Wednesday, August 25, 2010

Puisi Rampai : Benua Gersang


Puisi adalah merupakan himpunan rasa, perasaan dan memori yang terbina dalam sanubari hingga melahirkan unggapan-unggapan puitis, hiba, gembira, duka dan berbagai lagi dialirkan oleh penulis. Lahirnya penulis puisi ini adalah cetus rasa yang sukar dipendamkan di dalam diri. Ianya tiba secara mendadak jika tekanan emosi menyerap di jiwa, ianya juga terjadi bilamana diri di ambang duka dan sebaliknya.
Poetry is a sense, feeling and memory assemblage built-in mind to produce poetic verse, melancholy, happy, sad and variety again drifts by writer. Emergence of this poem writer is trigger difficult sense kept within. It arrived dramatically if emotional stress absorb in soul, it also happened when self in sad threshold vice versa. 
Penulis puisi tidaklah semudah yang disangka, kerana ianya menekankan suatu penghayatan yang maksima kepada individu yang menulisnya. Penghayatan yang dimaksudkan adalah dimana penulis sendiri bagai dapat meraai suasana yang ingin digambarkan melalui puisinya. Dalam penulisan sastera berbentuk lain selain daripada puisi, tidak dapat memperkatakan sesuatu hanya dengan beberapa baris ayat yang digarap dalam penulisannya. Penulisan berbentuk tersebut memerlukan berhelai-helai kertas untuk memaparkan setiap mesejnya.

Namun puisi mempunyai cara yang tersendiri untuk melahirkan sifat-sifat penulisnya. Dalam penulisan ini dapat memaparkan warna kehidupan hanya cuma dengan menggunakan sepotong dua ayat atau lebih sudah dapat merakam sebuah peristiwa dan detik-detik bersejarah yang ingin diutarkan. Kesegaran puisi umpama seseorang yang terlalu haus dapat merasakan air sumur yang sejuk lagi dingin. Dengan sekali teguk, maka hilanglah kehausan setahun.

Begitulah yang diibaratkan dengan puisi, kerana dengan hanya sekali imbas membacanya, seseorang dapat mengetahui kisah dan peristiwa yang dipaparkan hanya memakan masa beberapa saat sahaja. Berbanding dengan penulisan bentuk lain, seseorang harus menelaah dan bertekun untuk mengetahui apakah mesej yang ingin disampaikan, jika tidak sudah tentu tidak dapat menghayati karya tersebut. Walau bagaimanapun setiap bidang penulisan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka begitu juga yang terdapat di dalam penulisan puisi.

Banyak orang boleh menghasilkan sebuah puisi.  Seseorang boleh menulis puisi sambil menunggu bas, sambil mendengar seminar, sambil berbual-bual dengan rakan-rakan, dalam pesawat, dalam bas dan macam-macam lagi.  Namun, sebuah puisi adalah lontaran perasaan halus yang berada dalam hati seseorang.  Luahan ini amat terpencil daripada luahan biasa kerana luahan dalam puisi mewakili dirinya sendiri dan penyair mewakili diri orang lain dengan perantaraan dirinya.

Seorang penyair tidak dapat melafazkan sesuatu secara terang-terangan, kerana kadangkala gelodak hati yang ingin disampaikan boleh melukai hati seseorang.  Banyak perkara yang seseorang hadapi setiap hari yang sukar diucapkan dengan perkataan apalagi dengan pengucapan kepada seseorang.  Penulisan puisi adalah yang terbaik untuk mencurahkan segala isi hati ataupun perasaan.  Bait-bait kata daripada puisi itu adalah penjelmaan sebenar hasrat penyair.  Sama ada disedari mahupun tidak puisi yang dihasilkan oleh penyair kebanyakan adalah cetusan perasaannya sendiri.

Perasaan kecewa, gembira, berduka dan lain-lain boleh menerbitkan ilham rasa penyair.  Penyair adalah manusia sensitif pada rasa.  Apa yang dirasai dalam hati terus diterjemahkan dalam penulisan.  Penulisan seorang penyair berbeza dengan penulisan genre sastera yang lain, walaupun puisi adalah dalam kelompok keluarga sastera. Kesusasteraan dalam puisi amat jelas membezakan sifat dan bentuk karya tersebut.

Manusia kreatif seperti seorang penulis mempunyai sifat-sifat peribadi berbeza dengan yang lain.  Perbezaan itu ditandai dengan hasil karya mereka dapat menyentuh perasaan pembaca atau sebaliknya.  Sebuah karya puisi lahir tanpa paksaan, ia terbit dalam desis hati penyair dengan cara lembut dan menusukkan.  Apa saja yang dilihat oleh penyair adalah bait-bait kata puisinya.  Lautan, gunung-ganang, sawah, paya, bukit-bukau, malah hutan rimba adalah bahasa puisinya dalam bentuk kebendaan. Manusia penyair dapat mengadun segala makluk alam ciptaan Allah s.w.t dijadikan bait-bait kata penuh puitis.  Kepuitisan bait-bait kata dalam puisi menggambarkan kehalusan jiwa atau kalbu penyair.

Dalam puisi ada irama, pola-pola bunyi yang mementingkan kehalusan dan keindahan bahasanya yang diukir, dicanai daripada diksi-diksi indah sehingga memikat pembaca.  Susunan perkataan amat sederhana dengan penggunaan bahasa yang kemas, padat, tepat dan tepat.  Ketetapan pilihan perkataan membezakan penulisan puisi dengan genre sastera yang lain seperti cerpen, novel dan lain-lain.  Sebagaimana pendapat Stiles (1968):
Poetry is the language of kings, the songs of the people, the message of love, the snarl of  hate, the sound of joy, the wail of the tortured, the jibe of the jester, the reflection of sadness, the call of the lost, the prayer for the soul, the shout of triumph, and the weeping of the vanquished. Poetry is life revealed – the bitter reality of existence couched in hand pounding, bitter pharase. Above al, poetry is truth wrapped in beauty”. (Kamaruddin: 1988:105)
           
Bahasa puisi adalah bahasa raja iaitu bahasa agong dengan pengucapan halus mewakili setiap naluri hati manusia yang terpendam.  Dendam, kedukaan, kecintaan, kedamaian, kesengsaraan, kekecewaan, ketakwaan, dan keimanan terhadap pencipta Allah Rabulalamin adalah melalui cetusan karya puisi.  Segala gundah-gulana dalam jiwa manusia dapat dihemburkan dalam puisi.  Dalam sesebuah puisi ada nasihat, pengajaran, rintihan, pujaan, permohonan dan lain-lain.  Seseorang kekasih melafazkan rindu terhadap temannya melalui puisi.  Seorang rakyat memohon jasa kebaktian pemerintah, melafazkan hasratnya melalui puisi.  Seorang isteri melafazkan kekecewaan dan kemarahan terhadap suaminya melalui puisi.  Seseorang yang ingin mengkritik individu lain juga dalam puisi.  Sesungguhnya, dalam puisi seseorang terhibur, seorang menginsafi diri, seseorang beriman kepada Allah s.w.t Dan puisi karya yang difahami maksud tersirat yang cuma sebentar menikmatinya.
          
  Sebuah puisi boleh memaparkan buih-buih kesengsaraan manusia yang mewakil penyairnya.  Seorang penyair mengauli permasalahan manusia dalam karyanya yang mana kadangkala dirinya sering mengalami permasalahan yang serupa. Terhimpun segala gelodak rasa manusia dalam karyanya sebagai menukil perasaan manusia yang tidak berkesempatan dan berpeluang meluahkannya.  Sebuah puisi bukan sekadar terdapat bait-bait kata yang meruntun hati, bahkan puisi meresahkan kalbu dan jiwa seseorang dalam rintihan dan kesedihan.
           
Karya sastera dihasilkan dengan pelbagai cara sama ada dalam puisi iaitu bait kata atau prosa.  Karya sebuah cerpen ataupun novel memerlukan penulisan prosa, manakala puisi bergantung pada bait-bait pemilihan perkataan.  Sebuah novel tidak ditentukan panjang atau pendek penghasilannya.  Begitu juga cerpen adalah karya yang memaparkan sedikit watak tetapi meninggalkan kesan kepada pembaca.  Walaupun cerpen adalah penulisan prosa bersifat pendek dan padat tetapi ruang paparan mesejnya lebih bebas  seperti penggunaan perkataan.
           
Penyair tidak berupaya membongkar kata-katanya dalam sebuah prosa tetapi bait-bait perkataan dengan menggunakan ruang yang terhad..  Selain itu, penyair lebih mengutamakan sebuah puisi membangunkan imej, irama dan aspek bunyi.  Dengan meminima penggunaan perkataan, sebuah puisi dilihat menterjemahkan permasalahan manusia dalam masa yang amat singkat.  Seseorang boleh menikmati mesej dan selaman perasaan penyair dengan sekali lalu membaca puisi tersebut.  Namun, sebuah cerpen ataupun sebuah novel, pembaca tidak berupaya menyeduk segala isi dan maksud dalam masa yang singkat.
           
Sebuah puisi yang panjang tidak berjaya mengungkap perasaan penyair tetapi penyairnya kelemasan dalam karya sendiri yang tidak ada penghujung.  Sebuah puisi boleh diibaratkan segelas air zamzam yang di minum oleh orang yang beriman kepada Allah s.w.t.  Dan sebuah puisi menyimpan seribu makna, cuma dapat difahami mereka yang mahu memahami sebuah kehidupan. tetapi bukan sebarangan air.  Justeru, sesebuah puisi dapat dinikmati bagi mereka yang memahami sebuah puisi tetapi bukan  diminum oleh seseorang.  Dengan segelas air dapat menghilangkan dahaga.
           
Peranan puisi amat luas, satu-satu sumber sejarah Arab pra-Islam adalah puisi.  Dalam puisi tersebut didapati rujukan yang kerap menceritakan  tentang sungai, lautan dan peluat.  Lazimnya, rujukan sedemikian hanya terkandung dalam puisi pujangga yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai.  Kebanyakan kiasan bagi rujukan tersebut terkandung dalam rangkap puisi dihasilkan oleh pujangga (A.Syed:1992). Sifat-sifat sebuah puisi jenis menggambarkan keadaan zaman lampau dan akan datang.  Warna-warni kehidupan berjaya diungkapkan melalui sebuah puisi.
           
Seorang pengembara yang menjelajah dunia akan mengarang puisi ketika bertemu tempat sesuai yang menyentuh sanubarinya.  Maka terungkailah sebuah puisi yang merakam detik pengembaraannya penuh sejarah.  Berikut adalah sebuah puisi nukilan yang merakam kisah sejarah yang tercatat dalam bait-baitnya:
Usungan wanita suku Malik semasa bertolak pada waktu pagi kelihatan seperti kapal besar di Nawasif, seperti kapal Rom atau kapal Ibnu Yaman; kadang-kadang pelaut tidak mengikut laluan asal dan kadang-kadang mengikutinya. (1992:12) 

Puisi barat sebenarnya banyak dipengaruhi daripada aliran puisi Islam kerana  1,200 tahun  dahulu benua Eropah telah di masuki Islam. Pada 711 Masihi Islam telah menawan Andalus (Sepanyol) yang dari rentetan itu, sastera juga menular ke Eropah dan sehingga bertapak masakini. Mereka mendakwa puisi baru yang mereka miliki sebenarnya suntikan daripada penyair Islam.   Sastera Islam telah banyak menyumbang perkembangan sastera Eropah.  Kebanyakan puisi daripada sastera Arab menampilkan keunikan dan identiti tersendiri.  

Daripada syair-syair Arab  berbentuk puisi lama yang indah dan memikat bait-bait perkataannya dan mempunyai irama dan bunyi yang sama.  Islam pernah memasuki Sepanyol khususnya di Provence dan Catalonia sehinggakan Guillaume IX,  menghasilkan puisinya dipengaruhi puisi Islam kerana kebanyakan puisinya berakhir rima yang sama. Penciplakan barat bukan hanya pada puisi sahaja bahkan sastera Islam. Begitu juga teknologi pelayaran yang berasaskan kapal pertama dunia daripada Bahtera Nabi Nuh. 

Dengan pelayaran menggunakan model kapal tersebut mereka menyuntik dan memplagiat bahan-bahan sastera yang Islam yang masyhur ketika itu. Justeru, sesebuah puisi dapat merakamkan detik waktu, kejadian, pengalaman seorang penyair dan sesebuah puisi perakam sejarah yang tidak dapat menipu faktanya.  

Dalam Antologi puisi Benua Gersang berkaitrapat dengan permasalahan dan persoalan jiwa dan perasaan manusiawi yang sukar dilafaz dengan perkataan tetapi berbauri perasaan tersembunyi.  Manusia tidak dapat mengungkap segala rintihan kalbunya kepada seseorang, melainkan puisi membawa perasaannya langsung kepada manusia lain yang membacanya.  Lantas, sebuah puisi adalah kanvas kehidupan yang mempunyai pelbagai corak warna yang sukar digambarkan dalam sebuah lukisan.
Pun begitu, sebuah puisi dapat membentuk akhlak dan peribadi manusia secara halus apabila menatapnya.  Nasihat, teguran, kritikan dan komen sukar dilafazkan dengan perkataan, tetapi dengan sebuah puisi dalam dijelmakan dengan perkataan yang disusun dengan bait-bait kata mengasyikkan dan mempersonakan.  Sesungguhnya, sebuah puisi dapat menonton manusia sama ada kebaikan dan kejahatan.  Cuma barangkali, yang kejahilan sahaja yang tidak  dapat memahami perasaan penyair dalam sesebuah puisi kerana kejahilannya menguasai kesenimanan dirinya. Wallahuallam.

Komunikasi Budaya: Dari Alam Rahim ke Alam Barzakh

Dalam kehidupan orang Melayu banyak terdapat keunikan perlakuan dan perbuatan yang menjadi adat mereka.  Daripada pengucapan sehinggalah perbuatan mempunyai makna dan tujuan tertentu. Masyarakat Melayu sejak berzaman mempunyai budi pekerti yang tinggi iaitu berhemah ketika berkomunikasi dalam interaksi sosial mereka.  Agak sukar untuk masyarakat Melayu menidak ataupun meninggalkan amalan adat tersebut, kerana telah tertanam dalam darah daging dengan asuhan ibubapa mereka.  Selain itu, masyarakat Melayu sememangnya menganut agama Islam sejak berzaman sudah sebati dengan kehidupan beradat. Barangkali mereka yang mengenepikan adat kerana terpengaruh dengan perubahan kehidupan mengikut zaman. Namun,  kesatunan yang begitu unik dalam masyarakat Melayu tetap terpelihara. Jarang berlaku, orang Melayu bersikap kasar dalam pertuturan dengan sewenang-wenangnya, kerana mereka memegang pepatahnya ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Timbul dihati penulis ingin melakukan kajian mengenai komunikasi budaya Melayu dalam adat istiadat mereka kerana ingin memaparkan betapa indah dan bersopannya orang Melayu berkomunikasi. Cara mereka berkomunikasi sebagai memperlihat dan memperagakan kebudayaannya. 
           
 Hampir 80% kajian mengenai komunikasi  daripada  sarjana barat yang mempunyai latar belakang displin yang pelbagai, umpamanya  Carl Hovland, Alexandar Gode, Wilbur Schramm, Claude Shannon, Osgood dan lain-lain.  Mereka boleh memperkatakan apa saja mengenai teori komunikasi mengikut kesarjanaan masing-masing.  Mereka  bebas berhujah berpaksikan teori dan anutan masing-masing.  Namun,  saya percaya tidak semua hujah daripada sarjana barat dapat diterima oleh  kita ataupun di timur ini.  Barat dan timur adalah satu permisahan yang sangat jauh dari segi sosial budaya, politik, geografi dan apatah lagi keagamaan.  Faktor-faktor tersebut memungkinkan segala yang berlaku di barat amat berbeza sama sekali di timur terutamanya di Malaysia. Di negara kita mengamalkan adat istiadat yang sangat unik berbanding dengan barat dan sudah tentu aplikasi teori mereka memang sangat ketara menyongsangnya. Masyarakat Melayu sejak turun-temurun diajar dan didik berlandaskan hukum hakam agama sebagaimana perbilangan adat; adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Perbilangan adat tersebut banyak memberi garis panduan dan amalan masyarakat Melayu yang mengabungkan amalan adat dan agama yang mana tidak menyalahi syariat Islam.  Malaysia dikenali negara yang memiliki bangsa yang bersopan-santun.  Kesopanan tersebut telah  didokong oleh Laksamana Hang Tuah sebagaimana paparan kisahnya yang dimuatkan dalam Hikayat Hang Tuah. Walaupun ianya hanya sebagai hikayat yang tidak dapat berpegang dengan ketepatan logik akal, namun penyataan dalam hikayat tersebut bolehlah dijadikan pengukur dan pertimbangan kita merujuk tingkahlakunya.  Tingkahlaku Hang Tuah yang dipaparkan dalam hikayat tersebut mencerminkan dirinya seorang yang berpekerti tinggi.  Nilai budinya yang tinggi dapat diselami dalam baris-baris ayat sebagaimanbanyak mengambarkan sikap dan peribadi Melayu sangat luhur, jujur dan berperibadi.
           
Dalam Hikayat Hang Tuah banyak mengambarkan kekuatannya bukan hanya daripada tulang empat keratnya dari segi pendekaran tetapi sikap dan pekertinya amat bersopan-santun.  Ketaatan kepada raja memperlihatkan kepatuhannya pada adat Melayu yang memerlukan seseorang berhemah tinggi dalam segala hal. Ketaatan dan kepatuhan kepada ketua sememang dikehendaki dalam ajaran Islam, apatahlah raja yang memerintah.  Ungkapan tidak Melayu hilang di dunia memberi pengertian bukan kekuatannya tetapi tatacara budi dan komunikasi sesama insan. Berkomunikasi sesama insan dengan tatacara mengikut landasan adat adalah memperlihatkan kebudayaan sesuatu bangsa. Sebagaimana Edward Hall, mengatakan kebudayaan adalah komunikasi dan komunikasi adalah kebudayaan.  Jika komunikasi masyarakat Melayu secara berzaman adalah baik, sudah tentu ianya mencerminkan kebudayaan mereka.  Sehubungan itu,  masyarakat Melayu berinteraksi sesama mereka menggunakan perbilangan adat, pantun, syair, gurindam, pepatah dan lain-lain.  Setiap pertemuan yang membabitkan adat dimulai dengan pantun dan perbilangan adat. 
           
 Didapati dalam komunikasi manusia terutamanya masyarakat Melayu ada pelbagai ragam komunikasinya.  Kajian komunikasi perspektif timur ataupun Asia perlu dilakukan.  Walaupun barat telah mengenegahkan pelbagai teori komunikasi dan modelnya tetapi perlakuan komunikasi perspektif Asia perlu diperlihatkan cara dan acuannya tersendiri. Makanya, buku ini sebagai permulaan untuk meninjau adat resam tradisional Melayu dalam komunikasi budayanya yang melalui empat kitaran adat.  Di antaranya adat bersalin, adat berkhatan, adat perkahwinan dan adat kematian.  Empat kitaran adat tersebut perlu dilalui oleh masyarakat Melayu sama ada kehidupan mereka bermula di kampung ataupun di bandar. Kehidupan masyarakat Melayu yang tidak mengikut landasan adat bolehlah diibaratkan mereka menolak amalan budaya bangsa dan tidak molek memijak bumi ini apatah lagi tinggal bermastautin tetap di negara ini.  Bagi generasi yang tidak melalui zaman tersebut, perlu memperolehi buku ini sebagai sumber rujukan.  Selain itu,  buku ini  sebagai satu dokumentasi khazanah adat orang-orang Melayu di zaman silam yang  semakin  hari semakin ditinggalkan sedikit demi sedikit.  Justeru, usaha yang sedikit ini dapat dimanfaatkan  kepada semua pembaca ataupun para pelajar universiti dan lain-lain.  Yang baik datang daripada Allah s.w.t dan  yang jelik datang daripada kelemahan dan kecuaian sendiri hamba yang lemah lagi daif. Wallahuallam.