Filem arahan dan lakonan P. Ramlee sehingga kini masih mendapat sanjungan dari semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Umum mengetahui, bahawa P. Ramlee adalah seorang tokoh filem yang merangkumi pelbagai penglibatannya bermula dari seni lakonan, seni nyanyian, seni ciptaan lagu dan lirik, pelakon komidi, ahli muzik, komposer dan lain-lain. Bakat sedemikian sememangnya tidak dimiliki oleh orang lain.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa P. Ramlee di antara seorang dalam dunia yang dianugerah Allah kehebatan begitu. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah kurnianya. Sejak pemergiannya ramai pihak mengambil inisiatif mengadakan pelbagai bentuk acara bagi memperingati sumbangan Allahyarham dalam dunia seni. Namun, acara-acara sedemikian cuma habis di situ dan tinggal sebagai kenang-kenangan sahaja. Sesungguhnya banyak lagi cara yang dapat diabadikan penglibatannya dalam dunia perfileman. Dunia perfileman kegemilangannya banyak meninggalkan ilmu-ilmu yang masih dicari-cari oleh generasi yang sebelum ini tidak mengenalinya.
Banyak tulisan-tulisan mengisahkan penglibatannya telah dihasilkan oleh ramai orang tetapi skrip-skrip filemnya tidak diketemui, walaupun kajian dilakukan di perpustakaan pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara. Para pengkaji dan penuntut perfileman serta lain-lain pihak mendapati sukar memperolehi skrip-skrip tersebut. Cuma yang terdapat adalah filem-filemnya yang berbentuk format vcd, video dan lain-lain. Oleh yang demikian, amat sukar untuk seseorang melakukan kajian tekstual mahupun kontekstual. Apa jua kajian yang ingin dilakukan tanpa adanya bahan-bahan rujukan, maka kajian tersebut tidak dapat dijalankan sebaik mungkin, dan seolah-olah meraba-raba dalam kegelapan.
Skrip Filem P. Ramlee (Transkripsi) |
Tujuan penulisan semula skrip lakonan, karya dan arahan beliau adalah inisiatif permulaan untuk mendokumentasi semula peninggalan khazanah seni beliau yang sangat berharga kepada negara sebagai memperlihatkan kehebatan bangsa Melayu sendiri. Kehebatan bangsa Melayu perlu dipaparkan seluas-luasnya dan dijadikan satu teks sejarah bagi panduan, ukuran dan timbangtara untuk generasi akan datang sebagai pelapis seni nenek -moyang mereka. Dalam lipatan sejarah, seseorang tidak boleh membohongi atau merekacipta fakta-faktanya melainkan kesemuanya adalah benar belaka.
Justeru itu, hasil-hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak sempat didokumentasikan adalah merupakan tanggungjawap kita bersama. Menurut Datuk Aziz Sattar iaitu rakan seperjuangan dengan Allahyarham mengatakan semua filem, lakonan, karya dan arahan Allahyarham P. Ramlee tidak mempunyai skripnya. Maksudnya tidak lagi disimpan oleh mana-mana pihak secara perseorangan. Sesungguhnya berita ini sangat menyedihkan dan mendukacitakan, tetapi ianya masih belum terlambat. Kesedaran ini berputik kerana memandangkan sumbangan besar yang dicurahkan oleh Allahyarham P. Ramlee yang diangkat sebagai satu karya agong perlu didokumentasi segera, agar khazanah ilmu perfileman tersebut tidak terus berkubur tanpa nisan. Jika penulisan semula skrip tersebut dilakukan duapuluh atau tigapuluh tahun dahulu, sudah tentu masakini pelbagai kajian yang dapat dilakukan pada hasil karya Allahyarham.
Banyak ilmu-ilmu yang terdapat dalam karya beliau yang sepatutnya dijadikan teks pengajian di Sekolah-Sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi. Hasil-hasil karya P. Ramlee iaitu skrip-skrip filemnya perlu dijadikan buku rujukan dan bacaan umum. Difahamkan lebih kurang 69 filem yang melibatkan Allahyarham P. Ramlee yang mana kebanyakan filem tersebut tidak ada skrip-skripnya, yakni sama ada musnah ataupun hilang. Pada keseluruhan filem lakonan dan arahan P. Ramlee, banyak berlaku perubahan adegan dan dailognya yakni tidak mengikut skrip asal. Fenomena ini terjadi tanpa dirancang terlebih dahulu kerana semasa penggambaran filem tersebut berlangsung, banyak pengubahsuaian adegan serta dailog-dailognya berlaku secara impromptu dan ad-lip secara spontan oleh pengarah dan pelakonnya. Sebagaimana pernah terjadi pada Filem Seniman Bujang Lapuk kebanyakan dailog-dailog dalam filem tersebut telah terubah secara tidak disengajakan oleh para pelakonnya seperti P. Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsuddin. Pembinaan dailog-dailog secara spontan tersebut lebih melucukan dan mencuit hati yang mana tidak terdapat dalam karya asal skripnya. Penulisan semula skrip tersebut akan memperincikan semua aspek berdasarkan visual sebenar filem tersebut mengikut teknik penulisan skrip masakini. Justeru itu, penulisan semula skrip filem P. Ramlee ini memberi penampilan sebenar skrip filem sebagaimana yang dipaparkan di dalam visualnya.
Alhamdullillah, saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT, kerana setekat ini, telah mentranskripsi empat puluh filem (40) yang memakan masa lima (5) tahun lebih (Okt 2006 hingga Nov, 2011) di antaranya; Panggilan Pulau, Pendekar Bujang Lapok, Labu dan Labi, Keluarga 69, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Bujang Lapok, Ibu, Sarjan Hassan, Semerah Padi, Enam Jahanam, Sejoli, Nasib Si Labu Labi, Seniman Bujang Lapok, Dr. Rushdi, Nilam, Abu Hassan Pencuri, Nasib Do Re Mi, Hang Tuah, Musang Berjanggut, Juwita, Ibu Mentuaku, Antara Dua Darjat, Jangan Tinggal Daku, Sumpah Orang Minyak, Anjoran Nasib, Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Panas, Madu Tiga, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok, Laksamana Do Re Mi, Anakku Sazali, Penarik Beca, Sabaruddin Tukang Kasut, Aloha, Rachun Dunia, Sesudah Subuh dan Ahmad Albab.
Projek Transkripsi Filem Mendapat Pengiktirafan Daripada The Malaysia Book of Records |
1 comment:
Sumbangan filem dari P.Ramlee amat menarik minat dan dikagumi masyarakat tempatan. Ini kerana, antara filem-filem yang dihasilkan adalah tentang kemasyarakatan rakyat di Malaysia. Ianya sesuai dengan pemikiran masyarakat dahulu. Walaubagaimanapun, sehingga kini, filemnya masih boleh di terima. Ini kerana dengan adanya pengulangan di televisyen. Untuk tidak meluputkan pengulangan filemnya, pihak –pihak tertentu perlulah menayangkan. Ini bagi mengingatkan zaman kejayaan filem di Malaysia. Jika dilihat semula, karya-karya yang tidak mempunyai skrip juga amat menarik perhatian audien. Ia memperlihatkan kata-kata spontan dan tidak kaku untuk berdialog.
Gabungan antara P.Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsuddin cukup menghiburkan audiens. Walaubagaimanapun terdapat juga kelemahan bagi watak-watak sampingan. Tidak mudah untuk menjayakan filem sebegini iaitu Filem yang diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Bahasa dialek yang digunakan juga amat mencuit hati audiens. Jika dilihat dengan lebih teliti, kesemua filem-filem P.Ramlee ada "moral of the story".
Kesimpulan yang dapat diberikan adalah, filem lama perlu diangkat sehingga kini kerana, tanpa mereka, tiadalah filem di Malaysia.
Liyana Wahid
Post a Comment