menggunakan pelbagai aksi akan lebih dihargai jika dapat memukau audiens.  Karya tersebut bukan hanya dianggap sungguh dramatik tetapi melabelkan karya mereka sebagai penciptaan terbaik dalam dunia perfileman.

Visual menggambarkan seribu makna sama ada tersurat ataupun tersirat.  Namun, tanpa dialog, mana tersurat dan tersirat tidak dapat dimengertikan dengan tepat dan jelas.  Ketepatan dan kejelasan mesej dalam visual yang digambarkan dalam sinema dibantu dengan adanya dialog oleh para pelakonnya. Justeru, dialog memperincikan setiap yang berlaku dengan gabungan aksi pelakon menjadikan persembahan sinema lebih berkesan.  Keberkesanan sebuah persembahan sinema memerlukan sokongan semua elemen-elemen yang didokongi krew penerbitan dan lain-lain.  Malah krew penerbitan menjadi tunjang terpenting dalam senario pembikinan sebuah filem yang melibatkan semua pihak.
Filem: Antara Dua Darjat
           
Oleh itu, dailog yang dihasilkan dalam penulisan skrip perlu memenuhi piawaian mengikut format yang dikehendaki. Penghasilan sesuatu dalam dalam skrip perlu teliti dan kemas, kerana visual telah menggambarkan pelbagai makna  dan tugas dailog tidak lebih memberi kejelasan dan perinciannya sahaja. Jika dailog tidak seiringi dengan visual, makanya gambaran dalam sinema berlaku redundansi yang mana memberi impak negatif bagi penerimaan audiens.  Sudah tentu filem yang ditontoni mereka tidak memberi kesan sebaliknya menerpa kebosanan tegal.  Ini yang berlaku dalam bidang penulisan skrip, kerana kerap terjadi kelemahan dailog yang sering bertindan dengan visual.  Misalnya, visual telah menggambarkan seorang penjahat memegang pisau, tetapi dalam dailog penjahat menyebut “Kau nampak aku pegang pisau untuk membunuh kau”. Dailog tersebut memberi penjelasan bertindan kepada  audiens yang telah maklum menyaksikan dalam visual penjahat memegang pisau.  Dailog yang sebetulnya ialah “ Aku bunuh kau!  ataupun tidak perlu dailog, cuma tindakan dan aksi sahaja yang dilakonkannya  Ini adalah contoh sebagai kesalahan yang nyata yang perlu diteliti dan dititikberatkan oleh penulis.

Sebagai untuk memotivasi penulis baru, sesungguhnya untuk menghasilkan skrip tidaklah mustahil dalam waktu yang singkat. Seorang pelakon terkenal Hollywood; Sylvester Stallone pernah menulis skrip filem Rocky hanya tiga hari dan mencatat sejarah Hollywood sebagai filem  paling berjaya dan begitu juga dengan Kevin Williamson yang menulis Scream dalam hanya empat hari-hari sahaja. Skrip tersebut paling tertinggi pernah dibayar kepada penulis di Hollywood.  

Justeru, zaman  ini cara yang terbaik untuk menyebarkan ajaran Islam adalah melalui media.  Sudah tentu media elektronik seperti televisyen, filem dan lain-lain memainkan peranan cepat dan pantas penyebaran agama suci ini.  Manusia yang dilahirkan sebagai penulis adalah memegang tanggungjawab yang besar ke arah itu.  Mereka adakan dipersoalkan di hadapan Allah Rabuljalil di atas usaha-usaha mereka dan peranan mereka sebagai penulis.  Bakat besar yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia penulis adalah untuk menjadi pembimbing manusia lain di dunia.

Sesebuah karya agong yang dihasilkan oleh penulis bukan untuk dimegah-megahkan, kerana karya itu datang daripada Allah s.w.t.  Manusia adalah ciptaan Allah s.w.t, justeru pemikiran yang baik jadikan sebagai sebuah karya agong walaupun seseorang  hanya terdaya menghasilkan sebuah puisi sahaja seumur hidupnya.  Justeru, manusia penulis yang ingin menceburi dalam bidang ini seharusnya menanam cita-cita suci dan ikhlas untuk menjadi penulis kerana Allah s.w.t. tetapi bukan kerana dunia semata-mata.  Oleh itu, insan yang berbakat yang meminati bidang ini seharusnya  menanamkan cita-cita sebegitu untuk menjadi seorang penulis, yang mendapati keredaan Allah s.w.t.  Sesungguhnya, ketajaman pemikiran penulis  melakukan transformasi idea daripada pebagai genre sehingga terbentuk atau terhasil sebuah karya adalah anugerah bakat daripada Allah Rabuljalil yang Maha Pencipta.




Rujukan

1.      Bazin, André. What Is Cinema?, 2 vols. Translated and edited by Hugh Gray. Berkeley: University of California Press, 2005.
2.      Bobo, Jacqueline. Black Women as Cultural Readers. New York: Columbia University Press, 1995.
3.      Eisenstein, Sergei. Film Form. Translated by Jay Leyda. San Diego: Harcourt, Brace, Jovanovich, 1977.
4.      Feng, Peter X. Screening Asian Americans. New Brunswick, NJ and London: Rutgers University Press, 2002.
5.      Gaines, Jane M. Fire and Desire: Mixed-Race Movies in the Silent Era. Chicago, IL: University of Chicago Press, 2001.
7.      Hansen, Miriam. Bable & Babylon: Spectatorship in American Silent Film. Cambridge, MA: Harvard University Press, 1991.
8.      James, David E. Allegories of Cinema: American Film in the Sixties. Princeton, NJ: Princeton University Press, 1989.
9.      Kracauer, Siegfried. From Caligari to Hitler: A Psychological History of the German Film. Princeton, NJ: Princeton University Press, 2004.
10.  Nichols, Bill. Introduction to Documentary. Bloomington: Indiana University Press, 2001.
11.  Sarris, Andrew. The American Cinema: Directors and Directions, 1929–1968. New York: E. P. Dutton and Co, 1968.
12.  Shohat, Ella, and Robert Stam, eds. Unthinking Eurocentrism. New York and London: Routledge, 1994.
13.  Wood, Robin. Personal Views: Explorations in Film. London: Gordon Fraser, 1976. Revised edition; Detroit, MI: Wayne State University Press, 2006.